SOALAN
Rakan sekerja didiagnosis mengalami gangguan kecemasan umum (GAD) dan prestasi kerjanya sangat merosot. Kami cuba bagi sokongan, tetapi dia sering beremosi dan anggap kami tidak memahaminya. Akhirnya, beban kerja kami tanggung. Bagaimana cara terbaik untuk bantunya bekerja dengan baik?
-Rakan prihatin
JAWAPAN
Dalam persekitaran kerja, setiap individu mempunyai keupayaan dan cabaran tersendiri. Masalah kesihatan seperti GAD boleh menjejaskan fokus dan prestasi kerja.
Oleh itu, penting untuk mencari pendekatan yang sesuai agar tugasan dapat diselesaikan dengan baik dan kesihatan mental turut terjaga. Berikut beberapa cadangan yang boleh membantu anda:
a)Fahami dan hormati – GAD bukan tekanan biasa dan boleh menyebabkan individu sukar mengawal kebimbangan serta mudah beremosi. Anda tidak perlu memahami sepenuhnya apa yang dirasai rakan, cukup dengan menunjukkan sikap terbuka dan tidak menghakiminya.
b)Berbincang bersama – Ajak rakan berbincang dalam suasana tenang dan empati. Tunjukkan penghargaan terhadap usahanya dan nyatakan hasrat anda ingin mencari jalan agar rakan lebih selesa bekerja.
c)Tugasan fleksibiliti – Berikan tugasan yang sesuai dengan tahap fokus dan tenaganya. Bantu susun jadual kerja secara berperingkat. Jika ada yang tidak sesuai, galak rakan untuk maklumkan awal supaya agihan boleh dilakukan dengan adil dan kerjasama pasukan berjalan lancar.
d)Berikan ruang – Berikan peluang untuk rakan berehat apabila perlu. Tetapkan jangka masa kerja dengan jelas dan lakukan semakan berkala supaya dia kekal fokus serta tahu apa yang perlu disiapkan. Pendekatan ini dapat membantu rakan seimbangkan keperluan diri dan tanggungjawab kerja.
e)Amalkan sikap berpasukan – Berikan sokongan kepada rakan dan jelaskan yang tanggungjawab kerja perlu dikongsi secara adil. Tekankan mengenai matlamat pasukan untuk saling membantu supaya semua tugasan dapat diselesaikan tanpa membebankan orang lain. Pendekatan ini boleh memupuk rasa dihargai dan meningkatkan kerjasama.
f)Berjumpa pakar – Jika keadaan berterusan cadangkan kepada rakan untuk mendapatkan sokongan dari kaunselor tempat kerja atau khidmat sokongan daripada sumber manusia.
Kesimpulannya, keseimbangan antara kesihatan mental dan produktiviti kerja penting untuk melahirkan pekerja yang sihat dan cemerlang.
Sokongan rakan sekerja menjadi kekuatan utama dalam menjaga keharmonian dan mengukuhkan semangat berpasukan di tempat kerja.










