Aura Anna Baryshnikov

Aura Anna Baryshnikov

NAMA Anna menyerlah selepas membintangi Manchester by the Sea pada 2016. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA di pentas Teater Shakespeare Kanak-Kanak di New York, nama Anna Katerina Baryshnikov mula menyerlah menerusi peranan dalam filem Manchester by the Sea pada 2016.

Sejak kecil, Anna bercita-cita untuk mengikut jejak langkah bapanya iaitu bintang Sex and the City, Mikhail Baryshnikov.

Wanita berusia 33 tahun itu dilahirkan pada 22 Mei 1992 di New York, menerusi hasil perkahwinan Baryshnikov dengan penari balet, Lisa Rinehart.

Bapanya yang berasal dari Latvia, turut bergelar pelakon dan pernah membintangi watak artis Russia yang menawan, Aleksandr Petrovsky, dalam musim terakhir siri Sex and the City.

Antara pencapaian Baryshnikov Sr termasuk filem drama balet The Turning Point (1977), yang melayakkan beliau dicalonkan dalam Anugerah Oscar bagi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik serta pencalon Anugerah Golden Globe.

Dalam penampilan 2017 di The Late Show dengan Stephen Colbert, Anna memberitahu dirinya pernah mencuba untuk mengikut jejak langkah ibu bapanya dalam dunia balet, namun tidak berjaya.

“Saya memang teruk dalam balet. Saya jenis yang banyak cakap dan bertenaga, sedangkan balet memerlukan tumpuan tinggi serta berdisiplin.

“Saya masih ingat pernah dimarahi kerana bercakap semasa kelas balet pertama,” katanya kepada Colbert.

BERMULA DARI TEATER

Setelah menyedari bahawa balet bukan untuknya, Anna menemukan minat sebenar apabila menyertai Teater Shakespeare Kanak-Kanak di New York.

Namun, kedua-dua ibu bapanya tidak membenarkan beliau menceburi dunia lakonan secara profesional sehingga berusia 18 tahun.

“Saya benar-benar teringin untuk bekerja sejak kecil, tetapi mereka terus menolak idea itu.

“Saya akhirnya berjaya ‘tawar-menawar’ dengan mereka, daripada 18 kepada 16 tahun, sebagai umur minimum untuk mula pergi ujibakat,” katanya kepada majalah W pada 2019.

Pada 2016, pelakon itu membintangi filem drama pemenang Oscar, Machester by the Sea, bersama Lucas Hedges, Casey Affleck dan Michelle Williams.

Peranan yang melonjakkan nama beliau, sekali gus membuka peluang untuknya membintangi sitkom Superior Donuts terbitan CBS serta siri drama komedi, Dickinson di Apple TV+.

LOVE LIES BLEEDING

Anna sudah mendirikan rumah tangga sejak 2023 dengan pelakon, pengarah dan penerbit, Teddy Bergman.

Teddy juga merupakan anak kepada penulis skrip dan pengarah Amerika, Andrew Bergman, yang terkenal dengan karya seperti Striptease (1996) dan The Freshman (1990).

Pasangan itu menjalani kehidupan serba sederhana, walaupun Anna kadang kala berkongsi gambar mesra bersama suaminya di Instagram.

Tahun 2024 menyaksikan satu lagi detik penting dalam kerjaya Anna apabila beliau membintangi Love Lies Bleeding, sebuah filem thriller romantik queer arahan pengarah Inggeris, Rose Glass, yang mendapat pujian pengkritik dan digambarkan sebagai berani.

Dalam filem tersebut, Anna membawa watak Daisy, seorang gadis berambut kusut, bermata biru dengan gigi rosak yang menyimpan perasaan terhadap Lou, watak lakonan Kristen Stewart.

Beliau mengaku jatuh cinta dengan skrip filem itu sejak pertama kali membacanya.

“Saya memang mudah jatuh hati dengan penulisan yang bagus dan skrip ini memang kemas serta asli,” katanya dalam temubual kepada Obsessed pada Mac 2024.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×