Rasa puas dapat bantu orang- Datin Wira Goh Suet Lan

Rasa puas dapat bantu orang- Datin Wira Goh Suet Lan

bantu
Datin Wira Goh Suet Lan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ibu bapa acuan mencorak budi pekerti si anak. Sikap ayah, Dr. Goh, yang pemurah dan rajin bantu orang menyerap ke dalam sanubari Datin Wira Goh Suet Lan untuk sentiasa membantu insan memerlukan.

Habis sekolah dia duduk di klinik ayah di Sungai Wang Plaza bagi melihat ayahnya bekerja.

“Ayah tidak berkira beri ubat kepada pesakit terutama warga emas kerana ada ubat yang mahal. Dalam suatu insiden, ayah sanggup tutup klinik sebab hendak menghantar pulang pesakit yang juga warga emas kerana ketika itu hujan lebat dan pesakit itu berjalan kaki ke klinik,” katanya kepada Seri.

Semua diperhatikan Suet Lan, menggalakkan anak jati Kuala Lumpur itu terus giat menyertai pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) membantu wanita daripada pelbagai aspek terutama ekonomi.

Ujarnya, ibu bapanya sangat terbuka dan memberikan galakan untuk anak-anak mencari haluan masing-masing, namun paling penting, kerja dijalankan, perlu dilakukan dengan sempurna.

“Cara mereka membesarkan kami, secara tidak langsung membantu saya membesarkan anak-anak. Daripada situ juga saya lihat betapa penting membuat kebaikan. Saya turut ajar anak saya buat kerja untuk komuniti. Mereka perlu memberi semula apabila mampu. Kalau tidak kita lakukan, dunia tidak berubah,” katanya.

Bakar semangat
Suet Lan melakukan kerja sukarela sejak remaja malah turut melakukannya sewaktu belajar di Kanada.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini turut mengasaskan Women of Will (WoW) pada 2016 bertujuan meningkatkan ekonomi wanita di negara ini.

“Kami memperkasakan wanita berpendapatan rendah yang kebanyakannya adalah ibu tunggal dan ibu tinggal. Bila mereka boleh berdikari, mereka tidak perlu hanya berharap bantuan atau derma lagi,” katanya.

(KIRI) Datin Wira Goh Suet Lan bersama Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki dan Ketua Pegawai Eksekutif My SDG, Anita Ahmad pada pelancaran buku Women Of Will di Lembah Subang, baru-baru ini.

Ujarnya, tiada yang lebih manis selain melihat kejayaan demi kejayaan lebih 2,000 wanita yang dibantu sejak tertubuhnya WoW.

“Kisah kejayaan wanita ini membakar semangat saya untuk memastikan diri terus aktif membantu golongan memerlukan meningkatkan taraf hidup.

“Ada wanita yang dulunya berniaga bunga dari rumah, sekarang sudah ada dua kedai sendiri. Seorang lagi wanita juga baru beli kereta baharu Proton hasil menjual air balang.

“Ada wanita yang sudah meningkatkan ekonomi mereka dari taraf B40 ke M40. Ada yang sudah mulakan NGO mereka sendiri, untuk membantu komuniti mereka,” katanya.

Selain Kuala Lumpur dan Selangor, WoW turut berkembang ke Sabah, Kedah dan Kelantan.

“Projek pembangunan wanita kami ada tiga fasa. Pertama, mengajar wanita menjadi usahawan yang antara lain menyentuh mengenai aspek bagaimana menjadi usahawan berjaya, meraih keuntungan, pembungkusan dan imej diri.

“Ada juga latihan kemahiran secara teori dan praktikal. Kalau seseorang itu suka membuat kek, kami buka kelas membuat kek. Jurulatih perniagaan turut disediakan bagi memantau mereka selama enam bulan,” katanya.

Tegasnya jurulatih perniagaan berperanan memberikan sokongan dan motivasi kepada wanita selain merancang sasaran jangka pendek dan panjang ahli.

Menerusi pengalaman WoW, enam bulan pertama menentukan berjaya atau gagal, justeru sokongan jurulatih perniagaan sangat mustahak.

Fasa kedua pula membabitkan perlantikan wanita yang ingin dan berkeupayaan menjadi ketua wanita, di bawah program kepimpinan wanita.

Mereka diajar cara menganjurkan projek, menjadi role model, cara menulis proposal dan menganjurkan aktiviti.

“Bila WoW keluar dari satu komuniti, mereka ada kemahiran meneruskan kerja tanpa kami. Mereka akan tahu berbual dengan pengasas lain, membantu NGO lain dan tahu membantu komuniti mereka sendiri,” katanya.

Ujar Suet Lan, fasa ketiga membabitkan pembangunkan komuniti dengan menjalankan perniagaan komuniti.

Sebagai contoh di Lembah Subang ada Pusat Menjahit Komuniti yang diketuai oleh peserta dikenali Misha.

Di situ, ada Pusat Perniagaan Komuniti ditubuhkan WoW yang dilengkapi kemudahan mesin fotokopi dan laptop untuk menjalankan latihan di sana.

Kini ia diserahkan kembali kepada komuniti untuk mereka menguruskan sendiri dan menjalankan perniagaan.

“Ia benar-benar berjaya memperkasakan mereka.Walaupun sudah membantu ribuan wanita, apa yang lebih penting bagi saya, bukan kuantiti tapi kualiti dihasilkan.

“Kami meraih dana daripada menulis proposal kepada rakan dan pelabur kami. Keuntungan dipulangkan semula kepada komuniti bagi memastikan sekurang-kurangnya mereka ada kapital dalam meneruskan projek.

“Baru-baru ini WoW meraikan transformasi dicapai. Kalau dulu banyak cabaran perlu ditempuh seperti ada yang tidak mahu bekerjasama tapi sekarang semuanya berbeza. Bila ada program semua hendak datang menyertai program anjuran WoW,” katanya yang gembira apabila melihat pelaburannya bertukar kepada transformasi positif dan bertuah kerana mendapat sokongan daripada Yayasan Hasanah.

Halangan wanita maju
Modal dan ilmu menjadi cabaran utama wanita untuk maju dalam perniagaan.

Kata Suet Lan, sebagai contoh, kalau menjalankan perniagaan, ada wanita tiada akaun khas untuk perniagaan berkenaan sebaliknya ada satu akaun saja untuk rumah dan perniagaan, malah gaji mereka sendiri pun tidak dikira.

Dalam erti kata lain, biarpun ada idea untuk berniaga tetapi ilmu, formula dan bimbingan tiada, maka agak sukar untuk sesuatu perniagaan itu berkembang.

“Hasil program memperkasakan wanita ramai yang sudah mampu meningkatkan taraf sosial peserta.

“Lebih membanggakan, jika dalam tempoh pandemik, kira-kira 500,000 yang turun dari M40 kepada B40, tetapi wanita WoW berjaya naik ke taraf M40.

“Program kami jalankan, tidak besar tapi kami masuk ke komuniti dan memahami isu yang mereka ada, cara mereka mahu mengatasi isu-isu berkenaan. Kami mendengar dan membantu mereka.

“Kami faham setiap orang adalah berbeza dan mempunyai penyelesaian sendiri. Tugas kami menyokong apa saja pilihan mereka. Ini kerana saya faham, ia berkaitan pilihan kita sendiri dalam hidup,” katanya.

Tempat untuk berbincang bila ada masalah kerana PPR sempitsempit. Jadi dengan adanya pusat menjahit komuniti ini, mereka boleh berkumpul dan berbincang mengenai isu-isu yang timbul.

Tidak jemu meraih ilmu
Berpegang kepada prinsip mesti selalu mempertingkatkan diri dengan ilmu, Suet Lan tidak pernah jemu mengikuti kursus bersesuaian dengan pembabitannya dalam NGO.

“Biarpun usia semakin matang, ia bukan penghalang untuk meraih ilmu baharu. Terbaharu, saya buat kursus kepimpinan dengan Universiti Oxford secara atas talian. Kursus pendek ini adalah untuk pembangunan diri.

“Pada masa ini, saya cuba buat Sarjana untuk program positif psikologi dengan The University of Pennsylvania (UPenn). Ia adalah subjek yang sangat menarik bagi saya,” katanya.

Ujarny setiap ilmu tidak habis dipelajari kerana dunia kini cepat bertukar. Kita perlu mengikut perkembangan semasa terutama apabila ada ilmu, baru boleh memberikan nasihat kepada orang lain dan mampu berfikir daripada pelbagai aspek.

Suet Lan juga sangat bertuah kerana suaminya juga tidak jemu memberikan sokongan dan galakkan untuknya menimba ilmu baharu.

Mahu anak berjasa
Legasi dalam kerja amal dijalankan diharapkan dapat diteruskan oleh dua anak lelakinya.

“Saya sering mengingatkan anak-anaknya untuk berbakti dan memberi semula kepada masyakarat.

“Bila dewasa, gaya hidup anak mesti menjadi sebahagian daripada komuniti. Buat apa yang boleh sebab mereka sebahagian daripada komuniti. Mereka kena bina komuniti itu juga.

“Saya buat kerja kebajikan pun sebab hendak ajar dan beri contoh. Mereka juga banyak kali mengikut saya ke program komuniti, termasuk pernah menjalankan program mengumpul dana untuk membantu seorang ibu tiga anak yang menghidap kanser,” katanya.

Suka lasak, alam
Sibuk dengan aktiviti harian, Suet Lan tidak lupa memanjakan diri dengan aktiviti luar sebagai terapi minda untuknya.

“Saya suka alam semulajadi, hiking, sukan air dan sekarang masih pergi ke gimnasium untuk boxing. Baru-baru ini saya baru balik dari Nepal untuk aktiviti hiking di Annapurna Base Camp (ABC) yang sangat cantik.

“Saya tengok gunung, sungai dan penduduk di situ. Alam semulajadi adalah terapi terbaik. Berada di luar sana membuatkan kita berasa segar,” katanya yang kini turut mempelajari teknik bermain tenis kerana mahu bermain tenis dengan anaknya yang sudah mahir dengan sukan berkenaan.

Mengakui tidak begitu mahir memasak tetapi Suet Lan lebih gemar membuat kek seperti ibunya yang suka membuat kek.

“Masa kecil, semua kek harijadi kami adik-beradik dibuat sendiri oleh mak. Semua kek yang mak buat cantik-cantik. Sekarang mak sudah berusia 83 tahun. Bapa pula 88 tahun. Bapa kalau boleh masih hendak bekerja tapi masa Covid-19 kami nasihatkan dia berhenti sebab sudah tua dan berisiko tinggi,” katanya.

Mahu bantu warga emas
Selain melihat WoW berkembang supaya lebih ramai wanita dapat dibantu, Suet Lan turut mahu memperkasa warga emas dalam menjalani hari-hari tua mereka dengan lebih gembira.

“Saya mahu buka pusat aktiviti untuk warga emas, supaya mereka boleh bersosial dan melakukan pelbagai aktiviti.

“Kalau boleh hendak bantu orang tua daripada segi fizikal, mental dan emosi sebab ramai orang fikir bila sudah berusia, ia tidak menggembirakan. Bagi mereka bukan sesuatu yang ingin dilalui,” katanya.

Justeru, Suet Lan berharap untuk mengubah tanggapan ini dan membantu mereka menikmati kehidupan hari tua dengan lebih bermakna menerusi aktiviti yang dijalankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN