Siapa sangka, kucing bernama Goyem bukan sahaja manja, malah gemar bergaya dengan pakaian tradisional!
Menurut pemiliknya, Siti Rohani Abdul Hamid, 44, si comel berwarna jingga ini cukup selesa apabila dipakaikan baju Melayu lengkap dengan tanjak, siap bergaya seolah-olah menghadiri majlis rasmi!
“Saya suka pakaikan Goyem baju khas dan menariknya ia langsung tidak merungut. Malah, nampak lebih ceria,” katanya kepada Seri.
Kadangkala, sebelum keluar berjalan petang di kampung, Goyem akan ‘dihias’ dengan aksesori tambahan seperti cermin mata hitam dan keris kecil menjadikan penampilannya bak pahlawan kecil yang bergaya!
Si comel itu juga gemar berjalan-jalan seperti sedang membuat pertunjukan fesyen di sekeliling kampung.
Namun, di sebalik penampilan Goyem yang hebat, ada kisah menarik di sebaliknya.
Dahulu, Siti Rohani langsung tidak berani dekat dengan kucing apatah lagi memegangnya!
Dia sanggup mengangkat kaki di atas kerusi ketika makan di restoran jika terlihat kucing berkeliaran.
Tapi takdir mengubah segalanya apabila bertemu seekor anak kucing dalam kotak berdekatan tempat kerja.
Tanpa pengalaman dan dengan perasaan geli yang masih ada, dia nekad membawa pulang kucing itu yang kemudian dinamakan Goyem.

Walaupun tanpa pengalaman, hati kecilnya tidak sanggup membiarkan kucing itu sendirian. Maka bermulalah kisah kasih sayang beliau dengan si comel yang dinamakan Goyem, seekor kucing spesies Domestic Long Hair berwarna jingga dan sangat manja.
Minggu pertama memang mencabar. Dia masih takut dan geli untuk memegang Goyem. Hanya berani membelai ketika si comel duduk di dalam kotak.
Tetapi berkat kesungguhan dan sokongan rakan serta ilmu dari internet, beliau mula mahir menjaga si bulus.
Kini, Goyem menjadi peneman harian. Setiap petang, dia setia menanti di pintu, mengajak tuannya beriadah.
Setiap petang, Goyem akan setia tunggu di depan pintu, menanti kepulangan tuannya dari kerja. Bukan sekadar menunggu, Goyem juga suka berjalan-jalan di kampung dan tepi sawah, tetapi dengan satu syarat, tuannya mesti ikut sekali.
Kalau Siti Rohani tertinggal jauh, Goyem akan berhenti dan tunggu.
“Gelagat Goyem seperti kanak-kanak riang. Sifatnya yang tidak takut dengan orang lain membuatkan si bulus itu, mudah beramah mesra dan menunjukkan sifat manja pada orang yang ditemuinya.
“Goyem akan mudah merajuk, sekiranya saya tidak menunaikan janji untuk membawanya keluar berjalan-jalan di waktu petang,” katanya.
PEMAKANAN SIHAT
Menariknya, makanan harian Goyem bukan makanan kucing komersial. Sebaliknya, Siti Rohani menyediakan menu khas rebusan ikan dan labu kuning, tanpa garam atau perasa.
Resipi ini bukan saja menjimatkan, tapi juga baik untuk penghadaman si comel. Goyem juga diberi vitamin khas dan rawatan bulu harian supaya tampil sihat dan menawan.
Goyem akan dimandikan seminggu sekali, tetapi setiap kali hendak mandi, ia pasti meragam dan cuba mengelak. Berbeza dengan waktu kecil dulu, kini Goyem lebih ‘berperangai’ apabila tiba masa mandi.
Kini, Siti Rohani bukan sahaja berjaya atasi ketakutan terhadap kucing, tetapi hidupnya juga dipenuhi kasih sayang 14 ekor si bulus. Goyem, si kucing pertama, menjadi pintu masuk ke dunia baru yang penuh warna-warni buatnya.-UTUSAN










