SEMPENA edisi Ramadan kali ini, Seri kongsikan 12 juadah istimewa bagi dijadikan panduan ketika berbuka nanti. Daripada lauk-pauk hinggalah ke pencuci mulut yang enak dan mudah disediakan. Selamat mencuba!
Pengat pisang bersagu
Bahan-bahan
-5 biji pisang
-200 mililiter santan
-150 gram gula Melaka
-2 helai daun pandan
-1 ½ cawan air
-¼ cawan sagu
-Garam
Cara penyediaan
-Kupas kulit pisang dan hiris setebal 2 sentimeter dan ketepikan dahulu.
-Didihkan air dan rebus ¼ cawan sagu sampai bertukar jernih.
-Apabila sudah jernih, basuh sagu untuk buang kanji.
-Masukkan 150 gram gula melaka, 2 simpul daun pandan dan 1½ cawan air. Didihkan sampai gula larut.
-Masukkan pisang dan rebus sehingga pisang bertukar menjadi empuk.
-Tuang 200 mililiter santan
-Masukkan sedikit garam dan kacau sebati/disusuli dengan sagu.
-Kemudian masukkan sagu dan kacau sekejap. Siap untuk dihidang!
Siakap tiga rasa ala Thai
Bahan-bahan
-1 ekor ikan siakap/kerapu/kembung
-½ biji bawang Holland
-3 ulas bawang putih
-6 biji cili api
-½ cawan nanas (dipotong dadu)
-½ biji tomato (dipotong dadu)
-⅓ cawan sos Thai
-1 batang serai
-2 sudu sos tiram
-2 ½ sudu sos ikan
-½ sudu teh karamel masakan
-Air kosong
-Garam
Cara penyediaan
-Kelar ikan siakap dan salutkan dengan garam, secukup rasa, serbuk kunyit, dan tepung jagung.
-Panaskan minyak dan goreng ikan. Curah minyak panas ke atas ikan supaya kulit rangup.
-Kisar bawang Holland, bawang putih dan cili api hingga separa lumat.
-Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar.
-Kemudian masukkan serai, sos Thai, sos tiram dan sos ikan.
-Masukkan nanas dan tomato ke dalam bahan tumisan serta tambahkan sedikit air.
-Masukkan karamel masakan dan kacau hingga sebati. Selamat mencuba!

Laksa utara
Bahan-bahan
-500 gram ikan kembung/mabong
-1700 mililiter air
-2 biji bawang besar saiz sederhana
-1 ½ inci belacan bakar
-3 sudu makan cili kisar
-5 keping asam gelugor/keping
-1 ikat pokok daun kesum
-2 kuntum bunga kantan
-2 sudu teh garam
-1.5 sudu teh gula
-Timun
-Salad
-Bawang besar
-Telur rebus
-Limau nipis
-Cili api
Cara penyediaan
-Rebus 500 gram ikan kembung sehingga masak.
-Simpan air rebusan dan asingkan isi ikan dari tulang ikan.
-Kisar isi ikan bersama separuh dari air rebusan ikan hingga lumat.
-Kisar tulang ikan bersama sisa air rebusan ikan hingga lumat.
-Tapis air kisar tulang ikan dan air rebusan 3 kali.
-Untuk bahan tumis, kisar belacan bakar, bawang besar dan sedikit air sampai lumat.
-Tumiskan bahan itu sehingga kering sedikit dan masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak.
-Tuang isi dan tulang ikan dan tapis ke dalam periuk/kuali. Masukkan keping, dan masak hingga kuah laksa mereneh. Masukkan 1 ikat daun kesum dan bunga kantan.
-Masukkan bahan tumisan, kacau dan masak kuah laksa sehingga sebati. Perasakan dengan sedikit garam dan gula. Boleh dihidangkan bersama ulam-ulaman dan cili potong.

Agar-agar limau
Bahan-bahan
-4 biji limau mandarin
-800 mililiter susu penuh berkrim
-200 mililiter air
-70 gram gula
-10 gram serbuk agar-agar
Cara penyediaan
-Kupas 5 biji limau mandarin.
-Tuang 800 mililiter susu dan 200 mililiter air ke dalam periuk.
-Masukkan 70 gram gula, dan 10 gram serbuk agar-agar.
-Kacau dahulu sehingga sebati dan kemudian baru dimasak atas dapur.
-Gunakan api sederhana dan sentiasa kacau sehingga mendidih supaya susu tidak berketul.
-Tuang sedikit adunan agar-agar ke dalam botol atau kotak.
-Gunakan chopstick untuk susun buah limau mandarin secara menegak.
-Tuang sedikit demi sedikit adunan agar-agar berselang seli dengan limau sehingga penuh.
-Sejukkan agar-agar di dalam peti sejuk sekurang kurangnya selama empat jam.

Ikan percik ala bazar
Bahan-bahan
-4 ekor ikan
-1 sudu teh garam
-1 ½ sudu teh kunyit
-minyak masak
-1 biji bawang besar
-1 inci halia
-Sedikit belacan
-15 tangkai cili kering (direbus) sedikit air
-2 kotak santan (400 mililiter)
-1 batang serai
-1 keping asam keping
-1 sudu teh garam
-1 ½ sudu teh kunyit
-1 ½ sudu gula
Cara penyediaan
-Perapkan ikan dengan garam, kunyit dan minyak masak.
-Kisar bawang besar, halia, cili kering, belacan dan sedikit air hingga lumat.
-Tumiskan bahan kisar dalam kuali dan masukkan sebatang serai yang sudah ditumbuk sedikit.
-Masukkan dua kotak santan, kunyit dan asam keping. Pastikan masak dengan api sederhana.
-Kacau hingga kuah menggelegak dan masukkan gula dan garam. Kacau hingga sebati.
-Bakar ikan yang diperap sehingga kedua-dua permukaan bertukar keperangan.
-Tuang kuah percik ke atas ikan dan boleh dihidangkan.
Kepak ayam honey garlic
Bahan-bahan
-1 kg kepak ayam dibelah dua
-1 sudu kecil garam
-Lada hitam
-1 ½ sudu kecil serbuk bawang putih
-Serbuk cili ekstra pedas
-1 sudu makan kepingan cili
-Sedikit minyak zaitun
-Sos honey garlic
-1 kiub pati ayam
-¾ cawan air panas
-½ cawan madu
-⅓ cawan kicap cair
-2 sudu makan cuka masakan
-1 sudu makan minyak bijan
-4 ulas bawang putih (ditumbuk)
-0.5 inci halia (ditumbuk)
-1 sudu kecil tepung jagung
Cara penyediaan
-Perasakan kepak ayam dengan garam, lada hitam, serbuk bawang putih, serbuk bawang merah, serbuk cili, kepingan cili dan minyak zaitun. Gaul sehingga sebati.
-Susun ayam di atas loyang dan bakar pada suhu 200 darjah Celsius, dalam masa 20 minit.
-Untuk sos honey garlic, larutkan 1 kiub pati ayam menggunakan air panas.
-Masukkan 4 ulas bawang putih, halia, kicap cair, madu, cuka masakan, minyak bijan, kepingan cili dan tepung jagung. Kacau sehingga sebati.
-Tuang adunan sos ke dalam kuali dan masak dengan api kecil sehingga sos memekat.
-Selepas 20 minit, keluarkan ayam yang dibakar dan beruskan sos honey garlic di atasnya.
-Sambung bakar ayam selama 8 minit. Sapu semula sos honey garlic dan sedia untuk dihidangkan.

Telur rebus goreng tomyam
Bahan-bahan
-6 biji telur rebus
-1 bahagian dada ayam (dipotong kecil)
-3 ulas bawang putih (ditumbuk)
-½ biji bawang besar (dipotong)
-2 sudu makan pes tomyam
-2 sudu makan sos Thai/ sos cili
-1 sudu makan sos tiram
-Daun bawang (dipotong)
-Sedikit air
-Lobak merah
-Kubis bunga
-Baby corn
Cara penyediaan
-Goreng telur rebus hingga keperangan.
-Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan bawang besar
-Kemudian tambahkan pes tomyam dan kacau seketika sebelum dimasukkan sedikit air.
-Masukkan potongan ayam, sos Thai dan sos tiram. Kacau hingga sebati.
-Seterusnya, tambahkan sayur-sayuran disusuli dengan telur rebus. Gaul hingga sebati.
-Akhir sekali, taburkan daun bawang dan siap untuk dihidang.
Agar-agar susu coklat
Bahan-bahan
-550 mililiter susu penuh berkrim
-550 mililiter susu coklat
-10 gram serbuk agar-agar(bahagikan kepada 2 bahagian, untuk setiap lapisan)
-50 gram gula pasir
Cara penyediaan
-Tuang 550 mililiter susu penuh berkrim ke dalam periuk.
-Masukkan 50 gram gula dan 5 gram serbuk agar-agar bersama susu ke dalam periuk.
-Kacau sampai mendidih.
-Gunakan kotak susu 1 liter yang telah dipotong untuk acuan. Condongkan kotak susu sebanyak 45 darjah.
-Tuang susu yang telah dididihkan sedikit demi sedikit ke dalam acuan hingga separuh kotak. Biarkan agar-agar mengeras di suhu bilik selama 25 minit.
-Untuk susu coklat, tuang 550 mililiter susu coklat ke dalam periuk.
-Masukkan 5 gram serbuk agar-agar dan 2 sudu gula.
-Masak di atas dapur dan kacau sehingga mendidih.
-Setelah cukup 25 minit untuk bahagian agar-agar susu, tuang adunan agar agar coklat sedikit demi sedikit ke dalam acuan.
-Biarkan agar-agar mengeras dalam peti sejuk selama 4 jam.
-Sesuai disajikan semasa berbuka puasa.
Rendang ayam
Bahan-bahan
-1 biji bawang besar (dikisar)
-5 ulas bawang putih (dikisar)
-1 inci lengkuas (dikisar)
-1 inci halia (dikisar)
-1.5 inci kunyit hidup (dikisar)
-5 sudu makan cili kisar
-0.5 sudu teh pes asam jawa adabi
-1 sudu makan kerisik
-3 batang serai
-Separuh ayam
-200 mililiter santan segar
-1 cawan air
-1 sudu makan gula Melaka
-½ sudu teh garam
-Daun kunyit
Cara penyediaan
-Tumis kulit kayu manis dan bunga lawang kemudian masukkan bahan kisar diikuti dengan 3 batang serai.
-Masukkan 4 sudu makan cili kisar dan kacau hingga sebati.
-Tambahkan 1/2 cawan air. Kacau dan biarkan sehingga naik minyak.
-Masukkan 1 sudu makan gula Melaka. Tutup kuali dan tunggu sehingga masak.
-Masukkan 1/2 ayam dan gaul hingga sebati.
-Masukkan 200 mililiter santan segar ke dalam kuali dan kacau.
-Masukkan kerisik dan pes asam jawa. Kacau hingga sebati dan tutup kuali hingga ayam masak.
-Selepas ayam betul-betul masak, buka penutup kuali dan masukkan 1 helai daun kunyit yang dipotong halus.
Mi rebus Terengganu
Bahan-bahan
-1 paket mi kuning
-3 ulas bawang putih
-3 biji bawang merah
-1 ½ sudu makan biji lada hitam
-Dada ayam
-Udang
-Sayur-sayuran pilihan
-2 biji telur
-700 mililiter air
-2 sudu teh garam
-Limau nipis
Cara penyediaan
-Kisar bawang putih, bawang merah, lada hitam dan sedikit air hingga lumat.
-Tumis bahan kisar hingga pecah minyak kemudian masukkan dada ayam.
-Tambahkan air dalam kuantiti yang banyak ke dalam kuali untuk mi berkuah.
-Selepas air mendidih, masukkan udang dan sayur-sayuran pilihan. Tunggu sehingga air mendidih sekali lagi.
-Pecahkan telur ke dalam kuah. Boleh tambah telur berdasarkan citarasa sendiri.
-Tutup kuali 2 minit supaya telur masak.
-Perasakan dengan sedikit garam dan boleh masukkan daun sawi beserta mi kuning.
-Masak mi rebus selama 1-2 minit sahaja dan tutup api dapur supaya mi tidak kembang. Jangan lupa,perah limau nipis sebelum menjamu selera.
Kuah kacang
Bahan-bahan
-400 gram kacang tanah (digoreng dan dikisar dengan 2 cawan air)
-1.5 biji bawang besar
-2 ulas bawang putih
-23 batang cili kering
-1 sudu besar udang kering (rendam sampai lembut)
-½ cawan air
-0.5 inci lengkuas (ditumbuk)
-2 batang serai (ditumbuk)
-1 ½ cawan air
-1 cawan santan
-1 keping besar gula Melaka (200g)
-2.5 sudu teh garam
-1 sudu teh pes asam jawa
Cara penyediaan
-Goreng kacang tanah hingga bertukar coklat gelap.
-Biarkan sejuk dan kemudian kisar separa hancur dengan 2 cawan air (pastikan paras air lebih daripada kacang).
-Kisar halus bawang besar, bawang putih, udang kering, cili kering dan air.
-Gunakan api kecil, tumis bahan kisar tadi hingga pecah minyak.
-Masukkan gula Melaka ke dalam bahan tumisan dan kacau sebati.
-Masukkan kacang kisar, serai dan lengkuas. Kacau hingga sebati.
-Tambahkan 1-2 cawan air ke dalam kuah kacang dan kacau.
-Masukkan santan dan pes asam jawa. Masak kuah dengan api kecil hingga naik minyak.
-Sedia untuk dimakan bersama roti untuk juadah moreh.
Acar timun
Bahan-bahan
-2 biji timun
-4 biji bawang merah/bawang kecil
-3 ulas bawang putih
-3 hiris halia
-7 keping cili kering (rendam dalam air panas sampai lembut)
-2 sudu makan gula Melaka/nisan
-2 sudu makan cuka masakan
-½ biji bawang Holland
-1 cawan air
-1 sudu teh garam
Cara penyediaan
-Potong timun menjadi 8 bahagian.
-Kisar lumat bawang kecil/merah, bawang putih, halia, sedikit air dan cili kering.
-Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
-Tuang 1/3 cawan air dan tumis hingga pecah minyak.
-Masukkan gula Melaka dan hancurkan hingga larut.
-Masukkan timun, bawang holland, cuka masakan dan gaul hingga sekata.
-Tuang ½ cawan air, kacau dan tutup kuali. Biar hingga masak.
-Buka penutup kuali dan masukkan garam. Kacau hingga sebati dan siap untuk dihidang. – UTUSAN










