SOALAN
Raya tahun ini keluarga buat korban, saya tidak ambil bahagian sebab kewangan tidak mengizinkan. Malu sebenarnya nak balik kampung, tetapi ibu bapa suruh pulang raikan bersama. Bagaimana mahu buang rasa serba salah dan rendah diri semasa sambutan Aidiladha nanti?
-Lelaki terbeban
JAWAPAN
Menjalani ibadah korban adalah amalan mulia bagi yang berkemampuan. Namun, tidak semua orang mampu untuk melaksanakannya.
Kekangan kewangan kadangkala membuatkan seseorang malu dan rendah diri kerana tidak dapat mengambil bahagian.
Situasi ini boleh menimbulkan pelbagai emosi yang sukar diluahkan. Berikut beberapa tip yang boleh membantu mengatasi perasaan ini:
a)Terima keadaan diri – Akui yang ini bukan masa sesuai untuk menyertai korban. Berlapang dada kerana ia bukan petanda anda gagal. Dengan menerima keadaan ini, tekanan daripada rasa bersalah dapat dikurangkan, sekali gus memberi ruang untuk anda fokus pada keluarga.
b)Beri sokongan – Bantu urusan persiapan raya seperti mengemas, menyediakan juadah atau memberi sokongan emosi kepada ahli keluarga. Kehadiran dan sikap positif anda pasti dapat membawa kegembiraan serta mengeratkan hubungan semasa berkumpul.
c)Komunikasi dengan keluarga – Kongsi perasaan dan keadaan kewangan dengan ibu bapa atau adik-beradik rapat. Biasanya, mereka akan faham dan mungkin tidak menganggap ia sebagai isu besar dalam keluarga. Dengan berterus-terang, beban emosi dapat dikurangkan dan hubungan kekeluargaan lebih erat.
d)Fokus pada diri – Penting untuk beri ruang kepada diri berehat dan lakukan aktiviti yang menenangkan hati seperti berjalan santai, bernafas dalam-dalam atau bermeditasi. Jika tekanan emosi mula berat, jangan segan untuk berkongsi dengan kaunselor atau rakan yang dipercayai.
e)Berbual dengan mereka membantu melegakan perasaan dan mengurangkan beban fikiran.
Rancang kewangan – Walaupun tidak mampu sekarang, anda boleh mula merancang dari awal untuk raya akan datang. Sediakan pelan kewangan kecil yang sesuai dengan kemampuan, agar dapat menabung sedikit demi sedikit. Ini akan membantu mengurangkan tekanan kewangan dan memberi lebih banyak peluang untuk menyertai ibadah korban di masa depan.
Sambutan Aidiladha bukan hanya terletak pada ibadah korban atau kemampuan kewangan, tetapi penghayatan kasih sayang keluarga, rasa syukur dan saling menghormati dalam suasana yang penuh keberkatan.










