SOALAN
Saya bujang berusia 40 tahun. Saya mahu mencari jodoh di media sosial tetapi malu. Bagaimana mengatasi rasa malu yang keterlaluan?
Yang Mencari
JAWAPAN
Mencari jodoh di media sosial bagaikan fenomena yang kian popular dalam kalangan masyarakat kini.
Banyak platform digital menawarkan peluang mencari jodoh mengikut kriteria diperlukan.
Walaubagimanapun, harus diingatkan bahawa setiap tingkahlaku ada risiko tersendiri. Oleh itu, penting bagi individu yang ingin mencari jodoh untuk sentiasa berwaspada kerana mencari pasangan hidup tidak semudah membeli baju di kedai.
Ia memerlukan pendekatan berhemah terutamanya bagi individu pemalu dan pendiam seperti saudara.
Ada beberapa cara sebagai panduan untuk saudara mengurangkan perasaan malu sekaligus dapat mencari jodoh:
Kenali diri – Sebelum mengenali seseorang, kenali diri sendiri dahulu. Cuba fahami dan kenal pasti sikap anda miliki untuk memudahkan proses mencari pasangan yang sesuai.
Terima diri seadanya – Malu perasaan semula jadi terutamanya ketika menghadapi situasi baru. Akui perasaan itu dan fahami bahawa setiap orang pernah mengalami pengalaman yang sama. Lakukan tindakan kecil untuk mendapat perubahan besar dalam hidup.
Niat yang jelas – Ingatkan diri akan tujuan utama mencari pasangan hidup. Dengan menetapkan niat dan target yang jelas, sedikit sebanyak dapat membantu anda mengurangkan tekanan untuk bersosial.
Pilih aplikasi bersesuaian – Ada beberapa dating apps yang boleh dimuat turun secara percuma seperti Tinder, Omi Chat dan TikTok. Setiap aplikasi menawarkan kaedah penggunaan berbeza. Pilih aplikasi terbaik yang bersesuaian dan menepati objektif anda.
Latih diri berkomunikasi – Latih diri untuk membiasakan diri berkomunikasi dengan kenalan baharu. Kongsi pengalaman yang sama dapat meningkatkan keyakinan diri. Setelah itu, perlahan-lahan kembangkan kepada interaksi ke arah yang lebih personal.
Fokus kepada kelebihan diri – Senaraikan kekuatan dan nilai yang ada pada diri yang boleh menarik kenalan anda. Secara tidak langsung, ia dapat mengurangkan rasa malu untuk berkongsi cerita dengan kenalan baru.
Berfikiran positif – Elakkan daripada memikirkan pandangan orang terhadap diri anda. Fokus pada perkara dalam kawalan anda sahaja. Jika berjaya itulah peluang yang datang dan jika gagal, mungkin anda boleh mempelajari sesuatu yang baharu daripada perkenalan itu.
Berdoa dan berserah kepada takdir – Sentiasa ingat bahawa jodoh itu ketentuan Allah. Berdoa agar diberi petunjuk dan kekuatan untuk melangkah keluar dari zon selesa anda.
Mengambil langkah pertama mungkin sukar, tetapi dengan usaha yang berterusan, perasaan malu itu akan beransur hilang.










