Aqsa kongsi pengalaman ngeri di Gaza

Aqsa kongsi pengalaman ngeri di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI SEBALIK penafian Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengenai kebuluran di Gaza, seorang doktor Amerika Syarikat (AS) membawa pulang kisah yang jauh lebih perit daripada angka dan laporan rasmi.

Selama dua bulan berkhidmat sebagai sukarelawan perubatan di wilayah bergolak itu, Dr. Aqsa Durrani menyaksikan sendiri bagaimana kelaparan meragut sisa kekuatan rakyat Palestin di sana.

Sebagai doktor pediatrik, hatinya perit melihat kanak-kanak yang cedera dalam serangan udara tidak lagi menjerit akibat kesakitan, tetapi kerana kelaparan yang mencengkam tubuh kecil mereka.

“Jeritan itu jelas berbeza,” katanya bagi menggambarkan penderitaan kanak-kanak di Gaza.

Aqsa yang mengabdikan diri lebih 15 tahun dalam misi kemanusiaan berkata, pengalaman bersama Doktor Tanpa Sempadan di Gaza benar-benar memberi kesan mendalam padanya.

Beliau masih ingat wajah seorang kanak-kanak perempuan empat tahun yang ditemukan cedera dan bersendirian selepas serangan Israel, sebelum dibawa ke sebuah hospital medan di tengah Gaza.

“Dia nampak terkejut dan tidak berkata sepatah pun. Rakan saya memutuskan membawanya pulang, dengan harapan dapat membantu mencari keluarganya.

“Walaupun diberi makan dan diajak bermain, tetapi dia langsung tidak menunjukkan sebarang emosi selama beberapa hari,” katanya kepada ABC News.

 

Menurut Aqsa, rakannya berusaha mencari keluarga kanak-kanak itu di kawasan serangan, tetapi gagal.

“Akhirnya, mereka menemukan seorang lelaki yang memberitahu mempunyai anak saudara sebaya kanak-kanak itu dan apabila dia melihat lelaki tersebut, dia menjerit ammo yang bermaksud pakcik lalu berlari memeluknya.

“Itulah kali pertama rakan saya mendengar dia bercakap,” katanya.

 

KEADAAN LUAR JANGKA
Aqsa yang berada di Gaza dari 24 Februari hingga 24 April lalu menyaksikan berakhirnya perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas serta sekatan berpanjangan terhadap bantuan kemanusiaan.

Menurutnya, hospital medan yang terdiri daripada khemah dan struktur separa kekal, ditubuhkan untuk mengurangkan tekanan ke atas hospital utama, tetapi hanya mampu menyediakan rawatan terhad.

“Kami tidak mungkin dapat menyediakan perkhidmatan lain dengan keadaan yang ada. Kami benar-benar perlu menumpukan kepada perkhidmatan trauma dan menyelamatkan nyawa,” katanya.

Aqsa berkata, pada awalnya kebanyakan pesakit yang dirawat adalah mangsa cedera atau melecur, namun keadaan semakin meruncing apabila semakin ramai, termasuk kanak-kanak tiba dengan kesan tembakan dipercayai dari tapak pengagihan bantuan.

“Setiap hari kami menyaksikan keganasan bersifat genosid selama berbulan-bulan.

“Keadaan ini benar-benar di luar jangkaan, malah sukar dibayangkan walaupun oleh rakan kami yang paling berpengalaman dalam misi kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata, majoriti pesakit yang dirawat adalah wanita dan kanak-kanak, walaupun hospital tersebut dibuka untuk semua orang awam.

SATU HIDANGAN SEHARI
Menjelang tempoh akhirnya di Gaza, bekalan makanan semakin berkurangan.

“Kebanyakan masa kami dihabiskan dengan mencari jalan bersama organisasi lain bagi mendapatkan sedikit bekalan makanan untuk pesakit dan orang awam.

“Namun akhirnya, saya hanya mampu menyediakan satu hidangan sehari, itu pun terpaksa dikongsi oleh seorang ibu bersama anak-anaknya,” katanya.

Aqsa percaya keadaan di Gaza adalah ‘pilihan yang disengajakan’ oleh kepemimpinan Israel dan mendesak kerajaan AS menarik balik sokongan terhadap keganasan tanpa prejudis.

“Saya masih ingat ketika bas kami meninggalkan zon penampan. Dari tingkap sebelah kiri saya lihat Rafah yang hanya tinggal runtuhan manakala di kanan pula, terbentang Israel yang hijau subur.

“Apabila kami keluar dari pagar, perkara pertama yang dilihat ialah sekumpulan askar Israel duduk di meja sedang menikmati makan tengah hari.

“Saya tidak pernah berasa begitu mual melihat makanan yang banyak di atas meja. Masalah di Gaza bukan kerana tiada makanan, tetapi ia sengaja disekat oleh Israel,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×