SOALAN
Saya disahkan mengidap kegelisahan sosial, selalu rasa rimas dan cemas apabila perlu bercakap dengan orang. Kerja apa yang sesuai untuk saya? Adakah cara untuk mengatasi penyakit ini?
Cik Bunga
JAWAPAN
Kegelisahan sosial (social anxiety) ialah perasaan cemas dan takut untuk berinteraksi atau berada di khalayak ramai, sehingga individu tersebut cenderung menjauhkan diri. Bagaimanapun, kehidupan perlu diteruskan dan setiap individu perlu menjalani rutin harian. Berikut ialah beberapa cara yang boleh membantu anda mengatasi keadaan ini:
Pilih kerja yang sesuai – Pilih kerja yang kurang melibatkan interaksi sosial secara berterusan. Contohnya, penulis, juruteknik IT, pereka grafik, penganalisis data atau freelance. Pilihan kerja sebegini membolehkan anda mengawal komunikasi mengikut keselesaan dan secara beransur-ansur dapat membina keyakinan.
Belajar kenali fizikal – Kenali tanda fizikal apabila perasaan cemas muncul seperti debaran jantung, tangan berpeluh atau rasa panik. Amalkan teknik kawalan diri seperti melakukan pernafasan dalam, relaksasi otot atau teknik grounding dengan memberi fokus kepada apa yang anda lihat dan dengar. Ini dapat membantu menenangkan minda dan badan.
Buat persediaan awal – Buat persediaan awal sebelum menghadapi situasi sosial atau kerja yang mencabar. Contohnya, berlatih simulasi temu duga atau pembentangan. Latihan berulang-ulang akan dapat membantu tubuh dan minda anda untuk lebih bersedia menghadapi cabaran dan sekali gus dapat membina keyakinan diri.
Berkomunikasi – Mulakan komunikasi melalui saluran yang anda selesa seperti e-mel, mesej atau laporan. Apabila keyakinan diri semakin meningkat, cuba lakukan perbualan ringkas secara bersemuka sebelum bercakap dalam majlis atau mesyuarat yang besar. Ini membolehkan anda dapat berkomunikasi dengan lebih tenang dan santai.
Sokongan luar – Dapatkan sokongan daripada keluarga atau rakan rapat. Mereka boleh menjadi pendengar dan pemberi sokongan yang baik. Jika perlu, dapatkan bantuan profesional seperti kaunselor atau terapi untuk membantu anda mengatasi masalah ini dengan lebih berkesan.
Gaya hidup sihat – Amalkan gaya hidup sihat dengan tidur yang cukup, makanan seimbang dan bersenam secara teratur. Kesihatan fizikal yang baik dapat membantu mengurangkan tekanan dan rasa cemas sekali gus dapat menjadikan minda anda lebih tenang ketika berinteraksi dengan orang lain.
Kesimpulannya, kegelisahan sosial bukanlah halangan mutlak untuk berjaya di tempat kerja. Dengan latihan konsisten, sokongan sekeliling dan usaha berterusan untuk mengenali kekuatan diri, anda mampu untuk berfungsi dengan baik dalam kerjaya mereka.-UTUSAN










