SOALAN
Ibu bapa saya bercerai sejak saya berumur 10 tahun, dan sejak itu hidup saya terasa kosong. Saya sering mengalami kesukaran tidur dan melakukan self-harm untuk melupakan kesedihan. Adakah saya mengalami masalah mental? Bagaimana saya boleh dibantu?
-Gadis murung
JAWAPAN
Menjaga kesihatan mental sangat penting, namun ia sering diabaikan apabila berdepan dengan pengalaman pahit dalam hidup. Tekanan dan kesedihan berpanjangan juga boleh menyebabkan masalah seperti insomnia dan self-harm. Jika tidak ditangani, ia boleh menjejaskan kehidupan dan membahayakan diri. Oleh itu, penting untuk mengatasi isu ini bagi memastikan kesejahteraan diri terjaga.
1. Fahami dan akui perasaan: Terima perasaan dengan tenang dan akui perasaan itu wajar dirasai di saat seseorang mengalami pengalaman pahit dalam hidup. Anda boleh menulis perasaan itu dalam diari atau lukiskan sebagai tanda luahan rasa tersebut.
2. Kenali Punca: Apabila keinginan untuk melakukan self-harm, cuba tanya diri ‘Apa yang aku rasa sekarang?’ ‘Apa yang buatkan aku rasa begini?’. Kemudian cari cara yang sihat untuk meluahkan perasaan tersebut seperti bersenam, mendengar muzik atau bercakap dengan seseorang.
3. Elak mencederakan diri: Mencederakan diri untuk melupakan kesakitan bukan penyelesaian yang baik. Anda boleh mencuba kaedah lain sebagai gantian seperti pegang ais (rasa sejuk boleh menggantikan kesan self-harm tanpa mencederakan kulit, tarik gelang getah di pergelangan tangan pula boleh memberi sedikit sensasi tanpa mencederakan kulit). Selain itu, gunakan teknik pernafasan (tarik nafas dalam selama 4 saat, tahan 4 saat dan hembus perlahan selama 6 hingga 8 saat). Ini boleh bantu menenangkan diri.
4. Rehat yang cukup: Tidak cukup tidur atau tidak boleh tidur (insomnia) akan membuatkan anda mudah tertekan. Usaha untuk kurangkan skrin sebelum tidur, sediakan jadual tidur berkala dan menulis jurnal kesyukuran sebelum tidur. Ia dapat membantu anda menyusun hidup dengan lebih teratur.
5. Dapatkan bantuan profesional: Rujuk psikologi atau kaunselor sama ada di sekolah, universiti, hospital atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan perkhidmatan kaunseling. Jika sukar pergi bersendirian, boleh ajak kawan atau seseorang yang dipercayai. Boleh juga hubungi talian secara online seperti Befrienders (03-76272929) atau talian Sehat ( 1700-82-7536). Mereka ada untuk mendengar dan membantu anda.
Kesimpulannya, setiap individu berhak menikmati kebahagiaan dan kesejahteraan mental yang baik. Oleh itu, penting untuk menyedari yang anda tidak bersendirian menghadapi cabaran hidup dan selalu ada harapan untuk mendapat kehidupan lebih positif.










