Dari kucing jalanan ke duta baju raya

Dari kucing jalanan ke duta baju raya

Bergelar kucing pertama menjadi model baju raya kucing jenama Bulan Bintang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Siapa sangka, seekor kucing jalanan yang diambil sebagai haiwan peliharaan kini diangkat menjadi duta bagi jenama baju raya terkenal.

Kisah Rocket mendapat perhatian apabila pemiliknya, Siti Zubaidah, 25, memuat naik video yang menunjukkan Rocket memakai baju raya tahun lalu yang sudah tidak muat.

Video tersebut yang tular di media sosial kemudiannya menarik perhatian pengasas Bulan Bintang, yang juga seorang pencinta kucing.

Tersentuh dengan kisah Rocket, pihak Bulan Bintang menawarkan tajaan baju raya khas buat si bulus comel ini.

Rocket juga ditawarkan menjadi model untuk keluaran baju raya kucing pertama Bulan Bintang 2025.

Kata Siti Zubaidah, Rocket merupakan kucing jalanan yang sentiasa dalam keadaan comot kerana suka bermain kotor.

Selepas diambil untuk peliharaan, beliau menghantar si manja itu untuk dicukur keseluruhan bulunya ekoran, badannya terkena pelekat lalat.

Disebabkan itu bulunya tumbuh lebat kembali dan gebu.

Katanya, kucing jenis Domestic Long Hair ini mempunyai personaliti yang amat menarik berbanding dengan kucing biasa selain berdisiplin.

“Rocket merupakan kucing yang baik, sejak kecil dia tidak pernah kencing dan berak merata-rata. Rocket juga tidak akan menjatuhkan barang, mencakar sofa dan duduk atas meja makan,”katanya kepada Seri.

Tambahnya, Rocket merupakan seekor kucing yang aktif dan gemar bermain dengan kucing-kucing jiran lain, sehingga menjadikan kawasan perumahannya ibarat taman permainan.

Rutin harian dan penjagaan

Si manja yang terkenal dengan julukan ‘handsome’ di media sosial ini mempunyai penjagaan kesihatan rutin.

Rocket akan dihantar ke klinik veterinar pada setiap bulan untuk dimandikan.

Setelah menjalankan pemeriksaan kesihatan, Rocket akan diberi ubat cacing dan kutu jika perlu.

Bagi menjaga kesejahteraannya, Rocket akan dilepaskan untuk bermain di luar rumah pada pukul 6.30 pagi.

Kebiasaannya, sekitar jam 9 pagi, Rocket akan pulang ke rumah dan mencari tuannya kerana lapar. Selepas makan pada sebelah pagi, Rocket akan sambung bermain sehinggalah terlena tidur.

“Rocket dan dunia bermainnya tidak akan berpisah. Pada sebelah petang, dia tidak akan melepaskan peluang untuk sambung bermain.

“Selepas itu, Rocket akan balik semula ke rumah, namun ada kalanya, kerana leka bermain, saya terpaksa mencari dan menjemputnya untuk balik,” katanya.

Jenis pemakanan

Sejak berumur enam bulan, Siti Zubaidah memberi kucingnya itu makan ikan rebus yang dimasak tanpa garam.

Rocket turut diberi kibble bagi memastikan bulu si comel itu sihat dan bersinar selain suplemen khusus untuk kesihatan secara berkala.

Kini, Rocket lebih gemar ayam rebus berbanding ikan.

“Rocket bukanlah kucing yang cerewet dalam memilih makanan, namun seleranya berubah mengikut pertambahan usia.

“Selera makan Rocket kini tidak lagi sekuat dahulu. Jika dulu lima ekor ikan pun tidak mencukupi, kini saya terpaksa menyuapkannya kerana dia makan dengan perlahan,” katanya mengakhiri bicara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN