Letih melayan orang kuat beremosi

Letih melayan orang kuat beremosi

Anda boleh menunjukkan rasa bersimpati dengan mereka yang mengalami trauma, tetapi bukan bermakna anda perlu membenarkan mereka melukai emosi anda.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Salahkah jika saya marah dengan orang yang suka salahkan keluarga apabila diri sendiri bermasalah? Saya pun daripada keluarga broken, tetapi saya boleh sahaja urus emosi! Penat bila perlu berdepan dengan orang begini.

Yang Penat

JAWAPAN
Dalam hidup ini, tidak semua orang mampu mengurus kesakitan emosi dengan baik. Ada yang berjaya keluar daripada perangkap emosi, namun ada juga yang terus terperangkap dalam kisah silam hingga melukai orang sekeliling. Persoalannya, sampai bila kita perlu bertolak ansur dengan sikap sebegini dan bagaimana cara membantu diri tanpa mengorbankan kesejahteraan sendiri?

Akui dan terima emosi – Mengakui perasaan yang dirasai tidak bermakna anda kurang berempati, sebaliknya ia menunjukkan anda juga manusia biasa yang memerlukan ruang untuk bertenang. Menerima perasaan ini langkah penting untuk hidup sihat.

Sempadan Diri – Penting untuk ada emotional boundary. Jika seseorang membuat anda rasa tidak selesa dengan cerita yang menyalahkan orang lain tanpa henti, anda berhak untuk tidak mendengar dan tetapkan jarak. Menjaga diri bukan bererti anda kejam tetapi ia sebagai pertahanan diri.

Had dalam bersimpati – Anda boleh menunjukkan rasa bersimpati dengan mereka yang mengalami trauma, tetapi bukan bermakna anda perlu membenarkan mereka melukai emosi anda. Anda boleh merasai kesakitan emosi mereka tanpa perlu melukai dan mengabaikan emosi diri sendiri.

Beri reaksi positif – Apabila anda marah, elakkan daripada membalas dengan sindiran atau menjauh tanpa penjelasan. Sebaliknya, cuba nyatakan dengan jujur (jika perlu) anda juga mempunyai luka dan tidak selesa rasa mengingati luka kembali dengan isu orang lain.

Beri sokongan – Dengar dan fahami tanpa perlu mengambil alih tanggungjawab untuk menyembuhkan luka mereka. Galakkan mereka untuk mendapatkan bantuan profesional seperti kaunselor. Dengan sokongan ini boleh membuatkan mereka lebih tenang.

Jaga kesihatan diri – Fokus pada diri sendiri. Anda juga berhak tenang, tidak perlu menjadi tong sampah emosi orang lain dan banyak luangkan masa dengan aktiviti seperti beribadah, bersenam dan menulis jurnal.

Apabila diri anda stabil, barulah anda mampu untuk membantu orang lain tanpa terbeban.

Fokus kemajuan diri – Jangan biarkan sikap negatif orang lain menghalang anda untuk menjadi lebih baik. Teruskan belajar mengurus emosi, membina kekuatan mental, dan memilih persekitaran yang menyokong perkembangan positif.

Kesimpulannya, utamakan menjaga kesihatan diri melebihi segala-galanya. Kesejahteraan anda hak mutlak yang perlu anda lindungi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×