Mangsa buli kakak sendiri

Mangsa buli kakak sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAIMANA menjaga perasaan dan kesihatan mental sendiri apabila kakak selalu merendah-rendahkan saya, anggap sebagai pesaingnya dan membuat saya rasa tidak yakin dengan diri? Bagaimana untuk buatkan saya jadi lebih kuat dan tidak mudah terasa?

Adik kecewa

JAWAPAN

Memiliki keluarga besar menjadi impian ramai, tetapi ia tidak selalu indah. Kerenah adik-beradik kadang-kadang boleh menyakitkan hati. Jika dilawan, takut merosakkan hubungan, makin dipendam, hati pula terluka.

Dalam dilema antara sayang, kecewa dan mahu jaga hubungan, kita sering berkorban hingga menyakiti diri sendiri. Berikut beberapa cara yang boleh membantu:

Fokus pada diri – Belajar sayang diri sendiri. Bila terasa dengan kata-kata kakak, tenangkan diri dan ingatkan itu bukan cerminan diri anda. Cara ini dapat membantu anda kekal fokus dan melindungi keyakinan diri daripada dipengaruhi oleh kata-kata orang lain.

Tetapkan sempadan – Tidak semua perkara perlu dikongsi atau dicampuri. Jaga ruang peribadi untuk elak tekanan emosi. Belajar untuk tegas dengan diri agar dapat membantu anda melindungi emosi daripada terus terbeban dengan perkara yang melemahkan jiwa.

Ajak berbincang – Jika ada isu, berbincanglah dalam keadaan tenang. Elakkan berbicara ketika marah atau emosi kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan. Perbincangan yang matang dan tenang lebih mudah membuka ruang untuk saling memahami dan memulihkan hubungan.

Sokongan luar – Jika keadaan tidak terkawal sehingga mengganggu emosi, carilah seseorang untuk berkongsi seperti ahli keluarga, rakan baik atau kaunselor untuk dapatkan sokongan sekali gus membantu menangani isu dengan baik. Anda tidak perlu tanggung semuanya sendirian.

Cari aktiviti luar – Luangkan masa dengan melakukan aktiviti yang diminati seperti belajar memasak, bersukan atau belajar kemahiran baharu. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah dapat mengalihkan perhatian daripada perkara yang membebankan emosi. Apabila fokus perkara positif, minda akan lebih tenang.

Berdoa dan bermuhasabah – Memohon kepada Allah agar diberi kekuatan, ketenangan dan perlindungan daripada luka yang berpanjangan. Muhasabah diri untuk dapatkan ketenangan jiwa. Ia dapat membantu untuk bertenang, reda dan perlahan-lahan belajar melepaskan perkara yang menyakitkan.

Pengorbanan dalam keluarga bukan bermakna membiarkan diri terluka, tetapi belajar mengurus keadaan dengan sabar dan matang. Jaga nilai diri, hargai perasaan sendiri dan terus berdoa agar hubungan kekeluargaan kekal harmoni dan diberkati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×