BAGI kebanyakan warga emas yang sudah mencecah usia 80- an, tempoh tersebut lazimnya dianggap sebagai masa untuk berehat dan menikmati hobi yang lebih santai.
Untuk mereka yang masih sihat dan bertenaga, fasa ini kebiasaannya dihabiskan dengan berkebun, melancong atau meluangkan masa bersama cucu.
Berbeza dengan kebanyakan orang seusianya, Choi Soon-hwa,81, berusaha untuk keluar daripada kepompong selesa itu dan mencari peluang bagi mengejar impiannya sendiri.
Choi berani melangkah ke pentas bersama wanita yang sebaya cucunya untuk menyertai Miss Universe Korea Selatan, dengan harapan dapat melangkah ke peringkat akhir di Mexico pada hujung tahun ini.
“Selepas membesarkan anak-anak dan melalui pelbagai kesusahan, kini saatnya untuk mencari apa yang kamu mahu lakukan.
“Sebaik sahaja menemukannya, ia akan menjadi tenaga yang mendorong kamu dan membawa pandangan positif serta hubungan lebih sihat dengan orang lain,” kata bekas pekerja hospital itu kepada BBC.
Choi berkata, impian yang ingin dicapainya selama ini adalah menceburi ke dalam dunia peragaan, sejak seorang pesakit mencadangkan beliau mencuba nasib pada usia 72 tahun.
Dorongan tersebut memberikan keyakinan kepadanya untuk mengambil langkah berani setelah beberapa tahun bergelut dengan masalah kewangan yang hampir menyebabkan beliau dan keluarga berada di ambang kejatuhan.
MISS UNIVERSE
Sejak itu, Choi menjadi wajah yang dikenali di Korea Selatan, termasuk berjalan di pentas peragaan pada minggu fesyen.
Tetapi untuk mengembangkan kerjaya di luar negara terbukti sukar.
Apabila pertandingan ratu cantik terkenal, Miss Universe memutuskan untuk menghapuskan peraturan yang melarang penyertaan bagi mereka berumur lebih 28 tahun pada awal 2024, Choi kemudiannya memutuskan untuk mengambil bahagian.
Penyertaan wanita ini menjadikannya peserta ratu cantik tertua yang pernah bertanding dalam Miss Universe setakat ini.
“Ia adalah sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan. Selama beberapa tahun, saya berharap untuk melangkah ke pentas antarabangsa sebagai model.
“Namun, tiada laluan atau panduan yang jelas untuk saya, tetapi memandangkan pertandingan Miss Universe tidak mempunyai sekatan umur, saya mengambil bahagian dengan matlamat dapat mengembangkan kerjaya di pentas global,” katanya.
Penghapusan sekatan umur ini berlaku ketika pertandingan Miss Universe beralih ke arah yang lebih pelbagai, dengan membenarkan wanita berkahwin, transgender dan ibu tunggal untuk mengambil bahagian.
Namun, penyertaan Choi tetap mencetuskan kejutan, terutama dalam kalangan pesaingnya.
“Peserta-peserta terkejut melihat saya dan bila mereka mengetahui saya berumur 80 tahun, mereka menyatakan kekaguman dan mahu tua seperti saya,” katanya.
CABAR NORMA KECANTIKAN
Choi gagal mendapat tiket ke Mexico, apabila mahkota Miss Universe Korea Selatan diserahkan kepada Han Ariel, 22.
Meskipun tidak dimahkotakan gelaran itu, Choi tidak hanya pulang dengan tangan kosong kerana beliau berjaya meraih gelaran ‘Pakaian Terbaik’.
Bahkan, wanita ini menjadi perhatian antarabangsa seperti mana yang diharapkannya ketika menyertai pertandingan berkenaan dan kini nama Choi menjadi tajuk utama di seluruh dunia.
Choi berharap, beliau wanita pertama dalam usianya yang berani bersaing untuk merebut mahkota ratu cantik dan mencabar norma kecantikan.
“Keberanian mengambil bahagian adalah pengalaman yang menakjubkan dan saya rasa dihormati.
“Memandangkan ini masih baru, pastinya ada banyak perhatian, tetapi apabila lebih ramai warga emas mengambil bahagian, pandangan ini akan berubah dan akan tiba masanya golongan seperti kami boleh bersaing dalam pertandingan dunia.
“Tetapi, biarlah masa ini diberikan untuk golongan muda mengambil pentas,” katanya.
Choi menghargai pengalaman tersebut, bahkan percaya keluarga khususnya cucu beliau berbangga dengan pencapaiannya itu.
Apa yang lebih penting baginya ialah memiliki peminat terbesar iaitu cucu-cucunya yang berusia 23 dan 24 tahun, yang sentiasa menyokong dan memuji nenek mereka hebat dan cantik. – AGENSI










