Daki trek Hiram Bingham ke Machu Picchu

Daki trek Hiram Bingham ke Machu Picchu

Penulis dan isteri bergambar berlatar belakang panorama indah kota purba Machu Picchu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekian lama, Machu Picchu menjadi antara destinasi impian saya. Kota purba ini bukan sahaja memukau pandangan, malah menyimpan 1,001 misteri tamadun silam masyarakat Inca.

Terletak di banjaran Andes, Peru, kota ini pernah ‘hilang’ daripada pengetahuan dunia selepas ditinggalkan dan ‘ditelan’ kehijauan alam semula jadi.

Ia hanya ditemui semula pada 1911 oleh ahli arkeologi dan pengembara Amerika Syarikat (AS), Hiram Bingham yang menjelajah ke kawasan pedalaman sebelum menemui runtuhan luar biasa ini di celahan hutan tebal.

Kesempatan berkunjung ke Argentina baru-baru ini, saya manfaatkan sepenuhnya untuk merealisasikan impian lama menjejakkan kaki ke Machu Picchu.

Bagi merasai ‘roh’ pengembaraan Hiram Bingham, saya dan isteri sepakat memilih laluan mendaki yang dipercayai pernah diterokainya lebih seabad lalu.

Selain mendaki, pengunjung sebenarnya boleh memilih menaiki bas dari pekan kecil Aguas Calientes ke pintu masuk Machu Picchu yang mengambil masa kira-kira 30 minit.

Namun, sudah alang-alang sampai ke negara sejauh ini, rugi rasanya tidak mencabar adrenalin dengan aktiviti pendakian sambil menyelami keunikan alam dan sejarahnya.

Tambahan pula, trek Hiram Bingham ini percuma kepada umum berbanding kos tambang bas yang bernilai AS$20 sehala atau kira-kira RM85.

Bagi yang berhasrat untuk mendaki, perancangan masa amat penting agar tidak terlewat memasuki Machu Picchu mengikut slot ditetapkan.

Setiap tiket masuk mempunyai tempoh sah tertentu dan sebarang kelewatan boleh menyebabkan pengunjung tidak dapat masuk.

Tiket kami dijadualkan pada pukul 1 petang, jadi bagi memastikan perjalanan lancar tanpa perlu tergesa-gesa, kami memutuskan untuk memulakan pendakian seawal pukul 9.30 pagi.

Sekurang-kurangnya, kami mempunyai masa mencukupi untuk berhenti rehat, bergambar dan menikmati pemandangan indah di sepanjang laluan.

Dari pekan Aguas Calientes, kami perlu melintasi jambatan besi kecil merentasi Sungai Urubamba, iaitu sungai utama yang menjadi nadi penting kepada tamadun Inca.

Inilah pusat pemeriksaan pertama (checkpoint 1) bagi pendaki dan kira-kira 20 minit kemudian, kami tiba di lokasi kedua iaitu pos kawalan Agensi Perlindungan Taman Negara Peru (Inrena).

Di sini, pegawai bertugas akan menyemak pasport dan tiket masuk ke Machu Picchu.

Lebih 1,500 anak tangga

Pendakian sebenar bermula selepas pos kawalan Inrena, menerusi laluan berbatu yang menempatkan lebih 1,500 anak tangga atau bersamaan 400 meter.

Trek ini mencabar, dengan laluan curam dan anak tangga yang tidak sekata dari segi ketinggian mahupun jarak.

Beberapa kali kami berselisih dengan pelancong asing, selain penduduk tempatan yang tangkas menuruni trek.

Paling memberi inspirasi apabila melihat seorang obaasan (nenek) warga Jepun yang ceria dan bertenaga, lantas menyuntik kembali semangat isteri yang kepenatan.

Di pertengahan laluan, tiba-tiba hujan, mujur baju hujan segera disarung yang menyelamatkan kami daripada basah lencun.

Langkah kaki diteruskan perlahan dan berhati-hati, bagi mengelak daripada tergelincir di permukaan batu yang semakin licin.

Keletihan sepanjang pendakian berbaloi apabila kami disajikan dengan panorama luar biasa Bukit Huayna Picchu.

Tepat 12 tengah hari, kami selamat tiba di checkpoint 3 iaitu pintu masuk Machu Picchu dan perasaan bertukar lega dan teruja.

Namun, hujan turun semula 15 minit kemudian, kali ini lebih lebat daripada sebelumnya, disertai tiupan angin sejuk.

Jambatan besi kecil merentasi Sungai Urubamba merupakan check point pertama pendakian ke Machu Picchu.

Panorama poskad

Empat jenis laluan ditawarkan di Machu Picchu iaitu panorama, klasik, bawah dan huchuy picchu.

Setiap laluan menjanjikan pengalaman berbeza dari segi pemandangan, lokasi runtuhan yang dilawati dan pintu masuk digunakan.

Begitu juga dengan tiket, dengan harganya bermula dari AS$45 (RM215) hingga AS$56 (RM240).

Memandangkan isteri peminat poskad, saya memilih laluan panorama yang dikatakan paling ideal untuk mendapatkan sudut pandang terbaik kota purba ini.

Namun, hati tetap gusar apabila kabus tebal masih menyelubungi seluruh kawasan.

Tidak putus-putus kami berdoa agar diberi peluang menikmati keindahan Machu Picchu yang terletak di ketinggian 2,430 meter dari aras laut.

Akhirnya, selepas 30 minit menunggu, kabus beransur hilang, maka tersingkaplah keajaiban yang selama ini hanya dilihat di dalam buku dan poskad.

Segalanya terasa seperti mimpi, seolah-olah tidak percaya destinasi yang sekian lama diidamkan kini tersergam megah di depan mata.

Panorama Machu Picchu di celah kehijauan Banjaran Andes, dengan runtuhan batu berlapis dan latar belakang gunung Huayna Picchu, benar-benar memukau.

Dibina sekitar 1450 oleh empayar Inca, lokasi ini dianggap ajaib kerana didirikan tanpa sebarang teknologi moden seperti roda atau jentera berat.

Teknik kejuruteraan yang digunakan sangat luar biasa.

Batu-batu besar dipotong dan disusun tanpa menggunakan simen, namun tetap kukuh.

Teknik ini dikenali sebagai ashlar, yang membolehkan batu-batu dipadankan dengan sangat tepat sehingga tidak muat sehelai kertas di celahnya.

Kehebatan teknik ini juga membuatkan struktur Machu Picchu tahan gempa, kerana batu-batunya boleh bergerak sedikit apabila berlaku gegaran tanpa menyebabkan keruntuhan.

Puas bergambar, kami didatangi seorang lelaki tempatan yang memperkenalkan dirinya sebagai pemandu pelancong.

Dia menawarkan tiket laluan bawah pada harga ‘istimewa’, sambil memujuk kami tidak melepaskan peluang untuk menjelajah keseluruhan kompleks Machu Picchu.

Namun, kerana kekangan masa dan sedikit curiga terhadap tawaran mendadak itu, kami menolak dengan baik.

Sejam untuk turun

Setelah keluar dari kota purba Machu Picchu, kami mula menuruni anak tangga untuk bergerak pulang sebelum hari semakin gelap.

Ketika itu jarum jam menunjukkan pukul 3 petang dan tidak ramai pelancong memilih laluan pendakian sebagai jalan keluar.

Mungkin kerana keletihan atau memilih untuk menaiki bas agar lekas sampai.

Perjalanan turun ternyata jauh lebih mudah berbanding sewaktu mendaki dan berjaya diselesaikan dalam tempoh kira-kira sejam sahaja.

Menariknya, kali ini isteri langsung tidak mengadu penat atau meminta berhenti berkali-kali seperti sebelumnya.

Mungkin pemandangan indah yang masih segar dalam ingatan menjadi tenaga atau tonik tambahan yang membuatkannya tangkas menuruni laluan.

Pengalaman menjejak keajaiban Machu Picchu ini bukan sahaja membuka mata, malah turut menyedarkan kami tentang magis luar biasa ciptaan masyarakat Inca yang kekal berdiri megah di puncak Andes.

Persinggahan wajib, Cusco

Perjalanan ke Machu Picchu lazimnya bermula dari Cusco, daerah yang cukup terkenal sebagai pusat pemerintahan empayar Inca suatu ketika dahulu.

Destinasi ini dianggap persinggahan wajib bagi pengunjung yang mahu ke Machu Picchu dan disarankan menetap di sini sekurang-kurangnya tiga hingga lima hari bagi menyesuaikan diri dengan ketinggian altitud.

Ia kerana Cusco terletak di ketinggian lebih 3,000 meter dari aras laut dan kebanyakan pelancong akan mengalami gejala sindrom akut gunung (AMS).

Saya tidak terkecuali, namun lain buat isteri yang kekal bertenaga walaupun tiada sebarang pengalaman mendaki atau ke tempat tinggi.

Cara paling berkesan dan sudah menjadi amalan turun-temurun masyarakat setempat untuk meredakan gejala ini ialah dengan meminum air rendaman daun coca.

Justeru, tidak hairanlah, rata-rata hotel di sini menyediakan daun tersebut sepanjang masa untuk kemudahan tetamu.

Selain menjadi pintu masuk ke Machu Picchu, Cusco juga kaya dengan daya tarikan pelancongan lain seperti Qorikancha dan Sacsayhuamán.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×