PERNAH dengar mengenai nasihat pakar kewangan pengguna untuk membeli-belah dalam keadaan tenang dan tidak tergesa-gesa?
Atau anda sengaja memilih membeli-belah pada saat terdesak, supaya prosesnya menjadi cepat.
Apa yang ada di depan mata, capai sahaja tanpa banyak berfikir.
Dalam situasi hari ini dengan harga barangan pengguna meningkat naik, kita tidak lagi ada pilihan selain daripada perlu merajinkan diri menyemak harga.
Kalau beli dalam keadaan tergopoh-gapah dan mahu cepat balik, ada kemungkinan tidak sempat membuat perbandingan harga hingga terbelilah barangan pada harga mahal.
Contohnya produk kicap. Kadang ada 10 jenama. Begitu juga sos cili yang ada aneka pilihan.
Rambang mata memilih yang mana satu mesra dengan poket dan mana satu yang menawarkan promosi berpatutan?
Tidak guna bila sampai di kaunter bayaran baru nak menyesal.
Sudahlah beratur panjang, tak kan sampai di kaunter tiba-tiba mahu batalkan pembelian pula.
Buat malu sahaja. Hari ini juga kita perhatikan banyak promosi yang mengelirukan dan menjerat pengguna.
Lebih-lebih lagi bila banyak barangan yang boleh kita beli secara dalam talian. Persaingan menjadi semakin sengit. Contohnya, beli satu percuma satu.
Sedangkan kalau mahu barangan percuma itu, kita kena belanja melebihi RM100 barulah dapat barang percuma.
Itu belum lagi di bahagian kaunter bayaran, juruwang adalah pelatih yang belum begitu arif untuk menekan papan pengira.
Silap-silap mereka tak key in pun harga promosi. Kalau pengguna tidak cakna, memang tertipu hidup-hidup.
Berhati-hatilah sebab peniaga dan pembekal pun sudah licik dan ada banyak taktik peniaga gunakan untuk mengaut untung lebih.
Banyak pendedahan di akhbar bagaimana taktik digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan.
Namun kita sebagai pengguna kita tak tahu berapa banyak kesnya, sebab sehingga ke hari ini, tidak ada kilang dan pasaraya yang tutup, dikompaun atau dikenakan sebarangan tindakan atas kesalahan penipuan harga.
Adakah perbuatan itu tidak dianggap kesalahan yang besar?
Kalau salah dan dikenakan hukuman, patutnya dihebahkanlah juga kepada media supaya kedai lain pun beringat, sebagai suatu pengajaran.
Dalam pada kita beringat untuk mengelak diri daripada ditipu, kita harus belajar mengawal diri daripada terjebak dengan tawaran harga menarik sempena hari istimewa.
Tidak kiralah secara dalam talian atau di kedai fizikal sebab tidak murah mana pun.
Bila selalu keluar depan mata di media sosial, secara psikologi pasti terjebak untuk membeli.
Cara paling senang jangan banyak sangat layan jualan promosi.
Sekali kita klik, akan ada berpuluh-puluh lagi iklan sama lalu di wall kita, semata-mata mahu menggoda kita untuk membuat pembelian.
-Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia










