Keindahan trekking di glasier Perito Moreno

Keindahan trekking di glasier Perito Moreno

Trekking sambil menikmati pemandangan indah di glasier.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Argentina bukanlah destinasi bulan madu tipikal buat pasangan di rantau Asia Tenggara.

Tetapi bagi saya dan suami, ia merupakan impian terindah, semata-mata kerana mahu menyaksikan keajaiban glasier di Perito Moreno.

Tidak pernah terbayang dapat menjejakkan kaki ke negara sejauh ini, apatah lagi berjalan di atas ‘bukit’ ais berusia lebih 18,000 tahun.

Segalanya terasa seperti mimpi dan sehingga kini momen itu masih segar dalam ingatan.

Glasier Perito Moreno terletak di Taman Negara Los Glaciares, di wilayah Santa Cruz, selatan Argentina.

Ia merupakan antara glasier terbesar di dunia yang masih berkembang.

Ketika kebanyakan glasier di dunia mengalami pencairan akibat perubahan iklim, tetapi Perito Moreno kekal stabil, bahkan berkembang di beberapa kawasan.

Dinding ais Perito Moreno menjulang setinggi 60 meter di atas permukaan tasik sekali gus menjadikannya seperti menara.

Keunikan lainnya ialah mudah diakses berbanding glasier lain di dunia.

Laluan masuk utamanya adalah menerusi bandar kecil, El-Calafate yang digelar ‘hujung dunia’.

Julukan itu diberikan kerana lokasinya yang terletak di kawasan paling selatan Argentina, berhampiran dengan sempadan Chile.

Kami tiba di El Calafate pada bulan Februari iaitu musim panas bagi Argentina.

Namun, suhu di sini tetap sejuk dan menyegarkan, jauh berbeza dengan musim panas di Malaysia.

Pada hari ketiga, kami bersedia untuk pengalaman paling ditunggu-tunggu iaitu, trekking di atas glasier Perito Moreno.

Perjalanan ke taman negara mengambil masa kira-kira sejam 30 minit dari pusat bandar.

Bagi memudahkan urusan, suami menempah permit masuk dan pakej trekking lebih awal secara dalam talian.

Permit taman negara berharga 45,000 peso Argentina (kira-kira RM166 seorang) manakala pakej glasier pula bermula dari RM300 ke atas, bergantung kepada pilihan.

Antara pilihannya ialah melihat glasier dari bot atau di pelantar pandang atau trekking di atasnya.

Kami memilih pakej menyeluruh iaitu trekking di atas glasier.

Rugi rasanya datang sejauh ini tanpa mencuba pengalaman unik itu.

Keseluruhan pakej ini mengambil masa kira-kira lima jam, bermula dengan menaiki bot selama 20 minit dari jeti Bajo de las Sombras diikuti trekking melalui pantai, hutan dan glasier (3 jam).

Lima kali ‘menara’ ais runtuh

Di jeti, mata terpaku melihat beberapa serpihan ais kebiruan yang terapung di tengah Tasik Argentino.

Pemandangan itu membangkitkan rasa teruja meskipun sedikit bimbang terhadap cabaran yang menanti.
Ketika leka mengambil gambar panorama glasier dari atas bot, tiba-tiba, kami dikejutkan dengan satu bunyi kuat seperti guruh.

Awalnya, saya menyangka langit akan kembali hujan lebat, tetapi, rupanya, ia adalah bunyi runtuhan ‘menara’ ais.

Akibat terkejut, saya terlepas peluang untuk merakamkan momen luar biasa itu.

Walaupun bukan fenomena besar seperti ruptura, tetapi melihat runtuhan kecil pun sudah cukup memukau.

Ketulan-ketulan ais ‘raksasa’ jatuh ke dalam tasik dalam sekelip mata, sesuatu yang sangat dramatik.

Barulah saya faham kenapa ramai pelancong dari seluruh dunia sanggup terbang jauh ke Argentina semata-mata untuk menyaksikan fenomena ini.

Sepanjang di sini, saya sempat menyaksikan lima kali runtuhan menara ais.

Jalan seperti penguin

Sebelum memulakan trekking, peserta dibekalkan dengan kelengkapan khas seperti crampon (kasut besi berpaku), helmet dan sarung tangan.

Kami turut disarankan memakai jaket, kasut sukan selesa dan topi bagi melindungi daripada angin serta cahaya matahari terik.

Barangan peribadi seperti beg galas tidak dibenarkan dibawa bersama dan perlu disimpan di tempat khas di ruang makan di bawah.

Jurupandu kemudian memberi taklimat keselamatan sambil menunjukkan cara berjalan yang betul di atas glasier, iaitu seperti penguin.

Langkah pertama terasa kekok, crampon yang berat membuatkan saya hampir tersadung.

Namun, selepas beberapa minit, saya mula menyesuaikan diri dan melangkah stabil.

Trekking di atas glasier sejauh 3.5 kilometer memerlukan kami mendaki dan menuruni bukit ais di trek yang disediakan.

Jujurnya, saya sedikit gementar melihat cerun-cerun lebih-lebih lagi apabila angin dingin sesekali menerpa.

Tetapi, alhamdulillah saya berjaya menamatkan aktiviti ini dengan sempurna.

Walaupun mencabar, trekking ini sebenarnya sesuai untuk semua peringkat umur seawal usia lapan tahun hingga 65 tahun.

Sepanjang perjalanan, peserta diberi peluang merakam gambar di beberapa hentian menarik.

Kami juga berpeluang merasai kesegaran air glasier dan mengisinya ke dalam botol minuman masing-masing.

Di hentian terakhir, jurupandu menghidangkan minuman bersama ais asli glasier Perito Moreno dan coklat buatan tempatan.

Tradisi unik ini bukan sekadar penutup yang manis, malah menjadi kenangan yang akan terpahat sepanjang hayat.

Tidak sejuk

Sebelum ini, saya beranggapan suhu di glasier seperti berada di kawasan bersalji, namun sangkaan itu ternyata meleset.

Di atas sana, matahari tegak di atas kepala, sesekali angin dingin menyapa tetapi glasier di Perito Morena tetap teguh dan tidak mencair.

Ia disebabkan kekuatan dan kestabilannya.

Pengalaman berbulan madu sambil menyaksikan bukit dan menara ais yang terbentang megah di depan mata turut membuatkan saya terasa begitu ‘kerdil’.

Lantas menyedarkan saya betapa luas dan hebatnya alam semesta ciptaan Allah SWT, yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.

Lebih penting, pengalaman ini mengajar saya yang setiap impian, walau sejauh mana pun, tidak mustahil untuk dicapai, asalkan ada keberanian untuk melangkah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×