SOALAN
Saya bertunang dengan anak kenalan ibu dan bakal berkahwin selepas raya. Dari segi luaran, dia nampak seperti lelaki yang baik, tapi saya tetap rasa dilema untuk meneruskan perkahwinan. Normalkah perasaan ini? Saya risau jika tersilap pilih pasangan.
-Bantu saya
JAWAPAN
Pertunangan adalah fasa untuk mengenali pasangan sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Bagi sesetengah individu, tempoh ini adalah ruang untuk mereka saling mengenali sebelum berkahwin.
Jadi, adalah normal sekiranya perasaan dilema itu timbul kerana anda mungkin belum benar-benar mengenali pasangan.
Dalam situasi ini, penting untuk anda membuat pertimbangan secara matang agar tidak menyesal di kemudian hari.
1. Muhasabah diri & solat istikarah – Sebelum melangkah ke alam perkahwinan, penting untuk anda menilai diri dari segi emosi, mental, dan kewangan. Lakukan solat istikarah dan memohon petunjuk kepada Allah agar setiap keputusan diambil adalah yang terbaik.
2. Berkomunikasi – Luangkan masa untuk berbual dengan tunang secara terbuka. Boleh gunakan soalan ini semasa sesi perbualan seperti bagaimana cara dia mengurus konflik, pandangan tentang perkahwinan dan cara mengurus kewangan. Persoalan ini dapat membantu anda untuk memahami sikap, pemikiran dan prinsip hidup bakal tunang anda dengan lebih jelas.
3. Penilaian kendiri – Sediakan kertas dan tulis kebaikan dan keburukan yang anda nilai tentang perkahwinan. Jujur dengan diri sendiri. Sekiranya keburukan lebih berat atau ada red flag yang membuatkan anda ragu-ragu, pertimbangkan untuk berfikir secara mendalam.
4. Sokongan terdekat – Cuba berbincang dengan seseorang yang mengenali dan memahami anda seperti kakak, abang, sahabat baik, atau orang tua. Kadang-kadang pandangan orang luar boleh membantu anda celik akal dan bersikap matang dalam membuat keputusan.
5. Role-play masa depan – Tulis perancangan lima tahun selepas kahwin. Kadang-kadang, menulis dari perspektif masa depan boleh membantu anda melihat gambaran jelas tentang perasaan sebenar.
6. Jarakkan diri – Sekiranya masih buntu dan dilema, luangkan masa untuk bertenang sekejap tanpa berhubung dengan tunang. Lihat sejauh mana perasaan anda ketika itu. Jika teringatkan dia mungkin itu adalah yang terbaik untuk anda. Namun jika sebaliknya, mungkin itu petanda untuk anda berfikir lebih mendalam.
Kesimpulannya, perkahwinan bukan sekadar satu ikatan, tetapi sebuah perjalanan yang memerlukan persefahaman, toleransi dan kasih sayang.
Oleh itu, penting untuk memastikan setiap keputusan diambil adalah yang terbaik untuk kebahagiaan masa hadapan.










