TAHUKAH anda wujud sebuah kafe yang 100 peratus dimiliki, dikendalikan dan dikhususkan untuk wanita di Indonesia?
Morning Mama dikatakan satu-satunya kafe di tengah Banda Aceh, yang menyediakan alternatif daripada tempat tumpuan lelaki yang bising dan dipenuhi asap rokok.
Pemiliknya, Qurrata Ayuni membuka kafe tersebut tahun lalu dengan matlamat mencipta ruang yang selesa dan inklusif untuk golongan wanita.
“Saya terfikir, kenapa tidak membuka tempat yang selesa untuk wanita?” kata wanita berusia 28 tahun itu.
Walaupun wilayah Aceh sinonim sebagai lokasi tsunami paling dahsyat di dunia dan pemberontakan pemisah selama beberapa dekad, namum tarikan utama kepada pelancong selalunya adalah kopi.
Kopi sanger tradisional, yang dicampur dengan susu pekat manis, menjadi kegemaran ramai.
Hubungan Aceh dengan kopi bermula ratusan tahun lalu ketika era penjajahan Belanda.
Kini, para petani di wilayah itu menanam biji kopi terkenal di peringkat dunia di kawasan tanah tinggi yang subur.

MASA UNTUK PERUBAHAN
Aceh juga sering menjadi perhatian kerana nilai-nilai ultrakonservatifnya, termasuk undang-undang syariah yang mewajibkan wanita Islam memakai hijab.
Walaupun wanita tidak dilarang bekerja di satu-satunya wilayah di Indonesia yang majoritinya Muslim dan melaksanakan hukum syariah, menjalankan perniagaan kedai kopi sering dianggap sebagai pekerjaan lelaki.
Kerjaya bebas sering dianggap luar jangkauan bagi wanita muda di Aceh, tetapi Qurrata Ayuni tidak pernah gentar mengejar impiannya.
Beliau yang memiliki kafe tersebut tanpa rakan kongsi, melihat keperluan untuk ruang bagi wanita bekerja atau bertemu rakan.
“Tiada asap rokok, bebas bising dan sangat selesa,” katanya yang turut menerima beberapa pelanggan lelaki bagi menikmati kopi di Morning Mama.
Usahawan muda itu percaya wanita kini semakin berani melangkah ke depan buktinya lebih 1,000 permohonan diterima untuk jawatan barista di kafe tersebut.
“Saya ingin menawarkan mereka peluang untuk mengubah hidup,” katanya dengan penuh harapan.
TUTUP KESEDIHAN
Sebelum berada di tahap sekarang, Qurratu Ayuni mengakui kehidupannya diuji dengan bebanan trauma sebagai mangsa tsunami.
Pada usia lapan tahun, beliau kehilangan kedua ibu bapa dalam bencana besar itu yang meragut lebih 200,000 nyawa lain.
Kampungnya di Banda Aceh musnah sepenuhnya, tetapi beliau terselamat dan kemudian dibesarkan oleh ibu dan bapa saudara.
Justeru Qurratu Ayuni bertekad mahu membantu ramai wanita untuk menutup kesedihannya.
“Morming Mama menjadi platform untuk saya membantu orang lain mencari kekuatan diri,” katanya.
Namun, beliau menyedari masih ramai wanita di Aceh yang takut untuk melakukan perubahan kerana bimbang dikecam lelaki.
“Orang di sini percaya yang wanita perlu duduk di rumah. Namun, generasi yang lebih tua memahami zaman kini sudah berubah.
“Wanita pun mampu melakukan apa sahaja kerja termasuk menjadi pemimpin, pencipta dan inovator.
“Jadi, jangan hanya duduk diam dan takut untuk melangkah ke depan,” katanya.










