SOALAN
Suami kata hari raya pertama dan kedua kami perlu balik rumah ibunya kerana dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Saya tidak pernah membantah suami tetapi saya teringin sangat hendak beraya dengan keluarga sendiri. Bila balik raya ketiga atau keempat, adik-beradik masing-masing dah balik.
Isteri teringin
JAWAPAN
Setiap pasangan yang berkahwin pasti berdepan dengan cabaran mengimbangi masa bersama keluarga terutamanya ketika musim perayaan. Dalam situasi ini, suami isteri perlu memainkan peranan penting dalam menyelesaikan isu yang sering terjadi kepada kebanyakan pasangan berkahwin. Dilema seperti ini memerlukan penyelesaian yang bijaksana agar tidak menjejaskan hubungan dengan kedua-dua belah keluarga. Berikut beberapa cara yang boleh membantu.
Berbincang – Ajak suami berborak santai. Nyatakan perasaan dilema yang anda rasai. Usaha untuk jadikan perbincangan tersebut dalam keadaan tenang. Elakkan perbincangan sekiranya suami dalam keadaan letih atau tertekan. Cari waktu yang bersesuaian agar tidak menimbulkan konflik.
Minta bantuan – Sekiranya suami jenis susah beralah, cuba minta pertolongan orang yang suami hormati, seperti kakaknya, pakciknya atau rakan yang boleh memberi nasihat secara tidak langsung. Kadang-kadang, apabila orang luar yang bercakap, lebih mudah untuk dia dengar.
Perancangan awal – Ajak suami untuk membuat perancangan awal di masa hadapan. Tetapkan giliran yang adil bagi memastikan kedua belah pihak dapat peluang beraya bersama keluarga sekali gus dapat mengurangkan konflik dalam diam.
Strategi urusan keluarga – Beritahu suami awal-awal ada urusan keluarga yang memerlukan kehadiran anda di kampung pada hari raya pertama atau kedua. Contohnya, majlis kecil, kenduri atau sambutan khas. Suami mungkin lebih terbuka jika ada sebab kukuh selain hanya “hendak balik raya”.
Berbincang dengan mertua – Jika hubungan anda dengan ibu mertua baik, cuba berbincang secara lembut. Kadang-kadang, ibu sendiri yang boleh meyakinkan anaknya untuk bertolak ansur.
Guna alasan anak (jika ada) – Jika anda mempunyai anak, cuba gunakan pendekatan anak. Jelaskan kepada suami bahawa anak-anak perlukan kenangan beraya dengan sepupu-sepupu mereka kerana belum berkesempatan beraya bersama apabila balik kampung.
Inisiatif lain – Sekiranya tidak dapat memujuk suami untuk balik kampung, cuba buat panggilan video untuk bersembang dan berkongsi kemeriahan raya. Kirimkan hadiah atau makanan istimewa untuk menunjukkan anda tetap ingat kepada mereka.
Kesimpulannya, teruskan menunjukkan usaha dan keikhlasan anda. Mudah-mudahan, suami akan memahami keadaan dan keinginan anda.-UTUSANhttp://utusan.com.my










