Dr. Soo Wincci buru lapan PhD

Dr. Soo Wincci buru lapan PhD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERGELAK besar figura,ini saat saya ajukan soalan sama ada beliau masih belum berpunya kerana lelaki takut untuk mendekatinya.

Manakan tidak, bekas ratu cantik ini bukan sahaja jelita tetapi berpelajaran tinggi.

Prof. Madya Dr. Soo Wincci, 39, yang baru-baru ini terpilih sebagai Top 100 wanita tercantik di dunia oleh Hollywood Independence Critica, turut menggenggam tiga Ijazah Sarjana dan dua pengajian Doktor Falsafah (PhD).

Pencapaian itu melayakkan anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini memecahkan rekod menjadi Miss World Malaysia pertama dilantik sebagai Profesor Madya dalam bidang muzik.

Pelantikannya itu turut melakar sejarah apabila mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Record (MBOR) dua tahun lalu.

Lantaran kehebatan itu, tidak hairanlah jika beliau menetapkan standard tinggi untuk mencari peneman hidup sehingga membuatkan jejaka gentar untuk mendekatinya.

“Memang lelaki takut untuk mendekati saya. Saya rasa semua takut untuk dekat tapi biarlah mereka takut daripada saya tersilap buat pilihan.

“Saya sudah lama berpendirian untuk tidak berkahwin. Sebenarnya, suatu ketika dahulu saya pernah merendahkan diri saya untuk seorang lelaki dan saya tidak bahagia,” katanya membuka bicara.

Bukan menentang tradisi perkahwinan, namun baginya, pengalaman orang sekeliling membuatkan beliau mahu melupakan mengenai perkahwinan sekaligus memutuskan untuk fokus kepada kerjaya.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang berkelulusan undang-undang dari Universiti Reading (UK) membolehkan beliau membantu menguruskan kes cerai kenalannya secara di belakang tadbir.

Pengalaman itulah yang menghantui dirinya untuk tidak menamatkan zaman bujang.

Baginya, biarlah tiada peneman hidup daripada hidup terseksa kerananya.

“Bukan saya kata tidak boleh kahwin, tetapi wanita perlu ada kerjaya sendiri supaya boleh berdikari. Sudah kahwin pun jangan berhenti bekerja supaya jika apa-apa terjadi masih mampu harungi,” kongsinya.

Keputusannya untuk memadamkan perkahwinan dalam kamus kehidupannya bukanlah disebabkan itu sahaja.

Sebaliknya, kisah cintanya juga pernah terputus di tengah jalan apabila keluarga teman lelaki seakan mempersoalkan bilakah beliau mahu menghentikan kerjayanya.

Baginya, itu adalah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan kerana beliau percaya setiap orang ada potensi diri yang boleh dimanfaatkan.

Akhirnya, beliau faham bahawa untuk menggapai sesuatu, ada sesuatu yang lain perlu dikorbankan.

Maka, yang perlu dikorbankan sudah tentulah perkahwinan.

MAHU TERBANG TINGGI

Mahu terbang lebih tinggi, lebih jauh, itulah impian hidupnya.

Tidak kira dalam bidang seni mahupun pendidikan, pemegang rekod Ratu Cantik Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak dan Artis Rakaman Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak ini mahu menjadi inspirasi kepada wanita.

Melalui ilmu dan keazaman yang tinggi, beliau yakin segalanya tidak mustahil.

Baginya, wanita ada potensi yang boleh dikembangkan, sama seperti kaum lelaki.

Kata kuncinya adalah mempelbagaikan potensi diri untuk tampilkan kelainan dan serlahkan kemahiran yang ada.

“Pada zaman arus kemodenan yang semakin deras kini, gaya hidup dan pemikiran juga harus berubah untuk kekal bersaing.

“Saya sentiasa tanamkan dalam diri yang saya mahu mempelbagaikan kemahiran yang ada. Di zaman yang mencabar ini, kita tidak boleh bergantung pada satu cabang sahaja.

“Jangan berhenti capai setiap peluang yang ada di depan mata.

“Sejujurnya, saya boleh ke tahap ini kerana saya tiada suami atau anak untuk diuruskan tetapi saya yakin wanita lain juga boleh kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan,” ujarnya.

BURU LAPAN PHD

Wincci yang kini turut bergelar pensyarah di Fakulti Kreatif, University Multimedia Malaysia (MMU) berkata, di sebalik jadualnya yang padat sebagai tenaga pengajar, beliau masih aktif di pentas seni tempatan.

Namun jelitawan ini tidak akan sekali-kali berhenti menyeberangi lautan ilmu yang begitu luas.

GAMBAR bersama keluarga semasa majlis graduasinya.

Baginya ilmu tiada sempadan, makin digali makin dalam lubang itu.

“Saya rasa sia-sia kalau usia yang ada tidak dipenuhi dengan keindahan ilmu yang pelbagai di dunia ini.

“Saya idamkan lapan PhD kerana saya mahu mencabar diri saya. Saya tidak boleh berhenti belajar kerana tidak mahu menjadi malas.

“Selepas ini mungkin saya akan teruskan PhD dalam bidang undang-undang pula,” katanya yang baru selesai melengkapkan pengajian PhD keduanya dalam bidang artistik di University of Polytechnic di Valencia, Sepanyol.

Dua sudah dalam genggaman, tinggal enam lagi menjadi buruan.

Hairan juga bagaimana wanita ini teguh menongkah arus kepayahan demi mendapatkan segulung PhD sementelah tahap
pendidikan itu bukanlah mudah.

PhD juga terkenal dengan jolokan permanent head damage dek kerana proses pembelajarannya yang memerlukan kebijaksanaan yang tinggi.
Mengakui segala yang diperkatakan itu benar, katanya yang juga pemegang PhD dalam bidang perniagaan ini, ia sememangnya laluan yang berliku dan penuh cabaran.

Malah, dia juga tidak terkecuali merasa putus asa di pertengahan jalan, namun cuba melawan rasa itu sebaik yang mungkin.

“Memang kena korbankan masa untuk buat penyelidikan dan lengkapkan setiap silibus pengajian tetapi mahu tidak mahu ke juga kuatkan hati untuk selesaikan.

“Ingatlah mencari ilmu ini adalah sebuah marathon, bukan larian pecut. Tiada jalan singkat untuk menimba ilmu,” katanya.

Namun, dalam kesibukannya, anak sulung daripada tiga beradik ini tetap mencuri masa untuk bersama dengan keluarga tersayang.

“Kalau ada masa terluang, saya lebih suka duduk di rumah bersama keluarga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN