SOALAN
Suami saya anak emak. Hari-hari maklumkan pada emak rutin harian kami sehingga segala urusan hidup banyak ditentukan oleh ibu mentua. Saya sangat rimas dan tertekan. Bila ditegur, pasti mengundang pergaduhan antara kami. Apa yang perlu saya lakukan?
-Isteri derita
JAWAPAN
Hubungan erat antara seorang lelaki dan ibunya sering dipandang mulia, tetapi jika keterikatan ini terlalu dominan, ia boleh menjejaskan perkahwinan.
Sebagai isteri, penting untuk memahami bahawa hubungan suami dengan ibunya telah lama terbina dan sebarang perubahan memerlukan masa serta usaha bersama.
Dengan kebijaksanaan, keseimbangan antara tanggungjawab sebagai anak dan suami dapat dicapai demi keharmonian keluarga. Berikut beberapa langkah yang boleh dilakukan:
Berkomunikasi – Pilih masa yang sesuai untuk berbincang dengan suami dan pastikan keduanya berada dalam keadaan tenang tanpa gangguan. Fokuskan perbincangan tentang perasaan dengan jelas, tanpa menundingkan kesalahan kepada suami agar perbincangan dapat dilakukan dengan baik.
Bina empati – Fahami situasi daripada perspektif suami. Mungkin suami sangat rapat dengan ibunya dan berasa sukar untuk mengubah keadaan tersebut. Dengan menunjukkan empati dan memahami perasaannya, anda dapat mewujudkan asas yang kukuh untuk perbincangan yang lebih positif dan konstruktif.
Batasan dalam rumah tangga: Wujudkan persetujuan bersama suami mengenai batasan yang jelas dalam perhubungan dengan ahli keluarga, rakan dan pihak luar. Langkah ini penting untuk memastikan kedua pihak bersepakat dalam menjaga privasi rumah tangga serta mengelakkan perkongsian isu suami isteri kepada pihak luar tanpa keperluan.
Mencari Penyelesaian: Adakan perbincangan bersama suami untuk mencari cara yang sesuai melibatkan ibu mentua dalam kehidupan anda secara lebih terkawal dan menyusun semula cara perkongsian maklumat keluarga agar lebih teratur dan tidak berlebihan.
Jaga Emosi Anda: Pastikan kesejahteraan emosi anda terjaga dengan baik. Luangkan masa untuk melakukan aktiviti yang disukai dan dapatkan sokongan daripada rakan atau ahli keluarga.
Langkah ini dapat membantu anda mengurus tekanan dengan lebih berkesan.
Jaga hubungan keluarga: Ingatkan diri tentang kebaikan suami dan keluarga mentua sepanjang perkahwinan anda. Tumpukan perhatian pada aspek positif, kerana ini dapat membantu mengurangkan tekanan serta mewujudkan suasana yang lebih tenang semasa perbincangan.
Bantuan profesional: Jika perbincangan sering berakhir dengan pergaduhan, pertimbangkan untuk mendapatkan perkhidmatan sesi kaunseling keluarga. Kaunselor dapat membantu memperbaiki komunikasi dan memberikan panduan dalam menangani konflik dengan lebih efektif.
Semoga dengan usaha dan sikap sabar anda yang berterusan, keharmonian keluarga dapat dicapai tanpa memutuskan ikatan kasih sayang dengan ibu mentua.- UTUSAN










