‘Korbankan’ ego, penting diri

‘Korbankan’ ego, penting diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA semua pernah melalui pelbagai bentuk pengorbanan dalam kehidupan seharian. Ada yang nyata di mata, ada juga yang tersembunyi di sebalik senyuman.

Contoh paling dekat ialah seorang ibu yang saban hari memasak, mengemas dan menjaga anak-anak tanpa sebarang keluhan.

Meskipun tubuh letih, kesihatan terganggu dan fikiran berserabut, tanggungjawab itu tetap digalas dengan penuh sabar serta kasih sayang.

Bagi wanita bekerjaya, beban itu mungkin berganda kerana perlu membahagikan masa antara karier dan keluarga, sambil memastikan tiada mana-mana pihak yang terabai.

Seorang bapa pula barangkali perlu bekerja dua syif atau melakukan kerja sampingan demi sesuap nasi untuk keluarga tercinta.

Tidak kurang juga anak-anak yang sanggup melepaskan jawatan selesa di pelbagai sektor atau peluang melanjutkan pelajaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) semata-mata untuk menjaga ibu bapa uzur di kampung halaman.

Itu semua pengorbanan, walaupun tidak dicanang di media sosial, nilainya tetap besar di sisi Allah SWT.

Kadang-kadang, kita berkorban dalam senyap, termasuk memaafkan seseorang yang pernah melukai atau menyakitkan hati.

Atau menahan diri daripada mengucapkan sesuatu yang boleh mengguris perasaan orang lain.

Kita juga belajar menangguhkan keinginan sendiri demi insan tersayang iaitu isteri, suami, anak-anak atau ibu bapa.

Mungkin tiada siapa nampak, tapi hati kita tahu, ia bukan mudah.

Aidiladha mengingatkan kita pada kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.

Baginda diuji untuk menyerahkan sesuatu yang paling disayanginya.

Dalam kehidupan ini, kita juga diuji, mungkin bukan dengan anak, tetapi dengan perasaan, kehendak dan nafsu.

Kita mungkin tidak sembelih lembu setiap tahun, tetapi kita boleh ‘sembelih’ rasa pentingkan diri.

Kita boleh lepaskan sikap keras kepala, tamak dan amarah yang memakan hati.

Atau mengorbankan ego, kemaafan dan rasa cemburu yang meretakkan hubungan.

Kadangkala, itulah korban paling besar di dunia moden ini, apabila kita memilih untuk menjadi insan yang lebih baik walaupun memiliki 1,000 alasan untuk tidak berbuat demikian.

Hari ini, apabila kita tengok lembu korban di masjid dan surau sempena sambutan Aidiladha, tanyalah pada diri, apa yang sanggup kita lepaskan demi kebaikan bersama?

Mungkin masa, tenaga, ego atau peluang yang kita relakan untuk insan lain. Kerana dalam hidup ini, bukan semua pengorbanan itu perlu berdarah.

Namun, semuanya akan jadi bernilai, jika dilakukan dengan ikhlas.

-Rosalinda adalah wartawan Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×