FIZIKALNYA kecil molek dengan usia yang mencecah setengah dekad, tetapi wanita ini mampu menamatkan larian sejauh 50 hingga 66 kilometer (km) hingga bergelar pemenang.
Dianggarkan lebih 80 ultra maraton disertai Kartini Ahmad Kamal, 46, sejak 10 tahun lalu.
Selain acara itu, anak kelahiran Sandakan, Sabah ini turut terlibat dalam lebih 200 maraton biasa yang jaraknya bawah 42km.
Jika digabungkan kedua-dua acara tersebut, lebih 100 kemenangan telah diraih dengan kebanyakannya menaiki podium.
Pencapaian membanggakan itu sekali gus meletakkannya sebagai antara pelari otai dalam sebarang acara larian di negara.
Melihat kepada kehebatannya, mungkin ada yang menebak wanita ini ‘kaki sukan’ sejak di bangku sekolah, tetapi sangkaan tersebut silap.
Ujarnya, minat pada larian bermula agak lewat, ketika usianya 34 tahun gara-gara diajak rakan menyertai acara maraton.
“Pada 2012, kawan saya terlibat dalam penganjuran acara larian dan tujuan saya mendaftar kategori 10km itu semata-mata untuk mendapatkan cenderahati menarik sahaja.
“Apabila larian bermula, saya terkejut yang saya sebenarnya boleh ‘berlari’ dan sejak itu saya mula jatuh cinta dengan aktiviti ini,” katanya kepada Seri.
Dalam acara sulung itu, dia melepasi garisan penamat dalam masa 1 jam 20 minit, hasil latihan selama tiga minggu.
Antara acara yang pernah dimenangi ialah Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2022 dan Garmin Run Malaysia 2024.
Bulan lalu, Kartini menduduki tempat kedua dalam kategori veteran wanita 42km di Elopura Marathon Sandakan 2024.
Kemenangan sama berulang dalam acara Subang Jaya Marathon Run sejauh 21km, awal bulan ini.
Catatan masa terbaik yang direkodkannya ialah 4 jam 45 minit bagi kategori 50km diikuti1 jam 42 minit (21 km), 44 minit 58 saat (10 km) dan 21 min 30 saat (5 km).
‘Pil gembira’
Kartini mengakui sebelum ini dirinya malas bersukan dan cuma bermain bola jaring di sekolah sekadar untuk suka-suka.
Di usia mudanya, dia menolak untuk berjoging sekali gus mengakui yang hobinya ialah melepak bersama rakan-rakan sambil makan-makan.
“Amalan gaya hidup saya memang sangat tidak sihat dan tidak pernah terfikir langsung mahu bersenam atau bersukan.
“Tetapi semua itu berubah sekelip mata setelah mula terlibat dengan larian dan saya bersyukur dapat kenal hobi ini walaupun di usia yang lewat,” katanya.
Kongsi Kartini, berlari bukan sahaja dapat menenangkan minda dan menghilangkan stres, malah badan jadi lebih cergas dan wajah nampak awet muda.
Katanya, aktiviti itu wajar diamalkan masyarakat kerana bermanfaat dalam memastikan emosi kekal sihat dan menyuntik kegembiraan.
“Larian adalah ‘pil gembira’ saya dan setiap kali fikiran kusut, saya ubatinya dengan cara berlari.
“Dulu badan saya kurus kering seperti orang sakit tetapi kini tidak lagi dan muka pun jadi lebih lebih berseri sebab sentiasa gembira,” katanya.
Rutin larian suri hati, Mohd. Syamsul Bahtiar Abd. Gapar, 40, ini kebiasaannya sebanyak tiga kali dalam seminggu dengan melibatkan tempoh antara 30 minit hingga sejam.
Pada hujung minggu pula, masanya banyak diisi dengan acara larian di merata-rata tempat.
“Saya tidak berlari setiap hari kerana di usia begini, fokusnya lebih kepada fasa recovery atau rehat.
“Jika Ahad terlibat dalam maraton, maka Isnin dan Selasa saya rehat seketika daripada berlari kerana badan sudah penat,” katanya.
BERTEMU JODOH
Kartini berkata, berlari bukan sahaja mengubah kehidupannya kepada lebih sihat, malah bertemu jodoh dengan suami.
Kedua-duanya mula berkenalan ketika menyertai Samosir Lake Toba Ultra Marathon di Medan, Indonesia pada 2016.
Perkenalan itu berlarutan hingga pulang ke tanah air apabila sering berlatih bersama hingga membuahkan bibit-bibit cinta.
“Selepas dua tahun bercinta, kami memutuskan untuk berumahtangga pada 2018 dan semasa sesi fotografi, masing-masing memakai bib larian marathon Medan itu sebagai simbolik mula berjumpa,” katanya tertawa.
Kartini bersyukur memiliki suami yang berkongsi minat sama dan menyokong penuh hobinya pada larian.

Malah, pasangan ini sering bersama dalam acara marathon termasuk di luar negara antaranya Bali dan Rinjani, Indonesia; Thailand; Pulau Jeju, Korea di samping Oaklands di Australia.
Katanya, mereka bukan sekadar dapat berlari tetapi berpeluang bercuti ke sesebuah destinasi menerusi pendekatan runcation yang menjadi amalan.
“Kalau mahu merancang percutian, biasanya kami akan periksa acara-acara maraton dan pilih tarikh yang sama bagi membolehkan kami menyertai aktiviti itu,” ujarnya.
CABARAN
Melihat kejayaan berturut-turutnya di podium, pasti ramai menduga laluan wanita ini sentiasa mudah dan lancar di setiap acara yang disertai.
Namun ia disangkal Kartini sambil menceritakan pernah muntah berkali-kali hingga hampir pengsan.
Katanya, situasi itu berlaku ketika acara larian sejauh 55km di Medan pada 2018.
“Cuaca sangat terik dan hanya tinggal 5km lagi untuk ke garisan penamat tetapi saya sudah lesu akibat muntah berkali-kali sampai terbaring lama di tepi jalan raya.
“Itu merupakan pengalaman paling menyeksakan sepanjang 12 tahun saya terlibat dalam aktiviti larian,” ujarnya.
Jelasnya, situasi itu berlaku kerana kesilapan ‘kecilnya’ yang memandang mudah tentang pemakanan.
Katanya, dalam larian itu dia hanya mengambil gel untuk membekalkan tenaga, namun ia tidak mencukupi dan seharusnya membawa bersama makanan pejal seperti coklat tenaga dan lain-lain.
Manakala ketika di Korea pula, dia menceritakan pengalaman memakai baju tiga lapis dan sarung tangan berikutan cuaca yang sangat sejuk.
“Walaupun acara itu berlangsung di akhir musim sejuk dan salji sudah cair tetapi angin masih kuat sekali gus memberikan cabaran berbeza ketika berlari,” katanya yang tidak pernah mengalami kecederaan dengan yang terakhir pada 2016.
Dalam pada itu, ketika ditanya kaedah pemakanannya untuk mendapatkan stamina dan kekal bertenaga, Kartini mengamalkan campuran jus ubi bit dan epal di samping mengambil sajian tinggi protein.










