‘Gaming’ jadi kerjaya sepenuh masa

‘Gaming’ jadi kerjaya sepenuh masa

ALYCE gemar bermain permainan berunsur watak tertentu dan pengembaraan fantasi. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOLONGAN wanita juga tidak asing lagi dengan permainan video.

Alyce Rocha adalah antara wanita yang menolak rutin kerja sembilan pagi hingga lima petang seperti kebanyakan orang untuk menyara kehidupan.

Dikenali dalam talian sebagai Alyska, Alyce menjadikan permainan video sebagai kerjaya sepenuh masa dengan menstrim secara langsung dirinya bermain kepada 585,000 pengikut.

Daya tarikan utama Alyce adalah ‘berkongsi pengalaman bersama’.

“Kalau anda pernah main sesuatu permainan, anda mahu tengok bagaimana orang lain beraksi,” katanya kepada program Women’s Hour terbitan BBC.

Statistik menunjukkan wanita sering dikaitkan dengan permainan berbentuk strategi atau simulasi kehidupan seperti The Sims dan Animal Crossing, yang dilabel sebagai santai.

Namun, bagi Alyce, peranannya sebagai penstrim adalah untuk mencabar tanggapan itu.

Misalnya, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dia menghabiskan masa menelusuri dunia mafia di Sicily era 1900-an menerusi permainan video berkonsepkan aksi.

Alyce berkata, seperti ramai wanita lain, dia juga gemar bermain permainan berunsur watak tertentu dan pengembaraan fantasi.

“Dahulu, saya memang benci permainan seram, tetapi penonton suka tengok, jadi saya mainkan lebih banyak sehingga akhirnya saya jatuh cinta dengan genre ini,” katanya.

CABARAN KERJAYA SEPENUH MASA

Walaupun masih majoritinya lelaki, Alyce menyaksikan jumlah penonton wanita meningkat kepada sekitar 10 peratus dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Dia memperoleh pendapatan yang disifatkannya sebagai ‘wajar’, meskipun masih dianggap nama kecil dalam dunia penstriman.

Alyce mengaku bukan mudah untuk menjadikan permainan video sebagai kerjaya sepenuh masa.

Walaupun nampak menyeronokkan, cabaran sebenar adalah untuk terus membina dan mengekalkan penonton yang setia.

“Saya sentiasa berusaha keras,” katanya, yang baru-baru ini mula mengurangkan masa siaran langsung daripada 12 jam sehari kepada enam jam, selain mengurus hal pentadbiran setiap pagi, tujuh hari seminggu.

Untuk menjana pendapatan, Alyce perlu mengurus pelbagai akaun penstriman di platform popular seperti Twitch dan YouTube, dengan pendapatan datang daripada pelanggan berbayar, hasil tontonan serta kerjasama bersama jenama.

Namun, ia bukan semudah yang disangka kerana kebanyakan platform mengambil sebahagian besar keuntungan.

Sebagai contoh Twitch, menetapkan potongan sebanyak 50 peratus sebagai standard.

Persaingan itu mencerminkan realiti industri permainan video yang kini lebih besar nilainya berbanding gabungan muzik, televisyen dan filem.

Di United Kingdom (UK) sahaja, hasil industri itu dijangka mencecah 13.7 bilion pound pada tahun ini.

WANITA MAKIN LANTANG

Menurut kajian YouGov, walaupun statistik menunjukkan golongan wanita muda kini bermain permainan video sama banyak dengan lelaki, penonton sektor penstriman masih didominasi lelaki.

Pemain eSukan dan pengacara, Frankie Ward berkata, keadaan itu banyak berkait dengan cara permainan video dipasarkan.

“Kini wanita semakin lantang menyatakan mereka juga adalah seorang gamer, malah lebih bangga untuk menga­kuinya,” kata Ward.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×