Sabar jaga kucing cacat, berkudis

Sabar jaga kucing cacat, berkudis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memelihara kucing cacat dan trauma bukan tugasan mudah, namun tanggungjawab itu berjaya digalas sebaik mungkin oleh pemuda berusia 26 tahun ini.

Mohamad Faiz Md. Noor berkata, kucing Munchkin yang dinamakan Matahari itu lahir daripada proses pembiakan baka oleh golongan sindiket.

Bagaimanapun, kelahirannya tidak menjadi ekoran ketidakseimbangan genetik, sekali gus menjadikan sifatnya berbeza daripada baka biasa.

Sehingga kini, kucing berwarna oren itu masih lagi mengalami trauma.

“Kaki depannya pendek manakala yang belakang pula lebih panjang lantas menyebabkan Matahari berjalan perlahan dan berjengket.

“Di peringkat awal, Matahari sangat takut disentuh mahupun didekati dan saya terpaksa mengasingkannya di dalam bilik khas jauh daripada kucing-kucing lain,” katanya.

Walaupun sudah lima tahun menjaganya, si manja itu masih lagi sensitif jika didekati tetamu yang berkunjung ke rumahnya.

Selain itu, Mohamad Faiz turut memelihara tiga kucing baka Domestic Long Hair iaitu Awan, Bulan dan Bintang.

Katanya, niat awal hanya mahu memelihara Awan tetapi diminta pemilik asal menjaga sekali Bulan.

“Keadaannya ketika itu sangat menyedihkan kerana kudis di seluruh badan selain mengandung. Kerana kasihan, saya bersetuju untuk menjaganya.

“Dengan penjagaan rapi, Bulan berjaya melahirkan Bintang pada hujung tahun lalu,” katanya.

Bilik khas
Bagi memastikan keempat-empat kucingnya selesa dan ceria, Mohamad Faiz menyediakan bilik khas untuk haiwan kesayangannya itu.

Langkah itu dalam masa sama dapat mengelakkan kucingnya terganggu apabila tetamu datang ke rumah.

Tambahan pula, tidak semua orang selesa dengan kehadiran kucing di rumahnya.

“Kalau ada tetamu, biasanya saya kurung keempat-empat ‘anak’ dalam bilik.

“Selain itu, saya juga tidak membiarkan Matahari, Awan, Bulan dan Bintang bermain di luar rumah kerana badan kebanyakannya sensitif dan mudah mendapat penyakit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN