Kamelia bina keyakinan wanita dengan alat solek mampu milik

Kamelia bina keyakinan wanita dengan alat solek mampu milik

Pengasas Kamelia Cosmetics, Kamelia Nisha Khairul Anuar, -UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengasas Kamelia Cosmetics, Kamelia Nisha Khairul Anuar, mencipta nama bukan semata-mata kerana produknya, tetapi kerana misinya yang tulus untuk memastikan semua wanita, tidak kira latar belakang atau kemampuan kewangan mampu berasa cantik dan yakin dengan diri sendiri.

Segalanya bermula secara tidak sengaja sewaktu beliau menemani suaminya menyambung pengajian di United Kingdom sekitar tahun 2014.

Ketika itu, beliau tertarik dengan pelbagai produk alat solek tempatan yang bukan sahaja dijual pada harga yang amat berpatutan, bahkan kualitinya juga menyaingi jenama besar antarabangsa. Pengalaman ini mencetuskan satu kesedaran dalam diri Kamelia Nisha.

Beliau mula mempersoalkan mengapa di Malaysia, alat solek berkualiti hanya boleh dinikmati oleh golongan yang mampu sahaja.

Sekembalinya ke tanah air pada tahun 2016, Kamelia melihat dengan lebih dekat realiti yang dihadapi oleh pelajar wanita dan golongan berpendapatan rendah.

Ramai di antara mereka ingin tampil cantik dan berkeyakinan, namun terhalang oleh kekangan kewangan.

Ketika itu juga, belum banyak jenama tempatan yang mampu menawarkan produk kosmetik berkualiti tinggi dengan harga yang benar-benar mesra poket.

Inilah yang menjadi dorongan terbesar beliau untuk menubuhkan Kamelia Cosmetics.

Sebuah jenama yang lahir daripada keinginan untuk membantu dan memberi peluang kepada wanita untuk menyayangi diri mereka sendiri.

Pada peringkat awal, segala-galanya diuruskan dari rumah.

“Setiap tempahan diterima secara manual menerusi mesej di Instagram dan WhatsApp.Pada waktu itu, segalanya dilakukan sendiri daripada membungkus produk sehinggalah ke penghantaran,” katanya kepada Seri.

Namun, Kamelia Nisha tidak pernah merungut. Baginya, setiap produk yang dihantar adalah harapan yang dibawa kepada seorang wanita untuk berasa lebih yakin.

Beliau juga tidak segan meminta bantuan rakan-rakan serta pempengaruh media sosial bagi memperkenalkan jenamanya kepada pasaran yang lebih luas.

BUKA PELUANG PEKERJAAN

Apabila permintaan semakin meningkat, beliau mula menyedari pentingnya sistem yang lebih teratur.

Maka pada tahun 2019 dan 2020, sistem ejen diperkenalkan. Strategi ini bukan sekadar meluaskan pasaran, malah membuka ruang kepada wanita lain untuk turut sama menjana pendapatan.

Melalui pendekatan ini, Kamelia Nisha bukan hanya menjual produk, tetapi memberi peluang kepada wanita lain untuk berdikari dan percaya kepada keupayaan diri sendiri.

Tahun 2023 membawa satu kejutan manis buat Kamelia apabila produk keluarannya, Mermaid Skin Foundation, memenangi anugerah berprestij daripada Beauty Insider.

Lebih membanggakan, produk tersebut berjaya terjual lebih RM150,000 unit.

Bagi figura ini, ia bukan sekadar pencapaian komersial, tetapi pengiktirafan terhadap kerja keras yang dilakukan dengan penuh semangat dan kesungguhan.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja mengejutkan, malah amat menggembirakan kerana ia menjadi bukti usaha kecil yang dimulakan dengan penuh semangat dan kepercayaan kini mula membuahkan hasil,” ujarnya.

PENGALAMAN DITIPU

Namun, mana mungkin perjalanannya tidak pernah diterpa badai.

Tahun 2017 merupakan antara detik paling sukar dalam hidupnya apabila ditipu oleh pengilang.

“Kilang yang sepatutnya menyiapkan produk dalam tempoh 45 hari, gagal menunaikan janji tersebut.

“Sebaliknya, produk hanya siap enam bulan kemudian, satu tempoh terlalu panjang bagi perniagaan seperti kami yang bergantung pada momentum jualan bulanan,” katanya.

Ketiadaan produk selama tempoh itu menyebabkan syarikat hilang pendapatan sepenuhnya, lebih-lebih lagi kerana stok tersebut dirancang untuk kempen Ramadan dan Aidilfitri.

Kamelia Nisha dan suami bertungkus-lumus memasarkan kembali produk tersebut demi menampung kerugian.

Pengalaman pahit ini bukan sahaja menguji ketabahan, tetapi menjadi titik tolak untuk beliau bangkit lebih kuat.

PASARAN MAKIN LUAS

Alah bisa tegal biasa. Di sebalik dugaan yang menimpa, ada hikmah di dalamnya.

Tahun 2025 membuka lembaran baharu yang sangat membanggakan apabila jenamanya berjaya menembusi pasaran runcit kecantikan Malaysia.

Produk beliau kini boleh didapati di 50 cawangan Guardian sekitar Klang dan Selangor.

Kerjasama ini bukan sahaja meluaskan lagi akses pengguna, malah meningkatkan keyakinan terhadap jenama tempatan yang berkualiti.

Malah, jenamanya juga berjaya meraih keuntungan sehingga dua kali ganda.

Beliau juga bercadang untuk mengembangkan lagi penjualan ke cawangan negeri lain jika sambutan terus memberangsangkan.

DIDIK ANAK TANGGUNGJAWAB

Di sebalik kejayaan luar biasa ini, Kamelia tetap menjalani kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu kepada dua orang anak.

Walaupun perniagaan semakin sibuk, beliau sentiasa memastikan keluarga tetap menjadi keutamaan.

Beliau sering melibatkan anak-anak dalam urusan kerja, membawa mereka ke pejabat dan mengajar proses pembungkusan dan pelabelan.

Baginya, ini bukan sahaja cara untuk mengeratkan hubungan keluarga, tetapi juga mendidik anak-anak tentang nilai kerja keras dan tanggungjawab sejak kecil.

“Rutin ini dapat memberi peluang kepada mereka untuk bermain dan belajar dalam suasana yang santai.

“Malah, pendekatan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan, tetapi juga menyemai nilai kerja keras dan tanggungjawab sejak usia muda,”katanya.

TITIK BERAT PENJAGAAN DIRI

Menjelang usia 30-an, Kamelia Nisha lebih prihatin terhadap penjagaan diri.

Beliau mengurangkan pengambilan gula, menjaga pemakanan dan mengamalkan senaman secara konsisten.

Hasilnya, bukan sahaja berjaya menurunkan berat badan sebanyak 10 kilogram, malah wajahnya kelihatan lebih berseri.

“Apabila amalkan pengurangan atau sifar gula mahupun pemanis dalam minuman, saya kagum melihat hasil positifnya terutama pada muka yang nampak lebih segar,” ujarnya.

Perubahan ini menjadi bukti kecantikan bukan sekadar pada luaran, tetapi juga bermula dari dalam berbekalkan disiplin, kesedaran dan kasih sayang terhadap diri sendiri.

Kamelia Nisha bukan sekadar seorang usahawan, tetapi seorang wanita yang membawa misi untuk mengubah persepsi terhadap kecantikan.

Beliau membuktikan kecantikan tidak seharusnya menjadi beban, sebaliknya menjadi sumber kekuatan dan keyakinan bagi setiap wanita.

Melalui perniagaanya, beliau membuka ruang kepada wanita untuk merasa dihargai, disayangi dan yang paling penting yakin dengan diri sendiri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×