KANDUNGAN pendidikan berlagu, nasihat keibubapaan dan gaya mesra kanak-kanak menjadikan Ms Rachel figura yang digemari jutaan keluarga di seluruh dunia.
Di Instagram, penampilannya yang ceria, lengkap dengan ikat rambut merah jambu dan baju luar denim, menyerlahkan imej seorang pempengaruh yang komited memberi inspirasi kepada ibu bapa serta kanak-kanak.
Rachel Griffin Accurso, 42, bukan sahaja dikenali kerana membantu kanak-kanak menguasai kemahiran asas seperti latihan tandas, malah turut memberikan sokongan moral kepada ibu bapa yang melalui fasa mencabar dalam membesarkan anak.
Setiap nasihat disampaikan dengan senyuman menenangkan, menjadikannya sumber rujukan yang dipercayai ramai.
Namun, perubahan ketara berlaku tahun lalu apabila beliau mula bersuara mengenai penderitaan kanak-kanak di Gaza, menghiasi akaunnya dengan seruan bantuan kemanusiaan, yang mencetuskan perbalahan dalam kalangan pengikut serta desakan agar siasatan persekutuan dijalankan.
“Saya rasa perkara yang sepatutnya kontroversi ialah apabila seseorang memilih untuk tidak berkata apa-apa.
“Menyedihkan apabila ada yang cuba menjadikannya isu kontroversi apabila kita bersuara untuk kanak-kanak yang mengalami penderitaan tidak terperi. Berdiam diri bukan pilihan saya,” katanya dalam temu bual bersama penyampai bebas, Mehdi Hassan.
Walaupun mesej yang dibawanya ditujukan kepada golongan dewasa di media sosial, tanpa melibatkan kandungan video pendidikan untuk kanak-kanak, beliau tetap menjadi sasaran kecaman.
Tindakan beliau mencetuskan perdebatan yang mencerminkan polarisasi ketara dalam masyarakat Amerika Syarikat (AS) mengenai konflik Israel-Palestin, yang turut melanda kampus universiti, tempat kerja dan ruang sosial lebih meluas.
TUDUHAN BERAT SEBELAH
Pada Mei tahun lalu, Rachel melancarkan kempen kutipan dana yang berjaya mengumpul sebanyak AS$50,000 (RM211,800) untuk organisasi kemanusiaan, Save the Children.
Namun, di sebalik usaha murni itu, beliau turut menerima kecaman hebat dan dibuli dalam bentuk tuduhan berat sebelah terhadap Israel.
“Kanak-kanak Palestin, kanak-kanak Israel, kanak-kanak di AS, Muslim, Yahudi atau Kristian, semua kanak-kanak, di mana-mana negara sekali pun.
“Tiada seorang pun yang terkecuali,” tulisnya dalam hantaran di Instagram.
Bagaimanapun, tuduhan terhadapnya berkaitan sikap anti-Israel dan anti-Semitisme terus meningkat sejak itu.
Dalam masa sama, bilangan korban dalam kalangan kanak-kanak di Gaza juga terus bertambah.
Situasi itu terus mencetuskan perdebatan hangat di peringkat antarabangsa mengenai keadilan dalam laporan konflik, bantuan kemanusiaan dan nasib kanak-kanak di kawasan bergolak.
Sebuah kumpulan pelobi pro-Israel yang dibiayai secara persendirian menggesa Peguam Negara AS, Pam Bondi, supaya menyiasat sama ada Rachel menerima dana asing bagi menyebarkan propaganda anti-Israel dan memesongkan pandangan awam.
Pertubuhan Stop Anti semitism, yang menggelarkan dirinya sebagai pemantau akar umbi, menuduh Rachel menyebarkan propaganda Hamas.
Namun, pertubuhan itu turut mengakui Rachel pernah memuat naik hantaran menyokong kanak-kanak Israel, termasuk Ariel dan Kfir Bibas, antara tebusan termuda yang diculik Hamas dan meninggal dunia dalam tahanan.
Dalam wawancara bersama The New York Times, Rachel menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau menerima dana daripada Hamas dan menyifatkan tuduhan itu sebagai ‘mengarut’ serta tidak berasas.
“Kenyataan yang menyakitkan. Ribuan kanak-kanak Palestin di Gaza terbunuh dan masih terus dibunuh serta kebuluran hingga ke hari ini.
“Idea menyayangi satu kelompok kanak-kanak bermakna kita tidak boleh menyayangi kelompok yang lain adalah tidak wajar,” katanya kepada akhbar itu.
SANGGUP KORBAN KERJAYA
Mei lalu, Rachel memuat naik gambar pertemuannya dengan Rahaf, seorang kanak-kanak Gaza berusia tiga tahun yang kehilangan kedua-dua kakinya akibat serangan.
“Kita tahu layanan terhadap kanak-kanak seperti yang berlaku di Gaza adalah tidak betul daripada segi moral dan etika. Kita tahu ia dalam jiwa dan hati kita.
“Pemimpin yang berdiam diri dan tidak membantu kanak-kanak ini, kamu patut berasa malu,” katanya.
Terbaharu, beliau bersama wartawan Palestin, Motaz Azaiza, dalam satu video menyentuh hati yang tular di media sosial dan memikat jutaan penonton.
Rachel, dengan 16 juta pengikut di YouTube, berkongsi video bersama Motaz yang giat mendokumentasikan penderitaan kemanusiaan akibat perang Israel di Gaza.
Kolaborasi itu mencetuskan gelombang pujian daripada pengguna media sosial.
“Saya tidak akan jadi Ms Rachel jika tidak benar-benar cakna mengenai semua kanak-kanak di dunia.
“Saya sanggup ambil risiko, malahkan korbankan kerjaya berkali-kali demi membela mereka,” katanya.-UTUSAN










