Apa perlu buat apabila gagal SPM?

Apa perlu buat apabila gagal SPM?

Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 dinasihatkan segera memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sekiranya terlibat dan terkesan dengan bencana alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN

Saya baru dapat keputusan SPM. Keputusan saya tidak bagus. Adakah masa depan saya sudah gelap? Apa yang perlu saya lakukan untuk teruskan kehidupan akan datang.
Remaja buntu.

JAWAPAN

Keputusan SPM bukanlah penentu mutlak masa hadapan seorang pelajar. Kegagalan mendapat keputusan cemerlang bukan bermakna kehidupan anda sudah berakhir. Sebaliknya, peluang untuk bangkit dan mencari jalan lain menuju kejayaan. Beberapa langkah boleh diambil untuk terus maju dan membina masa hadapan yang lebih baik.

Terima keputusan dengan reda – Belajarlah untuk reda dengan keputusan yang diperoleh. Yakinlah setiap orang pernah mengalami kegagalan. Rasai dan terimalah perasaan kecewa yang hadir, tetapi jangan terlalu lama terperangkap di dalamnya. Ikhlaskan hati dan anda akan dapat berfikir dengan lebih rasional serta membina langkah baharu dengan lebih matang.

Fokus Potensi Diri – Selepas menerima keputusan dengan hati terbuka, nilai semula minat dan potensi yang ada pada diri. Kenal pasti kekuatan diri dan rancang laluan hidup dengan lebih baik tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada keputusan akademik.
Kenal pasti jalan lain – Cari jalan lain untuk mencapai kejayaan. Jika keputusan SPM kurang memuaskan, fokus bidang lain yang boleh diterokai seperti bidang kemahiran di kolej komuniti atau pusat Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peluang dalam dunia digital. Berani mencuba dan terus belajar.

Tambah Ilmu Insaniah – Cari ilmu lain yang boleh meningkatkan keyakinan diri anda. Masa hadapan yang cemerlang memerlukan usaha yang berterusan. Letakkan azam untuk terus membaiki diri dengan membina sikap, ilmu dan kemahiran baharu dalam hidup. Semangat untuk terus belajar dan memperbaiki kelemahan diri akan membawa anda ke arah kejayaan yang sebenar.

Cari Sokongan – Dalam perjalanan membina masa hadapan, elakkan bersendirian. Carilah sistem sokongan daripada keluarga, guru, kaunselor atau rakan positif untuk memberi semangat dan panduan kepada anda. Jangan takut meminta bantuan kerana itu tanda kekuatan, bukan kelemahan.

Fokus masa hadapan – Masa lalu anda tidak boleh diubah, tetapi masa hadapan masih boleh dibentuk dengan baik. Jadikan setiap hari adalah hari untuk mencari peluang baharu memperbaiki diri dan mengejar impian. Jadikan kegagalan sebagai batu loncatan untuk melangkah lebih jauh menuju kejayaan.

Keputusan SPM bukan penamat kepada segala impian. Ia hanya satu titik kecil dalam perjalanan hidup untuk mencapai kejayaan yang lebih besar. Percaya pada diri dan teruskan melangkah ke hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN