Sekumpulan lelaki warga emas dilihat berborak-borak kosong di kedai kopi. Itu antara aktiviti harian dilakukan segelintir orang bersara atau nama glamornya YB dalam mengisi masa lapang.
Waktu diisi dengan perkara-perkara santai yang tidak dapat dilakukan sewaktu bergelar pekerja dahulu.
Seminggu atau dua minggu memang perkara itu terasa begitu menyeronokkan dan best, maklumlah tidak terikat dengan sebarang komitmen. Anak-anak pun sudah besar dan tidak perlu diuruskan untuk hantar dan menjemput dari sekolah.
Namun, masuk ke minggu ketiga atau keempat melakukan aktiviti sama, berborak-borak kosong dan melepak, memang boleh mengundang kemurungan.
Biarpun saya belum berpencen, namun pengalaman menganggur selama dua bulan, empat tahun lalu, situasi berkenaan memang boleh mendatangkan tekanan pada diri sendiri.
Persekitaran kediaman kota dengan ruang dan lamannya comel sahaja, sejam atau dua jam segala kerja rumah selesai dilaksanakan. Selebihnya mahu buat apa?. Bukannya ada laman luas yang boleh bercucuk tanam.
Bila Laporan Ketahanan Kewangan dan Jangka Hayat dikeluarkan Manulife Investment Management mendedahkan 66 peratus atau 2.2 juta daripada 3.4 juta rakyat Malaysia terpaksa menangguhkan persaraan ekoran tidak cukup simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), saya boleh kaitkan dengan pengalaman yang saya lalui itu.
Bahasa mudahnya, ramai yang tidak bersedia bersara awal, bukan sebab isu simpanan sangat, tetapi dek tiada perancangan hidup.
Walaupun soalan lepas bersara nak buat apa, bunyinya ringan di telinga, tetapi susah nak jawab, lebih-lebih lagi kalau sewaktu bekerja, kita memberikan 100 peratus komitmen pada pekerjaan kita dan tidak ada masa melakukan kerja luar atau part time job. Betul tak?
Setiap orang pasti akan melalui zaman persaraan tetapi tidak semua memiliki perancangan mengisi masa sepanjang tempoh bergelar YB dengan melakukan perkara atau aktiviti yang mendatangkan manfaat.
Kalau bukan untuk komuniti dan negara, lepas menyara hidup sendiri pun, sudah cukup.
Ini bukan masalah individu tetapi negara. Selepas puluhan tahun tenaga pekerja diperlukan dalam pembangunan negara dan membayar segala bentuk cukai, wajarkan YB dilepaskan tanpa ada pelan atau perancangan untuk mereka manfaatkan dalam menghabiskan sisa usia?
-Nor Afzan Mohamad Yusof ialah Pengarang Rencana, Utusan Malaysia.










