Akan bersua lagikah karipap oksigen tahun ini?

Akan bersua lagikah karipap oksigen tahun ini?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ESOK seluruh umat Islam akan menyambut Ramadan al-mubarak. Bulan mulia penuh keberkatan yang sememangnya dinanti-nantikan.

Selain ibadah tarawih, bazar Ramadan juga merupakan antara ‘acara tahunan’ yang akan memeriahkan lagi suasana.

Cumanya, beberapa tahun kebelakangan ini, kemeriahan bazar Ramadan ‘dicacatkan’ oleh kualiti makanan yang agak mengecewakan.

Lebih-lebih lagi dengan kewujudan karipap oksigen atau lebih tepat lagi karipap kedekut inti.

Entahlah siapa perintis awal karipap ‘inovasi’ ini namun harapnya mereka tak buat kemunculan semula tahun ini.

Bukan apa, walaupun inti kurang, harga yang dijual tetap sama, malah ada yang harga ala-ala karipap premium.

Luarannya pun nampak sama, gemuk dan kembung tapi rupanya kosong!

Bukankah itu satu bentuk penipuan? Lainlah jika ditanda daripada awal ‘karipap oksigen’ maka pembeli yang membeli sudah tentu maklum dengan keadaan karipap itu.

Sejak azali, karipap adalah sejenis kuih tradisional yang berinti penuh sama ada ayam, daging atau kentang.

Jadi, kalau sekadar tepung yang digoreng kembung dengan secubit inti kentang, ia bukanlah karipap asli. Mungkin boleh letak nama lain kalau hendak jual juga.

Karipap ini hanya satu contoh sahaja. Banyak lagi makanan lain di bazar yang bagi saya amat mengecewakan. Kecewa kerana harga yang mahal tetapi kualiti dan rasa ‘ke laut’.

Rasanya sudah dua tahun saya tidak menjejakkan kaki ke bazar kerana ‘trauma’ dengan rasa makanan di bazar. Tidaklah saya pukul rata semua makanan tidak sedap, tetapi mungkin nasib saya sahaja yang tidak begitu baik.

Nasi ayam jelatah, pulut panggang hangit melegam, cucur badak oksigen, air bagaikan tertumpah gula dan macam-macam lagi buatkan saya malas hendak ke bazar.

Sudahlah setiap kali ke bazar, sekurang-kurangnya RM50 dalam tangan. Sedap atau tidak itu memang subjektif, tetapi peniaga tolonglah jaga kualiti setiap makanan yang dijual.

Bazar Ramadan ini setahun sekali sahaja, apa salahnya all out dengan kualiti makanan.

Kasihan orang ramai yang datang untuk mencari juadah berbuka alih-alih kena prank.

Kalau sekadar tidak sedap tidak mengapa, kalau makanan yang dibeli itu sudah basi lagi teruk jadinya.

Akhirnya, yang kenyang bukan perut tetapi tong sampah. Makanan yang berkualiti akan meraih kepercayaan pelanggan sekali gus membuka ruang untuk anda meraih pelanggan setia.

Silap-silap lepas Ramadan pun orang tercari-cari lagi jualan anda.

-Intan Suhana Che Omar adalah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×