SOALAN
Anak saya berusia 16 tahun dan tinggal di asrama. Warden memaklumkan anak sering termenung dan selalu hilang fokus dalam kelas. Bila balik rumah, dia kuat melawan dan lambat bertindak sehingga saya dan suami hilang sabar. Anak saya depression kah? Bagaimana cara untuk membantunya?
-Ibu prihatin
JAWAPAN
Kemurungan adalah gangguan perasaan yang menyebabkan seseorang sedih berpanjangan, letih, cepat marah serta hilang minat dengan aktiviti harian. Ia berlarutan sekurang-kurangnya dua minggu. Untuk mengenal pasti samada anak mengalami depression atau tidak, puan boleh ikuti beberapa langkah ini:
Kenali tanda-tanda dan gejala kemurungan:
-Kesedihan berpanjangan
-Hilang minat terhadap hobi
-Perubahan waktu tidur (Insomnia)
-Rasa tidak tenteram
-Kurang daya tumpuan
-Sukar membuat keputusan
-Pergerakan menjadi terhad
a)Sokongan keluarga – Cipta suasana dan persekitaran rumah yang tenang dan saling memberi sokongan. Jadi pendengar yang baik tanpa memberikan penilaian atau kritikan. Berikan ruang untuk anak berkongsi apa yang dirasainya.
b)Membuat temujanji dengan Profesional – Pertimbangkan untuk membuat janji temu dengan kaunselor atau psikiatri. Mereka boleh membantu menilai dan mendiagnosis mengikut situasi yang dialami oleh anak anda.
c)Melibatkan pihak sekolah atau asrama – Suarakan kebimbangan yang dirasai dengan warden asrama dan pihak sekolah untuk mengenal pasti perubahan sikap atau masalah yang terjadi di lingkungan tersebut. Mereka juga boleh membantu memberi sokongan dan bantuan mengikut kesesuaian.
d)Mengamalkan gaya hidup sihat – Ajak anak untuk sentiasa melakukan aktiviti bersukan, menjaga pemakanan dan mendapatkan tidur yang cukup. Ia dapat membantu memulihkan emosi dan menjadikannya lebih produktif.
e)Elak memberi tekanan – Pastikan anak anda tidak terbeban dengan sesi pembelajaran atau pengharapan yang terlalu tinggi daripada ibu bapa. Bantu mereka untuk menetapkan tujuan yang jelas dan memberi sokongan untuk mencapainya.
f)Menjadi contoh yang baik – Tunjukkan sikap yang positif dan tenang dalam menghadapi masalah. Anak akan lebih cenderung mengikuti jejak yang mereka lihat.
g)Memantau situasi – Perhatikan perkembangan keadaan anak dan tetap berkomunikasi secara terbuka dengan mereka. Jika gejala semakin parah, segera minta bantuan lebih lanjut daripada profesional kesihatan mental.
Ingatlah kemurungan adalah kesihatan mental yang boleh dirawat. Beri sokongan yang padu, mudahan-mudahan anak anda dapat pulih dan kembali menjalani kehidupan dengan sihat dan bahagia.










