SOALAN
Rakan sebilik saya pengotor. Baju-bajunya bersepah-sepah di atas lantai hingga menjadi seperti permaidani di bilik kami. Perlukah saya buang semua bajunya itu sebab saya rimas?
-Gadis malang
JAWAPAN
Dalam Islam, kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Ia penting untuk memastikan kehidupan yang sihat dari segi fizikal dan mental.
Kebersihan juga boleh membantu membentuk disiplin dan nilai moral seseorang individu.
Namun, menjaga kebersihan menjadi sukar jika perlu berkongsi ruang dengan rakan serumah yang kurang mengutamakan kebersihan.
Keadaan rumah yang tidak terurus dan bersepah akan menjejaskan keselesaan bersama. Situasi ini memerlukan cara yang bijak untuk membuat teguran. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil:
a)Berkomunikasi: Ajak rakan berbincang dan nyatakan perasaan anda tentang keadaan bilik. Mungkin rakan tidak sedar akan ketidakselesaan itu. Jika dia bersedia, anda boleh cari jalan penyelesaian bersama, seperti menetapkan peraturan untuk menjaga kebersihan bilik.
b)Kesediaan membantu: Mungkin rakan sebilik anda tidak tahu cara untuk membersihkan rumah. Tawarkan bantuan untuk mengemas baju rakan yang berselerak dan letakkan di atas katilnya. Elakkan daripada membuang baju-baju tersebut, agar tidak mencetuskan konflik.
c)Bincang dengan rakan serumah lain: Jika anda mempunyai rakan lain yang berkongsi bilik atau tinggal di sekitar, bincangkan masalah ini dengan mereka. Mungkin mereka juga merasakan perkara yang sama dan boleh mendapat idea untuk menegur individu itu.
d)Tetapkan peraturan: Sediakan peraturan bersama mengenai kebersihan bilik. Tulis dan tampalkan di tempat yang mudah dilihat sebagai panduan bersama. Contohnya, tutup lampu selepas digunakan dan lain-lain.
e)Beri amaran: Jika keadaan tidak berubah, beri amaran secara tegas namun tetaplah perlu bersikap sopan agar tidak menimbulkan konflik. Jika selepas amaran diberikan tiada perubahan, pertimbangkan untuk menguruskan situasi dengan cara yang lebih tegas.
f)Bincang dengan pemilik rumah: Sekiranya inisitif di atas kurang memberi kesan kepada rakan, adakan perbincangan dengan pemilik rumah. Mereka mungkin dapat membantu anda mencari penyelesaian.
g)Pertimbangkan untuk berpindah: Jika situasi itu tidak dapat diselesaikan dan memberi kesan kepada kehidupan seharian anda, pertimbangkan untuk berpindah ke rumah lain bagi menjaga kesejahteraan fizikal dan mental anda.
Semoga pendekatan ini dapat membantu anda untuk mengelakkan konflik sambil memupuk persekitaran hidup yang lebih bersih dan harmoni.










