Siapa sangka, anak ayam yang dipelihara sebagai ternakan kini menjadi haiwan kesayangan sebuah keluarga dari Sri Aman, Sarawak.
Pemiliknya, Clasrisa Jerom tidak pernah menyangka akan memanjakan haiwan lain selain tiga ekor kucingnya.
Ayam jantan yang dinamakan Pannuel itu dijaga sejak 2021 dan kini usianya mencecah empat tahun.
“Pannuel tidak takut dengan manusia, apabila namanya, dipanggil, ia terus meluru datang.
“Mula-mula saya agak pelik dan tidak sangka ayam pun pandai bermanja,” katanya kepada Seri.
Bercerita lanjut, katanya, sejak kecil Pannuel tidak suka ditempatkan dalam reban atau kotak khas seperti lumrah haiwan itu.
Sebaliknya, ia selesa berada di dalam rumah dan ‘duduk’ di sofa sambil menonton televisyen.
Di peringkat awal, Clasrisa sering memarahi haiwan itu kerana bimbang najis bersepah-sepah atas sofa kesayangan.
Bagaimanapun, dia terkejut kerana Pannuel seolah-olah faham larangan tersebut dengan membuang najisnya di luar rumah.
Sikap patuh dan berdisiplin ayam itu sekali gus mencuit hati wanita ini.
Apatah lagi, dia tidak pernah mengajar Pannuel tentang aspek kebersihan itu selama ini.
“Mungkin, ia terikut-ikut cara itu bila tengok kelakuan tiga kucing saya yang juga merupakan ‘rakannya’.

Sejak itu, Clasrisa dan suami membenarkan ayam iyu berada di dalam rumah.
Disebabkan karakter Panuel itu juga, dia tidak sampai hati untuk ‘mengorbankan’ haiwan tersebut sebagai juadah di meja mekan.
Tambahan pula, ayam itu sentiasa menyambutnya di depan pintu, seperti anak-anak yang menanti kepulangan ibunya.
Diet
Untuk diet hariannya, Pannuel diberikan bijirin seperti jagung dan biji kacang hijau yang ditumbuk kasar.
Manakala pada hujung minggu pula, ayam itu diberi menu istimewa iaitu roti sebagai ganjaran berperangai baik.
Menariknya, waktu makan haiwan ini sama seperti waktu makan keluarga mereka.
Sebagai ‘ibu’ tentunya Clasrisa mahu ‘anak’ kesayangannya itu makan bersama-sama mereka.
Manja macam kucing
Pengalaman menjaga Pannuel mirip seperti memelihara kucing, malah mungkin lebih istimewa.
“Pannuel suka lehernya dibelai dan akan mengepak sayap bila dimarahi di samping kuat merajuk.
“Selain itu, ia juga tidak takut dengan kucing-kucing saya dan gemar bermain bersama,” katanya.
Disebabkan keletah itu, Pannuel disayangi ahli keluarganya hingga dianggap sebagai anak emas.
Malah, anaknya turut menyedia tempat tidur khas buat ayam jinak itu dengan menggunakan tilam bayi, berserta bantal dan selimut
Hinggakan, jiran-jiran menggelar Pannuel sebagai ‘ayam paling bertuah di dunia’ kerana disayangi ‘keluarga’ bagai menatang minyak yang penuh.









