SEPANJANG membesar di Kuala Lumpur, saya tidak pernah berdepan dengan situasi banjir.
Ketika sebahagian Kampung Datuk Keramat terutama penempatan di sepanjang Sungai Klang sering dinaiki air tetapi saya bersyukur kerana rumah yang dihuni terkecuali daripada musibah itu.
Namun, pada 2014, ditakdirkan saya bertukar dari ibu pejabat Utusan Malaysia ke Biro Terengganu.
Buat pertama kalinya dalam hidup, saya dapat melihat dan mengharung air bah bagi liputan banjir musim tengkujuh.
Menaiki bot dalam keadaan air sangat deras dan tingginya hampir separuh tiang lampu, sambil diiringi cuaca muram dan hujan lebat yang bersilih ganti, ternyata menambahkan lagi kebimbangan di hati.
Dalam satu malam, banjir boleh merebak ke seluruh daerah dan jumlah mangsa naik melambung hingga puluhan ribu yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir (PPS).
Apabila keadaan makin memburuk, tentunya banyak kes-kes kecemasan berlaku termasuk terputus hubungan, terkandas, bot terbalik dan lemas yang menyumbang kepada korban banjir.
Bagaimanapun, setelah hampir sedekad bertugas di bumi Terengganu, saya boleh katakan yang kebanyakan penduduknya bersiap-sedia dari segi mental dan fizikal untuk mendepani banjir saban tahun.
Saya masih ingat cerita seorang rakan dari Besut yang keluarganya menyimpan stok makanan untuk sebulan dan memindahkan perabot ke loteng sebelum kedatangan musim tengkujuh lagi.
Suasana itu mungkin sama bagi penduduk di Kelantan dan Pahang yang turut terjejas bah.
Bagi orang-orang di luar Pantai Timur, jangan bimbang dan teruskan berdoa untuk saudara kita di sana, mudah-mudahan mereka dijauhi daripada bahaya dan mudarat berpanjangan.
Musim tengkujuh bukanlah pesta dan seluruh rakyat perlu sentiasa berwaspada dengan situasi semasa banjir di samping patuh kepada arahan pasukan penyelamat.
Paling penting, jaga keselamatan diri dan keluarga serta jangan degil apabila diarahkan berpindah.
Sebelum meninggalkan rumah untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS), pastikan suis utama ditutup dan bawa bersama dokumen penting serta ubat-ubatan.
Walaupun nampak mudah, tetapi benda-benda ini yang sering kali diabaikan.
Memandangkan kebanyakan pelajar berada dalam minggu peperiksaan kini, ibu bapa jangan lupa kemaskan sekali buku-buku untuk ulang kaji dan latihan di samping alat tulis anak-anak.










