Buli sering digambarkan sebagai penderitaan yang hanya ditanggung oleh mangsa.
Hakikatnya, kesan buli juga boleh menghancurkan masa hadapan pelakunya sendiri.
Dalam dunia yang semakin terbuka dengan sejarah silam, rekod hitam seperti membuli boleh menghantui pelaku seumur hidup.
Mangsa buli sering mengalami kesan trauma jangka panjang seperti kemurungan, kebimbangan melampau, hilang keyakinan diri dan dalam kes ekstrem, cubaan membunuh diri.
Mereka bukan sahaja kehilangan masa hadapan yang cerah, tetapi juga kekuatan untuk bangkit dalam hidup.
Namun, pembuli juga tidak terkecuali daripada kesan buruk.
Dalam dunia hari ini, latar belakang individu boleh disiasat dengan mudah.
Perbuatan membuli yang dilakukan semasa zaman persekolahan boleh kembali menghantui mereka apabila dewasa, terutama jika menjadi tokoh awam, selebriti atau individu dikenali.
Contohnya, dalam industri hiburan Korea Selatan yang terkenal dengan disiplin dan imej bersih, beberapa selebriti terkenal menerima kecaman hebat dan kehilangan kerjaya kerana dituduh terlibat dengan kes buli semasa sekolah.
Antara yang paling menonjol adalah Soojin (bekas ahli (G)I-DLE). Kariernya runtuh selepas dituduh membuli rakan sekolah.
Walaupun isu itu dipertikai, tekanan netizen dan reputasi buruk menyebabkan dia terpaksa keluar daripada kumpulan dan industri hiburan.
Hyunjin (Stray Kids) pula dituduh terlibat dalam kes buli semasa sekolah menengah. Akibatnya, rapper itu digantung untuk tempoh tertentu dan terpaksa membuat permohonan maaf terbuka.
Kim Garam (bekas ahli LE SSERAFIM) mungkin antara kes paling pantas dan drastik. Wanita itu disingkirkan selepas beberapa minggu debut setelah desas-desus pembuliannya menjadi perbincangan hangat.
Kes-kes ini menunjukkan walaupun seseorang itu mempunyai bakat dan berjaya mengejar impian, rekod membuli boleh menjadi punca kejatuhan mereka.
Dunia tidak lagi memaafkan dengan mudah, terutama apabila melibatkan penderitaan orang lain.
Buli bukan isu remeh. Ia meninggalkan luka mendalam kepada mangsa dan menjadi beban reputasi kepada pembuli.
Dalam masyarakat hari ini, masa lalu bukan lagi boleh disembunyikan. Sesiapa sahaja boleh tampil menceritakan pengalaman buruk mahupun pahit di platform media sosial sekali gus mendedahkan ‘belang’ sebenar pelaku.
Justeru, kita semua tidak kiralah pelajar, ibu bapa, guru dan masyarakat perlu memainkan peranan memastikan budaya buli tidak terus diwarisi.
Tiada siapa menang dalam buli. Yang tinggal hanyalah kerosakan, penyesalan dan masa hadapan yang hancur untuk kedua-dua pihak.
Semoga budaya buli dapat dibanteras sebaiknya oleh pihak berwajib agar tiada lagi yang terdera emosi dan fizikalnya akibat perbuatan tidak berperikemanusiaan ini.
-Intan Suhana Che Omar adalah wartawan Utusan Malaysia










