KONSEP rumah ladang memang menjadi pilihan pencinta dekorasi ketika ini.
Konsep yang diilhamkan dari negara barat itu banyak mengetengahkan elemen semula jadi seperti kayu dan rona pastel pada keseluruhan
ruang.
Namun, kediaman yang Seri kongsikan minggu ini menampilkan sedikit kelainan dengan memberikan sentuhan gaya moden dan kontemporari pada konsep rumah ladangnya.
Pemiliknya yang hanya ingin dikenali sebagai Mommylovesdecoart berkata, gabungan itu memberikan suasana yang tidak terlalu rustik seperti penataan rumah ladang yang biasa.
“Saya suka rumah ladang yang telah dimodenkan.
“Tidak terlalu rustik, rekaan yang lebih baharu dan juga nampak kemas. Sentuhan kontemporari juga memberikan penataan yang lebih halus dan terperinci,” katanya.

rumah ladang yang lebih moden kontemporari.
Bagi melengkapkan gaya itu, keseluruhan ruang banyak menggunakan rona pastel yang lebih moden seperti sage green yang dipadankan dengan warna krim dan putih.

Penggunaan kayu oak pada sesetengah ruang masih digunakan bagi menghidupkan gaya rumah ladang walaupun diberi sentuhan moden daripada segi penggunaan warna dan penataan perabot.
Malah, elemen rumah ladang klasik seperti dinding baten, shiplap dan lantai herringbone masih dikekalkan pada beberapa bahagian seperti dapur dan ruang tamu.
Kombinasi seimbang antara gaya klasik dan moden kontemporari menjadikan keseluruhan ruang kediaman ini tampil eksklusif dan tenang.
Pemilihan warna-warna lembut dan pastel pada bahagian dinding dan perabot juga berjaya membangkitkan ruang yang tampak sejuk dan selesa untuk kediaman jenis teres hibrid ini.









