Tahun 2018 memahatkan kenangan pahit dalam diri Norhaslina Abd. Hamid,27, selepas disahkan mengalami Major Depressive Disorder, Borderline Personality Disorder dan keresahan melampau.
Setahun kemudian, beliau disahkan pula menghidap Major Depressive Disorder with Psychosis.
Keadaannya itu menyebabkan beliau berhalusinasi dan sering melihat sosok tubuh seorang wanita yang sebenarnya tidak pernah wujud di dunia nyata.
Amanda, itulah nama ‘teman’ khayalannya.
Norhaslina pertama kali melihat Amanda sewaktu beliau sedang bersantai di rumah, namun tiba-tiba beliau berhalusinasi seakan-akan berada di sebuah pantai yang luas dan sunyi.
Di pantai itulah, Norhaslina buat pertama kalinya melihat bayangan Amanda yang pada waktu itu amat asing bagi dirinya.
Bingung dengan apa yang terjadi, Norhaslina akhirnya tersedar selepas dibantu oleh ahli keluarga yang terkejut melihat beliau histeria secara tiba-tiba.
“Selepas ahli keluarga tenangkan saya, mereka tanya ‘Siapa Amanda?’ Saya yang kebingungan juga tidak tahu untuk jawab apa kerana saya juga tidak kenal Amanda.
“Kemudian, barulah saya sedar Amanda itu adalah wanita yang saya nampak dalam halusinasi saya ketika di pantai itu,” katanya kepada Seri.

BISIKAN MENGHASUT
Berpeluang berbual dan menyelami hati wanita ini baru-baru ini membuka mata saya betapa hebatnya ‘pertarungan’ yang sedang dialami oleh pesakit mental.
Apatah lagi, sakit itu tidak terlihat secara zahir namun sangat menekan-nekan di batin.
Secara luaran, Norhaslina terlihat sangat normal dengan wajahnya yang manis, namun hanya Tuhan sahaja yang tahu derita batinnya, apatah lagi beliau sering diganggu Amanda tidak kira di mana jua berada.
Amanda sering muncul di beberapa sudut dan memerhatikan Norhaslina sehingga membuatkan beliau rasa terganggu.
Malah, sehingga kini, Amanda masih ‘ada’ dan terus ‘menghantui’ hidupnya sehingga membuatkan Norhaslina sudah terbiasa hidup ‘bersama’.
Setiap hari beliau berjuang melawan segala bisikan Amanda untuk cederakan diri sendiri.
“Amanda akan datang jika saya sedang sedih atau kemurungan. ‘Dia’ akan suruh saya buat benda-benda yang tidak baik.
“Suruh cederakan diri, ajak ikut ‘dia’ terjun bangunan, suruh saya cederakan suami dan banyak lagi,” katanya yang mendirikan rumah tangga bersama Syafiq Abd. Mufti pada 2021.
Mujurlah, suami sangat memahami dan membantu Norhaslina untuk melalui fasa sukar dalam kehidupannya itu.
Kehadiran Syafiq banyak memberi perubahan positif kepada Norhaslina yang sedang berjuang untuk memulihkan kesihatan mentalnya.
“Sebelum berkahwin lagi suami sudah tahu mengenai keadaan saya tapi dia kata, tiada masalah dan mahu bersama-sama saya,” katanya.
BERMULA DENGAN TEKANAN
Seawal usia 22 tahun, anak kelahiran Sandakan, Sabah ini sudah diuji dengan keadaan kesihatan yang berat.
Bercerita mengenai permulaan beliau didiagnos sebagai pesakit mental, kata Norhaslina segala-galanya bermula daripada tekanan yang tidak diuruskan dengan baik.
“Pada awalnya ada trauma yang berlaku dan saya tidak menguruskan tekanan itu dengan baik sehingga membawa kepada kemurungan.
“Mujurlah saya ada kesedaran mengenai penyakit ini dan ada rakan yang kerja bahagian perubatan, dia nasihatkan saya untuk buat diagnosis lanjut,” jelasnya.
Simptom awal yang dialami Norhaslina memang jelas menunjukkan kemurungan yang teruk kerana beliau gemar menyendiri, banyak menangis tanpa sebab, tidak tidur sehingga berbulan-bulan dan pola makan yang berubah.
Malah, sikapnya yang gemar tidur di tempat kerja menyebabkan beliau diberhentikan kerja.
“Memang dia buktikan dia berusaha untuk faham dan sekarang dia sudah tahu hendak kawal macam mana jika histeria dan sebagainya.
“Sokongan keluarga juga sangat membantu saya untuk melawan penyakit ini,” katanya yang menjalankan terapi melalui menulis dan melukis seni untuk melawan rasa sakitnya.

TIGA KALI MASUK WAD PSIKIATRI
Sepanjang lima tahun, wanita ini tidak pernah berhenti mencari penawar untuk penyakit dialami.
Daripada rawatan moden sehinggalah perubatan alternatif, beliau sentiasa terbuka untuk mencuba asalkan mampu melegakan sedikit beban emosi yang ditanggung.
Malah, dia juga tidak pernah menyangka akan melalui pengalaman dimasukkan ke wad psikiatri untuk menerima rawatan.
“Sejujurnya, saya lega sangat bila dimasukkan ke wad psikiatri walaupun orang kata tempat itu menakutkan tetapi sekurang-kurangnya saya dapat rawatan. Saya memang terdesak untuk dapatkan
bantuan daripada pakar perubatan untuk elak daripada mencederakan diri sendiri.
“Saya rasa tenang kerana ketika itulah saya benar-benar boleh berehat dan tidur dengan tenang selepas menerima rawatan.
“Biasalah, wad psikiatri memang macam-macam ragamnya sampaikan keluarga hendak datang melawat pun takut,” katanya sambil tertawa kecil.
Begitupun, Norhaslina juga tidak melupakan rawatan alternatif untuk menghentikan gangguan-gangguan yang dialami.
“Ada juga pergi berubat, tetapi naluri saya kuat mengatakan saya memang ada halusinasi.
“Sekarang ini, saya sering nampak kelibat besar warna hitam dan selalu dengar suara lelaki yang garang macam petir. Bila saya tanya suami sama ada dia dengar atau tidak, suami kata tiada.
“Jadi, saya tahu saya memang berhalusinasi dan teruskan terapi untuk melawan penyakit ini,” jelasnya.
MAKIN PULIH
Menjalani terapi dengan keazaman yang kukuh untuk sembuh memberikan hasil yang memberangsangkan.
Apatah lagi, kehadiran cahaya mata Rafael Ali Syafiq, 1, membuatkan semangat untuk sembuh semakin berkobar-kobar.
Graduan lulusan Diploma Bahasa Arab Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) ini juga mula berjinak-jinak dalam perniagaan berkaitan seni.
Katanya, sibukkan diri dengan pelbagai aktiviti sangat membantu beliau mengawal emosi.
“Saya tulis buku sebelum ini dan sekarang buat perniagaan kecil-kecilan berkaitan seni.
“Bila ada perkara yang dilakukan, jadi fikiran saya sudah jarang menerawang ke tempat lain. Saya sudah sedikit okay berbanding sebelum ini,” kongsinya seraya menggulung bicara.- UTUSAN










