PARLIMEN Suriname meluluskan pelantikan Jennifer Simons sebagai presiden wanita pertama negara Amerika Selatan itu minggu lalu, sekali gus membuka laluan kepada beliau untuk menerajui negara yang dijangka mengalami ledakan ekonomi hasil minyak.
Simons, 71, dilantik sebagai presiden selepas enam minggu pilihan raya umum menyaksikan parti pemerintah dan pembangkang utama hampir seri dalam perebutan kerusi Parlimen, yang akhirnya membawa kepada pembentukan kerajaan gabungan untuk menyokong pelantikan.
Parti pembangkang pimpinannya, Parti Demokrat Kebangsaan, memenangi 18 kerusi, manakala Parti Reformasi Progresif pimpinan presiden semasa, Chan Santokhi, memperoleh 17 kerusi dalam pilihan raya parlimen pada 25 Mei lalu. Sementara itu, parti-parti kecil memenangi baki 16 kerusi.
Selepas pilihan raya umum, anggota Dewan Negara akan mengundi untuk memilih presiden dan calon perlu memperoleh majoriti dua pertiga untuk memenangi jawatan tersebut.
“Saya memegang jawatan ini untuk berkhidmat dan saya akan menggunakan segala ilmu, kekuatan dan kebijaksanaan untuk memastikan kekayaan negara dapat dinikmati oleh seluruh rakyat,” katanya dalam ucapan ringkas selepas pelantikan diluluskan ahli Parlimen.
Simons turut berikrar memberi tumpuan khusus kepada golongan muda dan golongan yang masih belum menikmati peluang terbaik dalam kehidupan.
“Saya sangat sedar dengan tanggungjawab yang dipikul dan bagi saya ini adalah tanggungjawab berganda kerana saya merupakan wanita pertama yang memegang jawatan ini.
“Saya tidak perlu banyak bercakap. Terima kasih dan kita akan mula bekerja,” katanya.
Penyandang Presiden, Santokhi, 66, yang bertanding untuk penggal kedua, sebelum ini menerima kritikan berhubung kegagalannya melindungi golongan miskin.
Meskipun tewas kepada Simons, beliau berharap pemerintahannya akan terus dikenang dan terbuka mengambil tanggungjawab atas segala kekurangan sepanjang pentadbiran.
CALON KEDUA PALING POPULAR
Suriname, bekas jajahan Belanda yang merdeka sejak 1975, dijangka menyaksikan lonjakan pendapatan menerusi pembangunan tenaga luar pesisir berskala besar pertama negara, sebuah projek minyak dan gas yang diterajui syarikat Perancis, Total Energies.
Projek Gran Morgu dijangka memulakan pengeluaran pada 2028.
Simpanan minyak yang ditemukan berpotensi untuk menjadikan Suriname pesaing utama jiran terdekatnya, Guyana, yang ekonominya berkembang sebanyak 43.6 peratus tahun lalu hasil ledakan minyak.
Bagaimanapun, kempen pilihan raya baru-baru ini kurang memberi tumpuan kepada persoalan penting mengenai bagaimana kerajaan baharu, yang akan memegang tampuk pemerintahan sehingga 2030, akan menguruskan hasil minyak tersebut.
Pemilihan beliau sebagai presiden dicapai hasil perjanjian antara enam parti, dua hari selepas pilihan raya Parlimen, namun hanya dimuktamadkan secara rasmi menerusi undian pada Ahad.
Upacara pelantikan rasmi beliau dijadualkan berlangsung pada 16 Julai.
Parlimen Suriname menyokong Simons sebagai presiden secara sebulat suara, bersama pemimpin Parti Kebangsaan Suriname (NPS), Gregory Rusland dilantik sebagai naib presiden.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Speaker Parlimen selama satu dekad sehingga 2020, dan dalam pilihan raya baru-baru ini, beliau memperoleh lebih 41,700 undi.
Jumlah itu menjadikannya calon kedua paling popular selepas Santokhi.
Beliau kini mengetuai Parti Demokrat Kebangsaan, yang diasaskan oleh bekas Presiden Desi Bouterse, tokoh dominan dalam politik Suriname selama beberapa dekad.
Bouterse meninggalkan jawatan presiden pada 2020, setahun selepas beliau disabitkan atas kesalahan membunuh 15 pengkritik kerajaan dalam tragedi pembunuhan 1982.-UTUSAN









