Kaum adam yang mahu kelihatan old money di Aidilfitri disarankan memilih busana berwarna coklat mocha mousse atau rich brown.
Penganalisis fesyen, Prof. Dr. Zuhaili Akmal Ismail berkata, rona itu memiliki banyak tarikan terutama sifatnya yang mewah dan versatil selari dengan falsafah old money.
Bahkan, ia sesuai dengan pelbagai tona kulit dan mudah digandingkan dengan warna-warna lain untuk mencipta penampilan maskulin klasik.
“Bagi saya mocha mousse adalah warna yang sempurna buat si pemakai untuk nampak mewah tanpa perlu terlalu try hard.
“Gandingkan baju Melayu atau kurta rona ini dengan seluar atau samping berwarna neutral seperti putih, beige atau kelabu muda.
“Lengkapkan gaya anda dengan songkok hitam klasik dan jam tangan kulit coklat gelap di samping kasut loafers berwarna tan atau gelap,” katanya.
Untuk gaya lebih kasual, padankan kurta coklat mocha mousse dengan seluar chinos berwarna krim.
Katanya, gabungan warna itu dengan warna neutral dapat menghasilkan gaya yang universal.

Tips untuk wanita
Memandangkan coklat mocha mousse merupakan warna 2025, mungkin ada segelintir wanita yang mahu tampil dalam busana rona ini di pagi Syawal.
Zuhaili Akmal menyarankan kaum hawa yang berkulit sawo matang agar tidak mengenakan warna sama dari kepala hingga ke kaki.
Tindakan itu membuatkan penampilan seseorang kusam dan berat.
“Elakkan penggunaan mocha mousse secara keseluruhan dan padankan dengan warna pastel lembut seperti dusty pink, baby blue atau mint green untuk mencipta kontras.
“Bagi yang berkulit kuning langsat, pilih fabrik mocha mousse dengan tekstur matte untuk gaya elegan,” katanya.
Selain itu, hindari warna hitam pekat atau navy sebagai lapisan utama kerana ia boleh mencipta kontras terlalu kuat yang kurang serasi dengan tona kulit.
habis










