Claudia Sheinbaum, Presiden wanita pertama pilihan Mexico

Claudia Sheinbaum, Presiden wanita pertama pilihan Mexico

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS lebih 200 tahun kemerdekaan Mexico, negara itu akhirnya melakar sejarah baharu dalam sistem pemerintahan apabila Claudia Sheinbaum dipilih sebagai Presiden wanita pertama. 

Lebih popular dengan gelaran la Doctora, wanita berusia 61 tahun ini meraih kira-kira 60 peratus undi sokongan, sekali gus diisytiharkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden pada 2 Jun lalu. 

Beliau terkenal dengan latar belakang akademik, memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan tenaga di Universiti Autonomi Kebangsaan Mexico (UNAM). 

Sheinbaum pernah bergelar ahli perniagaan dan saintis alam sekitar yang lantang bersuara mengenai isu perubahan iklim. 

Beliau pernah menulis lebih 100 artikel dan dua buku mengenai alam sekitar, tenaga dan pembangunan mampan, selain menjadi sebahagian Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memenangi Hadiah Nobel Keamanan.

AKTIF POLITIK 

Sheinbaum aktif dengan politik sekitar tahun 1980-an dan 1990 an. Walaupun beliau membantu menubuhkan Parti Demokratik Revolusioner yang dipimpin oleh pelajar pada tahun 1998, Sheinbaum tidak memegang sebarang jawatan sehingga permulaan abad ke-21. 

Pada tahun 2000, beliau dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar Mexico City oleh bekas Datuk Bandar yang juga sekutu rapatnya, Andrés Manuel López Obrador. 

Beliau berperanan memantau pengenalan sistem bas bandar Mexico City, Metrobus dan pembinaan tingkat kedua bagi Periferico, jalan cincin yang mengelilingi zon bandar Mexico City. 

Pada 2015, Sheinbaum dipilih sebagai Datuk Bandar daerah Tlalpan di Mexico City. 

Pengaruh Sheinbum terus meningkat, walaupun pernah dikritik kerana isu kemalangan pada infrastruktur seliaannya, termasuk beberapa kematian yang berlaku semasa gempa bumi kuat berukuran 7.1 skala Richter melanda Tlalpan pada 2017. 

CLAUDIA Sheinbaum sempat berswafoto dengan penyokongnya semasa perhimpunan di Guadalajara, Mexico. – AGENSI

Kerjaya politik berkembang pada 2018, apabila dilantik sebagai Datuk Bandar wanita pertama Mexico City.

Jawatan itu dipegang hingga 2023 sebelum berundur untuk bertanding jawatan Presiden. 

PARTI MORENA 

Sheinbaum terkenal dengan pendirian sayap kiri mengenai alam sekitar dan isu sosial, termasuk sebagai penyokong komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Mexico. 

Bagaimanapun, pandangannya mengenai isu dasar luar negara agak tidak jelas, menonjolkan ketidakpastian pada pandangan sesetengah pihak. 

Namun, ada yang menjangkakan Sheinbaum akan mengekalkan politik berasaskan dalam negara dan mengikut dasar parti mengenai hubungan antarabangsa. 

Parti Sheinbaum, iaitu MORENA (Gerakan Pembaharuan Negara), merupakan parti politik sayap kiri terbesar di Mexico. Parti ini sering digambarkan sebagai anti neoliberal dan bersifat populis. 

KONFLIK GAZA-ISRAEL 

Parti MORENA diketahui seolah-olah berpihak kepada Palestin dalam isu konflik Gaza, apabila Presiden ketika itu, Obrador melabelkan perang ke atas wilayah tersebut sebagai pembunuhan beramai-ramai. 

Ia juga menyertai tuntutan mahkamah Afrika Selatan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). 

Namun, Presiden Mexico itu menangguhkan pengiktirafan penuh negara Palestin dan masih belum memutuskan hubungan dengan Israel, walaupun merancang berbuat demikian. 

Bagi Sheinbaum, beliau sebelum ini dikenal pasti sebagai penyokong idea ‘penyelesaian dua negara’, yang merupakan pendekatan standard bagi ahli politik seluruh dunia dan tidak menunjukkan pendirian sebenarnya dalam isu tersebut. 

Sheinbaum pernah menarik perhatian penyokongnya berikutan kritikannya terhadap serangan Israel ke atas Gaza pada 2014, selain beberapa fotonya memakai Ku yeh, yang sinonim dengan solidariti kepada Palestin. 

Segelintir pihak berpendapat Sheinbaum sebenarnya berpendirian pro-Israel kerana latar belakangnya sebagai seorang Yahudi, apatah lagi pandangan tidak jelas beliau dalam kon ik di Asia Barat. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×