Jangan biasakan gaduh depan anak - Utusan Malaysia

Jangan biasakan gaduh depan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam melayari bahtera rumah tangga, sesekali dilanda badai itu biasa.

Iyalah, laut mana yang tak berombak, bumi yang mana tak ditimpa hujan.

Tetapi, kalau boleh, janganlah normalisasikan bergaduh di depan anak, tidak kira anak kecil atau sudah dewasa kerana ia akan meninggalkan kesan emosi kepada mereka.

Mereka mungkin nampak seperti tidak tahu apa-apa tetapi sebenarnya mereka mampu menyimpan memori luka itu sehingga dewasa.

Kajian Eamon McCrory daripada Universiti College London mendapati, jika ibu bapa bergaduh depan anak atau anak-anak melihat ibunya dimarahi bapa tidak mustahil mereka akan meniru tingkah laku terbabit.

Jadi, tidak mustahil ibu atau bapa yang bertekak di hadapan anak-anak sebenarnya sedang mengajar anak-anak untuk tidak hormat kepada ibu dan bapa kerana masing-masing juga tidak saling menghormati.

Apatah lagi bagi pasangan yang bercerai, sebaiknya, cuba elakkan pertikaian atau pertengkaran di depan anak-anak.

Sudahlah anak dibebankan dengan hakikat bahawa keluarga bahagia sudah musnah, ditambah pula dengan sikap ibu bapa yang sering bercakaran.

Mereka ini terdera emosi lebih-lebih lagi jika pertengkaran membabitkan hak jagaan anak, biaya persekolahan dan sebagainya.

Lebih-lebih lagi apabila ibu bapa mengheret sekali anak-anak dalam pertengkaran dengan meminta anak menyuarakan pendapat atau memberi validasi untuk memuaskan hati mana-mana pihak.

Sudah tentu ini memberikan tekanan yang kuat kepada kesejahteraan mental si anak kerana mereka seolah-olah dipaksa untuk memilih sama ada untuk menyokong ibu atau bapa.

Apabila menginjak dewasa, tidak mustahil mereka mula menyalahkan diri sendiri atas permasalahan yang terjadi dan berasa mereka adalah punca ibu bapa berpisah.

Berapa ramai kita lihat anak-anak yang bermasalah kebanyakan datang daripada keluarga yang bercerai-berai kerana mereka cuba melepaskan diri daripada trauma lampau dengan mencari keseronokan yang tidak sepatutnya.

Ibu bapa mungkin boleh meneruskan hidup dengan pasangan baharu dan memulakan fasa hidup baharu selepas pergaduhan yang terjadi, tetapi anak-anak selamanya ‘terperangkap’ dalam situasi broken family.

Justeru, jika ada perasaan tidak puas hati yang harus diluahkan kepada pasangan atau bekas pasangan, cubalah cari ruang dan masa yang sesuai.

Pastikan perbalahan yang terjadi jauh daripada pengetahuan anak-anak supaya insan tidak berdosa tidak perlu menanggung derita yang tidak dipinta.

-Intan Suhana Che Omar adalah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×