Seronoknya suap Baby, Lily makan

Seronoknya suap Baby, Lily makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BADAK air atau nama saintifiknya, hippopotamus amphibius merupakan mamalia darat ketiga terbesar selepas gajah dan badak sumbu. 

Haiwan agresif ini dikatakan membunuh sekurang-kurangnya 500 orang setahun di Afrika dengan menggunakan taringnya selain memijak mangsa.

Jumlah itu jauh lebih banyak berbanding kematian disebabkan oleh singa, harimau dan buaya. 

Justeru, tidak hairanlah apabila ia digelar haiwan paling berbahaya di dunia.

Penolong pegawai hidupan liar, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Muhammad Afnah Syauqi Alias berkata, haiwan semi akuatik itu menghabiskan 80 peratus masanya dalam air. 

Semua aktiviti termasuk tidur, mengawan dan beranak turut dilakukan di habitat berkenaan.

“Badak air hanya naik ke darat bila mahu mencari makan dan menanda kawasan,” katanya ketika ditemui di Paya Indah Discovery Wetlands (PIDW) baru-baru ini. 

Di dalam air, haiwan ini tidak berenang, sebaliknya bergerak dengan cara berjalan atau berlari di kawasan dasar. 

Menariknya, badak air mampu berada sehingga lima minit di dalam air.

Gaya tidurnya adalah dengan menenggelamkan seluruh badan dan naik secara automatik ke permukaan untuk bernafas tanpa bangun. 

 

40 KILOGRAM BUAH SEHARI 

Kunjungan ke PIDW membolehkan pengunjung melihat secara dekat tiga badak air termasuk menyuapnya makan buah-buahan. 

Baby, 11 tahun (jantan), Lily, 13 tahun (betina) dan Indah (betina), kesemuanya dilahirkan di sini

Induknya berasal dari Botswana, Afrika Selatan dan tiba ke negara ini pada 2001.

“Badak air mencapai usia matang ketika berumur lima tahun dengan tempoh bunting selama lapan bulan.

“Biasaannya, badak melahirkan seekor anak sahaja untuk setiap kandungan,” katanya.

Mengulas mengenai diet, ujarya, haiwan itu diberikan campuran buah-buahan seperti betik, pisang dan tembikai seberat antara 30 hingga 40 kilogram, sehari.

Selain itu, ia turut dibekalkan dengan makanan asas iaitu 80 kilogram rumput. 

KELUAR PELUH ‘BERDARAH’ 

Dalam keterujaan memberi haiwan itu makan, ada pengunjung yang terkejut dan panik apabila melihat badak air tiba-tiba ‘berdarah’.

Ia disebabkan cecair berwarna merah yang mengalir di beberapa bahagian kulitnya. Muhammad Afnah Syauqi berkata, pengunjung tidak perlu bimbang kerana ia bukan darah sebaliknya bahan kimia semula jadi yang dirembeskan oleh kelenjar peluh iaitu, asid hipposudorik dan asid norhipposurdic. 

Kata Muhammad Afnah, peluh ‘berdarah’ keluar jika badak berjemur terlalu lama.

Peluh itu berfungsi untuk melembabkan kulit di samping melindunginya daripada sinaran matahari.

Walaupun kulit badak air kelihatan tebal tetapi ia sangat sensitif, mudah terbakar atau kering di bawah terik mentari di habitat asal, Afrika. 

Kerana itulah, haiwan itu menghabiskan sebahagian besar aktivitinya di dalam sungai, tasik atau paya untuk kekal sejuk, basah dan melindungi kulit halus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×