Membesar di kampung halaman yang hampir dengan persisiran pantai membuatkan wanita ini gemarkan suasana damai di pantai dan laut.
Justeru, tidak hairanlah kediaman milik Kemn Azmaili,40, ini dihias indah bertemakan rona biru yang melambangkan warna pantai dan air laut.
Kata Kemn, biru yang juga merupakan warna kegemarannya itu melambangkan ketenangan dan kedamaian.
“Konsep rumah ini adalah Modern Coastal Glam. Biru mengingatkan saya pada kampung halaman saya yang berdekatan dengan persisiran pantai.
“Kombinasi warna biru diraja yang dominan menyerupai keindahan lautan dan warna putih di sebahagian ruang dinding dan beige bagi lantai juga simbolik kepada ombak dan pasir pantai,” katanya kepada Seri.

KESEIMBANGAN WARNA
Walaupun keseluruhan ruang kediaman dua tingkat ini dilatari dengan rona biru pada kebanyakan aksesori dan perabot, namun percikan rona hijau dapat dilihat di beberapa ruangan.
Sentuhan hijau daripada pokok dan tumbuhan tropika itu memberi sedikit kontra selain memastikan keseimbangan antara dekorasi moden (glam) dan ketenangan pantai (coastal).
“Penting untuk kita tahu penggunaan warna utama dan warna asas untuk keseimbangan warna.
“Bagi konsep ini, warna utama sudah tentu warna biru diraja sebagai titik tumpu dan warna asas lain seperti putih, beige dan kelabu lembut,” kongsinya yang mendiami rumah itu lebih 13 tahun lalu.
Kombinasi warna yang tidak berlebihan ini menjadikan keseluruhan ruang tampak tenang dan mendamaikan.

Walaupun warna biru bukanlah warna yang sering menjadi pilihan penggemar dekorasi dalaman, namun melihatkan tatarias kediaman jenis dua tingkat ini, ia cukup menarik.
Konsep ini lari daripada kebiasaan hiasan dalaman ketika ini yang lebih menumpukan kepada rona lembut seperti krim dan putih sebagai warna latar.
Bagi yang masih tercari-cari idea dekorasi rumah untuk raya yang bakal menjelang mungkin boleh mempertimbangkan konsep unik ini untuk kediaman tampil lebih elegan dan eksklusif.-UTUSAN










