Rasa kosong dan tidak bersemangat

Rasa kosong dan tidak bersemangat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak akhir-akhir ini, saya mengalami sedikit kemurungan. Saya tidak boleh duduk bersendirian mula berfikir benda-benda yang menyedihkan. Badan rasa penat, malas nak pergi kerja dan mula hilang selera makan. Bagaimana untuk bangkit semula?

Lelaki penat

JAWAPAN
Kemurungan adalah keadaan emosi yang boleh memberi kesan besar kepada kesejahteraan mental di pelbagai peringkat umur. Boleh berpunca daripada tekanan di tempat kerja, masalah peribadi, kehilangan orang tersayang atau perubahan hidup yang drastik.

Ia menyebabkan terperangkap dalam emosi negatif yang menjejaskan kesihatan mental, fizikal dan hubungan sosial seseorang. Amat penting mengenal pasti tanda-tanda kemurungan lebih awal dan bangkit semula bagi menjalani kehidupan dengan lebih positif:

Terima perasaan sendiri – Jangan salahkan diri kerana merasai perasaan tersebut. Akui anda sedang tertekan dan jangan paksa diri untuk kuat setiap masa. Sedar dan terima perasaan adalah satu proses pemulihan.

Rutin harian – Sediakan satu jadual harian secara berkala untuk membantu menyusun kehidupan baharu dan mengawal aktiviti harian seperti masa untuk bangun dan tidur, dengar muzik dan menulis. Hadkan masa bersendirian yang menyebabkan anda banyak berfikir negatif.

Bersenam – Lakukan aktiviti fizikal yang boleh meningkatkan mood positif. Mulakan dengan aktiviti yang mudah seperti berjalan kaki, meregang atau berbasikal dengan anggaran 10 hingga 15 minit setiap hari.

Makanan seimbang – Ambil makanan berkhasiat. Elakkan mengambil makanan segera kerana makanan boleh mempengaruhi emosi. Pemakanan yang baik dapat memberi tenaga kepada tubuh dan minda.

Rehat yang cukup – Tidur yang cukup sangat penting untuk menjaga kesejahteraan fizikal dan mental. Cuba untuk tidur pada waktu yang tetap dan elakkan gangguan yang boleh mengganggu kualiti tidur.

Amalan spiritual – Dekatkan diri dengan Tuhan. Perbanyakkan berdoa, membaca al-Quran, berzikir dan hadiri majlis ilmu membantu memberi ketenangan jiwa.
Berkongsi dengan orang – Berkongsi perasaan dengan mereka yang anda percaya seperti keluarga atau rakan baik. Sekiranya perasaan ini berlarutan melebihi dua minggu, segeralah mendapatkan bantuan daripada kaunselor.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×