Aura fesyen nenek glamor

Aura fesyen nenek glamor

PENGGUNAAN ‘prop’ juga memainkan peranan menghidupkan setiap foto penampilan Chola yang selalu mencerminkan keperibadian dan kisah hidupnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan memenuhi permintaan cucunya yang meminati fesyen, seorang nenek dari pedalaman Zambia kini melakar nama sebagai ikon fesyen dan mencipta fenomena di media sosial.

Margret Chola, dikenali dunia sebagai ‘Legendary Glamma’ dan dipuja oleh 225,000 pengikut di Instagram kerana gambar fesyen beliau yang elegan dan memukau.

“Saya rasa berbeza, seperti rasa baru dan ‘hidup’ dalam pakaian ini, dengan cara yang tidak pernah saya rasa sebelum ini.

“Saya rasa seolah-olah boleh menakluk dunia,” kata Chola kepada BBC.

Siri Granny, yang diterbitkan setiap dua minggu dicipta pada 2023 oleh cucunya, Diana Kaumba, seorang penggaya fesyen yang berpusat di New York City.

Idea itu tercetus ketika Kaumba melawat Zambia untuk memperingati ulang tahun kedua pemergian bapanya iaitu individu yang menginspirasikan minatnya terhadap fesyen kerana sentiasa berpakaian kemas.

Semasa lawatan tersebut, Kaumba menyedari banyak pakaian yang dipilih tidak sempat untuk dipakai, lalu terlintas di fikiran untuk bertanya kepada neneknya atau Mbuya dalam bahasa Bemba sama ada beliau berminat untuk mencuba.

“Tiada apa yang saya lakukan ketika itu. Saya hanya bersetuju jika itu yang kamu (cucu) mahu lakukan.

“Sekurang-kurangnya dengan cara ini kamu akan sentiasa mengingati saya dan akan merindui apabila saya tiada nanti,” kata Chola.

PAKAIAN ELEGAN PERTAMA

Pakaian pertama Chola sut seluar perak elegan yang dimuatnaik di media sosial buat pertama kali meraih perhatian netizen.

Selalunya wanita berusia pertengahan 80-an ini bergambar dalam gaya penuh glamor di luar rumah sama ada duduk di kerusi kayu atau bersantai di sofa kulit.

“Saya sangat gementar ketika memuat naik foto pertama itu. Saya tinggalkan telefon selama 10 minit dan dalam masa itu sudah ada 1,000 tanda suka.

“Fikiran saya sangat terpegun. Komen masuk bertalu-talu dan ramai yang meminta lebih banyak foto Mbuya,” katanya.

Pada April 2024, Siri Granny mencapai kemuncak populariti selepas Kaumba memuat naik beberapa gambar neneknya mengenakan gaun merah Adidas, rantai leher keemasan yang tebal dan mahkota permata.

“Saya terkejut mengetahui begitu ramai orang di seluruh dunia menyayangi saya.

“Saya tidak sangka pada usia sekarang masih boleh memberi impak sebesar ini,” kata Chola, yang tidak mengetahui umur sebenarnya kerana tiada sijil kelahiran.

Kaumba sentiasa memilih pakaian dengan gabungan warna terang dan tekstur unik untuk menyerlahkan gaya fesyen Chola.

Antara penampilan ‘berani’ termasuk jersi bola sepak Amerika berwarna hijau, dipadankan dengan gaun merah berlapis yang dijadikan sebagai skirt melambangkan kombinasi bendera Zambia bagi menghormati ulang tahun kemerdekaan ke-60.

Ada juga pakaian bertema glamor seperti baju berwarna biru, hitam dan hijau yang dihiasi labuci, lengkap dengan aksesori rantai ular emas dan padanan gelang.

GAYA KEGEMARAN
Namun, gaya kegemaran peribadi Chola ialah seluar jeans, kemeja-T grafik dengan wajah sendiri dicetak di bahagian depan serta rambut palsu perang.

“Saya tidak pernah memakai seluar jeans atau rambut palsu sebelum ini dan saya gembira dengan penampilan seperti itu,” katanya.

Kaumba yang menjadi penata gaya sejak 2012, memuji aura neneknya yang berani dan anggun serta mampu menghidupkan setiap penampilan yang digayakannya.

Kesemua gaya tersebut mencerminkan estetika ‘maximalist- chic’ iaitu meraikan kegembiraan melalui gabungan berlebihan, padanan eklektik, rekaan besar dan berani serta warna dan corak yang menyerlah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×