Ujian paling berat seorang ibu bukan sahaja ketika miskin atau jatuh sakit, tetapi ketika dibenci oleh anak-anak sendiri.
Tiada ubat, tiada penawar. Hanya doa dan cuba memujuk hati sendiri.
Hari ini, kisah anak memusuhi ibu sendiri bukan lagi cerita rekaan. Ia wujud dan nyata.
Apapun kisahnya, sebagai anak jangan biarkan kebencian menutup rasa hormat kepada insan yang Allah letakkan darjat di tempat tertinggi itu.
Minggu ini, saya kongsikan kisah Rafeah (bukan nama sebenar) yang dimusuhi anak sendiri kerana fitnah bekas suami.
Wanita berusia 65 tahun itu berkata, walaupun sudah lebih dua dekad berpisah dan bekas suami sudah berkahwin lain, lelaki itu masih tidak berhenti menjaja buruknya.
Menurut Rafeah, dia tidak pernah meminta cerai, tetapi selepas bekas suami lebih memilih wanita lain dan menjatuhkan maruahnya di depan anak-anak, dia akur.
“Sehingga ke hari ini bukanlah perceraian yang menyakitkan, tetapi kebencian anak-anak tanpa sebab yang saya tahu.
“Saya tidak pernah menyangka anak-anak yang ditatang bagai minyak penuh, melayan dan memperlakukan saya begini,” katanya sambil mengesat air mata.
Dalam pertemuan dengan saya baru-baru ini, wanita itu tanpa berselindung mengakui dia bukan ibu yang sempurna.
Namun, dia tidak pernah berhenti menyayangi dan mendoakan kebaikan untuk anak-anak.
Menyingkap kisah rumah tangga yang lalu, dia berkahwin dengan Sham (bukan nama sebenar) atas pilihan keluarga.
Selepas diijab kabul, dia mengikut suami yang bekerja sebagai seorang kakitangan kerajaan di Kuala Lumpur.
Bermulalah episod baharu dalam hidupnya.
Menurut Rafeah, walaupun dia agak kekok pada awalnya dengan kehidupan bandar, pada akhirnya mampu menyesuaikan diri.
“Seluruh kehidupan saya ketika itu hanya untuk suami dan anak-anak.
“Saya melayan suami seperti raja. Memastikan memasak makanan yang disukai, sehinggakan saya yang memakai stokin dan menyarung kasut setiap kali dia bersiap untuk ke tempat kerja,” ceritanya.
Dalam tempoh 15 tahun berkahwin, mereka dikurniakan enam orang anak, dua lelaki, empat perempuan. Kehidupan Rafeah ketika itu sangat bahagia.
Namun langit tidak selalu cerah. Rumah tangga mereka diuji apabila Sham tiba-tiba berubah sikap.
Sering pulang lewat dan suka marah-marah jika ada yang tidak kena.
Perbelanjaan makan minum dan persekolahan anak-anak juga ketika itu sering sangkut dan tertangguh.
Pada awalnya, Rafeah beranggapan Sham kepenatan dengan kerja -kerja di pejabat.
“Sebelum itu saya pernah terjumpa kesan gincu di kemeja putihnya, resit hotel dan pembelian barang kemas.
“Namun, saya masih bersangka baik dan langsung tidak bertanya apa-apa kepadanya,” cerita Rafeah.
Akhirnya, rahsia Sham curang terbongkar selepas dia ditangkap khalwat dengan seorang wanita di sebuah hotel bajet.
Hati Rafeah remuk, tetapi demi anak-anak yang masih kecil ketika itu dia bertahan.
Hari demi hari, minggu berganti bulan, Rafeah terus makan hati kerana terpaksa hidup dengan suami yang pernah curang.
Sehinggalah pada suatu hari, bekas suami pulang awal daripada biasa. Dia tidak pulang berseorangan tetapi membawa seorang wanita.
Bekas suami tanpa rasa bersalah memberitahu akan berkahwin dengan wanita berkenaan dan akan menceraikannya.
“Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu,”katanya sambil menarik nafas.
Beberapa minggu selepas itu, bekas suami melafazkan cerai.
Selepas bercerai, hak penjagaan sepenuhnya diberi kepada Rafeah dan Sham masih mendapat hak lawatan sebulan dua kali mengikut perintah mahkamah yang dipersetujui.
Bermulalah episod Rafeah sebagai ibu tunggal enam anak yang masih kecil.
Bukan mudah menjadi ibu tunggal. Apatah lagi bekas suami culas memberi nafkah.
Janji tinggal janji. Ketika dia diuji, kebaikan seorang jiran menjadi penguat semangatnya.
Dia ditawarkan menjadi pengasuh kepada anak jirannya yang ketika itu masih kecil demi menyara hidup.
Fitnah dan kebencian bekas suami tidak berakhir selepas mereka bercerai.
Bekas suami tidak henti menabur fitnah. Rafeah dikatakan tidak pandai menguruskan rumah tangga dan tidak pandai melayan suami.
Paling menyakitkan, Rafeah dituduh curang dengan lelaki lain.
Setiap kali bekas suami bertemu anak-anak, tidak sekadar keluar makan-makan dan membeli-belah, fikiran mereka turut ditanam dengan cerita-cerita buruk tentang Rafeah.
Fitnah yang ditabur lama kelamaan menukar cinta anak-anak menjadi benci.
Walaupun membesar di bawah jagaannya, anak-anak lebih mempercayai bapa yang hanya berjumpa sebulan sekali.
Sambung wanita tabah ini, sepanjang membesarkan anak- anaknya sendirian dia tidak meminta lebih.
Dia mahu anak-anak cukup makan, pakai, pelajaran dan kasih sayang.
Walaupun hanya anak bongsunya yang berjaya ke menara gading dia tetap bersyukur.
Tetapi semakin meningkat dewasa, semakin dia kenal sikap anak-anak.
Tiga anak perempuan sudah berkahwin dengan pilihan masing-masing.
“Masing-masing sejak berkahwin cuba menjauhkan diri, bercakap kasar dan mengungkit-ungkit kisah silam yang tidak pernah berlaku,” ujarnya.
Tanpa berselindung, dia turut meluahkan perasaan rindu terhadap anak perempuan keempatnya, Sally (bukan nama sebenar) yang tidak pulang selepas berkahwin pada tahun 2008.
Katanya, cukup menyedihkan anak lelaki bongsunya, Daniel (bukan nama sebenar) yang paling manja juga telah berkahwin tanpa melibatkannya tahun lalu.
“Saya tidak diundang dalam majlis perkahwinannya dan digantikan dengan bapa serta ibu tirinya sahaja,” luahnya bernada terkilan.
Tambah Rafeah, sehingga hari ini juga dia tidak berpeluang bertemu dengan menantu dan cucu-cucunya.
Walaupun dihina, difitnah dan dipinggirkan dia tetap mendoakan anak-anaknya.
“Di hujung usia begini saya hanya mahukan ketenangan.
“Namun jauh di sudut hati saya masih berharap dapat bertemu anak cucu sebelum menutup mata,” ujarnya menahan sebak.
Kisah Rafeah yang dibenci anak sendiri wajar dijadikan pengajaran dan peringatan.
Apapun kisah dan puncanya, Rafeah sebagai ibu perlu disayangi, dimaafkan dan dihormati.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepada,? Maka Rasulullah SAW menjawab,Ibu kamu(adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya}, kemudian ibu kamu,kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu,’’(Riwayat Muslim 2548}.-UTUSAN










