Kes seorang ibu yang mengurung anak berusia tiga tahun di dalam sangkar baru-baru ini benar-benar merobek hati.
Pilu rasa hati membayangkan bagaimana tubuh si kecil itu dipaksa masuk ke dalam sangkar kurungan disebabkan oleh kejahilan si ibu.
Sudahlah begitu, si kecil itu juga dianiaya dengan sepak terajang tanpa belas kasihan.
Bukan sahaja raganya yang terseksa, tetapi batin jua merana.
Dalam kes berlainan, ada juga saya terbaca perkongsian seorang pengguna media sosial meluahkan rasa kesal dengan sikap ibu bapa moden yang gemar melepas tangan.
Dia melihat sendiri bagaimana ibu bapa sanggup meninggalkan anak mereka yang masih kecil bermain sendirian di taman permainan dalam kompleks membeli-belah semata-mata ingin berbelanja dengan tenang.
Si kecil dibiarkan bermain berseorangan sehingga kelaparan, berkeliaran dan menagih makanan daripada orang lain.
Bukankah perlakuan itu mencederakan emosi anak?
Saat mereka lapar dan dahaga tiada ibu dan ayah untuk diharapkan.
Tidak keterlaluan jika saya katakan tidak semua orang layak menjadi ibu dan bapa.
Tugas ibu bapa terlalu besar dan mulia. Bukan sahaja membesarkan tetapi mendidik dan menjaga kebajikan amanah yang diutuskan oleh Allah SWT dengan sebaiknya.
Apa yang merunsingkan saya, adakah si anak akan baik-baik sahaja sepanjang tumbuh membesar nanti selepas episod hitam yang terjadi di usia kecilnya?
Saya pernah terbaca catatan pakar psikologi yang menyatakan bahawa individu yang pernah didera tidak kira secara emosi atau fizikal berisiko untuk menjadi pendera apabila tumbuh dewasa.
Bahkan, perbuatan dera itu dianggap mampu melepaskan mereka daripada kongkongan trauma lampau.
Adakah kita sedang membentuk bakal-bakal pendera?
Ibu bapa, penjaga atau sesiapa sahaja berfikirlah dengan rasional sebelum bertindak terutamanya perbuatan yang melibatkan penganiayaan si kecil.
Jika tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab membesarkan seorang manusia, tidak usahlah beranak-pinak.
Jika rasa tidak mampu mengawal kesabaran dan amarah dalam mengendalikan kerenah anak, pergilah dapatkan nasihat atau kaunseling daripada pakar.
Melampiaskan amarah kepada anak bukan jalan penyelesaian. Sudah acap kali kita dihidangkan dengan berita mengenai ibu bapa yang dihumban ke penjara kerana isu ini.
Undang-undang dunia pun tidak terlepas apatah lagi di akhirat kelak.
Cari jalan untuk selesaikan masalah dan bukannya ‘menghilangkan’ masalah itu dengan mendera.
Percayalah, setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaian jika hidup berlandaskan ajaran Islam.
Intan Suhana Che Omar ialah wartawan Utusan Malaysia










