SOALAN
Selepas seminggu cuti beraya bersama keluarga, saya kembali ke bandar untuk bekerja. Kali ini saya rasa kosong, sunyi dan sedih. Saya rindukan keluarga di kampung. Kerinduan ini membuatkan saya hilang fokus untuk bekerja. Nak sangat balik dan duduk di kampung tapi banyak komitmen yang memerlukan saya terus menetap di sini.
Yang sedih
JAWAPAN
Balik kampung bertemu keluarga adalah saat paling dinanti-nantikan oleh semua anak perantau.
Namun, bila tiba masa untuk kembali semula ke bandar, segalanya terasa berat. Hati masih tertinggal di kampung, namun tanggungjawab dan komitmen kerja perlu diteruskan demi kelangsungan hidup.
Terdapat beberapa cara untuk membantu anda lebih tenang dan menyesuaikan diri sebagai anak perantau:
1.Terima perasaan – Raikan perasaan, jangan lawan atau pendam. Sebut atau cakap dalam hati ‘Ya, aku rindu keluarga. Aku sayang mereka. Sebab itu aku rasa begini’. Dengan mengizinkan diri merasai perasaan ini, emosi anda akan mudah reda dan tenang.
2.Kekalkan hubungan jarak jauh – Hubungi keluarga melalui panggilan video atau telefon. Hantar gambar, makanan atau kongsikan aktiviti yang dilakukan di pejabat dalam Whatsapp keluarga. Ia dapat membantu anda ‘dekat’ dengan keluarga.
3.Cari ruang baru – Bergaul dengan masyarakat setempat seperti komuniti masjid atau jiran-jiran. Anda juga boleh menghias rumah mengikut gaya kampung supaya dapat mengingatkan anda dengan suasana itu.
4.Cipta rutin baru – Rasa kosong hadir bila anda kembali ke rutin statik. Sibukkan diri dengan bersukan, masak menu kampung, tanam pokok dan boleh juga menulis jurnal untuk meluah isi hati anda.
5.Kenal pasti suara hati – Kadangkala perasaan rindu itu datang dari pelbagai perasaan. Mungkin anda keseorangan? Tempat kerja yang tidak memberi sokongan emosi? Bila kita tahu akar sebenar, lebih mudah untuk mencari rawatannya.
6.Berkongsi perasaan – Luahkan perasaan kepada kawan baik, kaunselor atau orang yang boleh dipercayai. Berkongsi perasaan dapat meringankan beban yang dipikul dan membantu anda melihat situasi dalam perspektif yang lebih positif.
Kesimpulannya, walaupun berjauhan, perasaan rindu mengingatkan kita akan pentingnya hubungan kekeluargaan yang memberi makna dalam hidup.
Rasa rindu ini bukanlah penghalang, sebaliknya ia memberi kekuatan untuk terus berjuang demi diri dan orang tersayang.









