Memuatkan artikel berkaitan…
SOALAN
Saya sudah enam bulan putus tunang, tetapi masih teringat-ingat kisah pahit manis bersama dengannya. Sekarang dia bakal kahwin, lagi membuatkan saya tidak tentu arah. Bantu saya untuk teruskan hidup.
Yang kecewa
JAWAPAN
Kehilangan orang tersayang pasti memberi kesan mendalam kerana turut melibatkan harapan dan impian yang pernah dibina bersama. Rasa sedih, kecewa atau hilang arah adalah normal, namun move on penting agar hati kembali tenang dan bersedia membuka lembaran baharu.
Berikut beberapa tip sebagai panduan:
Terima perasaan – Terima kenyataan anda sedang terluka. Jangan pura-pura kuat dan nafikan perasaan itu. Berikan ruang untuk rasai perasaan dan beri peluang kepada diri untuk sembuh. Jika anda terus menolak perasaan itu, luka akan menjadi semakin lambat untuk pulih.
Lepaskan kenangan – Belajar menjaga jarak. Buang atau berikan barang-barang kenangan kepada orang lain. Hadkan interaksi di media sosial, berhenti melihat gambar, status atau perkembangan hidup bekas pasangan. Ia bukan tanda anda membenci, tetapi fokus melindungi hati sendiri. Bila hati tidak disakiti, proses melepaskan menjadi lebih mudah.
Cari sokongan – Belajarlah untuk berkongsi dengan keluarga atau sahabat baik. Mereka mungkin tidak mampu mengubah apa yang berlaku, tetapi sekurang-kurangnya anda tahu anda tidak keseorangan. Kadang-kadang, hanya dengan mendengar kata-kata semangat atau menerima pelukan ikhlas, hati menjadi lebih kuat untuk meneruskan hari-hari mendatang.
Cipta kesibukan diri – Elakkan daripada terlalu mengenang kisah silam dengan melibatkan diri dalam hobi baru, bersenam atau melakukan kerja sukarela. Apabila anda sibuk, fikiran akan kurang terikat pada memori lama. Lama-kelamaan, anda akan sedar hidup ini masih penuh dengan perkara indah yang boleh diisi.
Belajar hargai diri – Jaga kesihatan fizikal, emosi dan mental. Amalkan gaya hidup sihat. Jaga penampilan diri untuk menjadi lebih yakin dan tenang. Bisikkan pada diri setiap hari anda sayang diri anda dan berhak dicintai oleh orang yang lebih baik.
Rawat hati – yakinkan diri setiap perpisahan, ada ujian tersirat. Mengadu pada Allah agar diberi ketenangan hati, dirawat luka dan dipertemukan dengan jodoh yang lebih baik pada waktu yang tepat. Keyakinan setiap yang berlaku ada hikmahnya akan membantu hati anda lebih reda.
Kesimpulannya, move on bukan bermaksud melupakan terus, tetapi belajar untuk melepaskan dengan hati yang redha.
Percayalah, setiap kehilangan adalah ruang untuk pertumbuhan dan setiap pintu yang tertutup pasti akan diganti dengan pintu bahagia yang lebih sesuai.-UTUSAN











